Showing posts with label tips. Show all posts
Showing posts with label tips. Show all posts

Tuesday 3 July 2012

MASALAH MEMBUANG AIR BESAR

KESUKARAN membuang air besar sering dikaitkan dengan kurang meminum air dan mengambil makanan berserat (buah-buahan dan sayur-sayuran).

Lazimnya keinginan membuang air besar dirasai setelah makan. Anda mungkin perlu meluangkan lebih masa seperti melatih anak kecil membuang air besar. Meminum lapan hingga 10 gelas air setiap hari, mengelakkan meminum teh serta membiasakan

diri ke tandas sejurus terasa ingin membuang air besar dapat membantu. Jika diabaikan keinginan awal itu (lazimnya kerana sibuk di tempat kerja ataupun ingin menangguhkannya), ia boleh menyebabkan tanda ingin membuang air besar terbantut.

Pada masa sama, anda juga boleh menjalani pemeriksaan usus oleh doktor pakar pembedahan am contohnya menjalani pemeriksaan kolonoskopi.

SUMBER:HARIAN METRO 

MASALAH KITARAN HAID

 Kitaran haid lebih 35 hari 

SAYA berusia 27 tahun dan sudah berkahwin selama lebih setahun. Saya masih belum ada cahaya mata dan terlalu menginginkannya.
Selepas berkahwin, tempoh kitaran haid saya melebihi 35 hari iaitu 43 hari setiap bulan. Tetapi bulan lalu, tempoh haid saya menjangkau sehingga hari ke-50 tetapi tidak ada tanda hamil.

Setiap bulan, sehari sebelum didatangi haid, saya selalu mengalami sakit kepala dan keesokan harinya saya datang bulan. Adakah keadaan itu normal atau petanda sesuatu penyakit?

Saya dan suami hanya bersama dua kali seminggu. Selepas bersama, air mani suami keluar semula dari faraj seolah-olah tidak masuk langsung ke dalam rahim. Adakah ini menyebabkan saya tidak hamil hingga kini?


Rakan saya ada mengatakan tempoh subur untuk wanita adalah selepas haid dan menyuruh saya dan suami bersama setiap hari selama dua minggu. Adakah cara ini membuatkan saya akan hamil dengan cepat? Harap doktor dapat memberikan nasihat kepada saya.

NURUL,
Selangor



SEKIRANYA anda sudah lebih setahun mencuba, eloklah berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesuburan. Tambahan pula, anda mengalami kitaran haid yang panjang, satu kemungkinan gangguan pengeluaran telur yang dinamakan anovulasi atau oligo-ovulasi.

Terdapat wanita yang mengalami beberapa perubahan sebelum didatangi haid. Sindrom pramenstrual ini lazimnya disebabkan oleh kesan hormon.

Kajian melaporkan kejayaan kehamilan lebih tinggi apabila hubungan seks dilakukan sekerap dua hingga tiga kali seminggu, iaitu kira-kira setiap selang sehari ataupun setiap selang dua hari bermula selepas haid tamat.

Bagaimanapun, memandangkan kitaran haid anda panjang dan berubah-ubah, pemantauan pembesaran telur atau kesuburan menggunakan teknik ultrabunyi transvaginal mungkin lebih membantu.

Ramai yang tersalah anggap mengenai air mani keluar semula daripada
faraj selepas klimaks atau ejakulasi. Ini adalah sesuatu yang normal dan dijangkakan kerana faraj wanita dikelilingi otot yang akan bertaup semula apabila zakar ditarik keluar ataupun seawal sejurus zakar mengendur. Sebarang cairan akan keluar daripada faraj sama ada darah haid, keputihan dan air mani.


SUMBER:HARIAN METRO

SUASANA BILIK TIDUR LEBIH SEGAR

Suasana lebih segar

Oleh Hartini Mohd Nawi
BILIK tidur antara ruang yang sering ditata hias mengikut cita rasa pemiliknya dan paling privasi.
Penataan yang berlatarkan konsep tertentu juga boleh mendatangkan perasaan jemu apabila ia tidak diubah dalam tempoh yang lama.

Situasi itu memerlukan kreativiti kerana anda tidak perlu mengeluarkan banyak belanja.

Memadai dengan mengubah susun atur perabot atau kemasan cadar lebih menyerlah dalam memberikan penggayaan baru yang selesa.

Minggu ini kreativiti mengubah bilik tidur ilham kreatif Dina Homes Interior & Decoration.

Langkah 1

  • Latar dinding bercat atau berlatarkan kertas dinding semestinya dikekalkan jika masih elok.
  • Pencahayaan juga tidak perlu diubah dan lakukan sesuatu jika sebaliknya.


    Langkah 2
  • Anda yang gemarkan set cadar dan bantal bermotifkan bunga-bungaan boleh menjadikannya sebagai kemasan di katil.


    Langkah 3
  • Bagi mencipta suasana romantik, letak beberapa kuntum ros segar di atas katil.
  • Alas meja juga boleh dijadikan hiasan tambahan ruang tidur anda itu.


    Langkah 4
  • Meja kecil di sudut kanan ruang pula tidak hanya sesuai diletakkan lampu hiasan.
  • Reka letak bingkai gambar kenangan berupaya menyerlahkan kelainan.

  • SUMBER:HARIAN METRO

    KHASIAT LINTAH


    Ekstrak lintah untuk lelaki

    Oleh NOOR DIANA AZIS
    Lintah! Jika dilihat dari bentuk fizikalnya, mungkin ramai antara kita yang tidak gemar dan jijik untuk menyentuh lintah kerana keadaan badannya yang berlendir, lembik dan licin.

    Tidak kurang pula ada yang akan rasa geli-geleman terutamanya golongan wanita hingga berdiri bulu roma apabila bercakap mengenai haiwan kecil tersebut.

    Secara amnya, apabila bercakap mengenai lintah pengetahuan masyarakat hanya terhad kepada sifat semulajadinya yang menghisap darah mangsa lalu mengeluarkan bahan anti pembekuan darah yang dinamakan hirudin.

    Namun jika dikaji dengan lebih teliti, lintah atau nama saintifiknya Hirudo medicinalis juga mengandungi kolagen yang boleh digunakan dalam industri kosmetik dan juga perubatan dalaman tubuh badan.

    Menyedari keistimewaan yang terdapat pada haiwan yang sedia maklum hidup di kawasan berpaya terutama sawah padi, Zamri Ibrahim, 40, memberanikan diri untuk mengkomersialkan keistimewaan lintah dalam dunia perubatan.

    Menubuhkan syarikat Artsoulist Holdings Sdn. Bhd. (Artsoulist) bagi memudahkan perusahaannya, usahawan kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, lendir yang terdapat pada haiwan kecil itu diyakini mampu membantu melancarkan peredaran darah serta mengurangkan masalah pada sendi badan.

    "Faktor yang menarik perhatian saya untuk mulakan penyelidikan mengenai lintah ini bermula apabila melihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan pasangan yang sudah berumahtangga.

    "Tidak dinafikan antara faktor penceraian berlaku berpunca daripada masalah ketika pasangan melakukan hubungan kelamin yang mana suami tidak mampu mengekalkan ketegangan alat sulit.

    "Walaupun kedengaran agak remeh, namun ia tetap menjadi antara punca penceraian berlaku kerana pasangan tidak mampu memberi kepuasan maksimum kepada isteri ketika melakukan hubungan kelamin," kata Zamri.

    Justeru, beliau menjalankan penyelidikan mengenainya dan cuba mencari jalan penyelesaian sekali gus yang mampu menyelesaikan masalah tersebut.

    Apabila mengetahui lintah mampu membantu memulihkan tenaga batin serta menambah saiz alat sulit, Zamri menanam cita-cita untuk menternak haiwan tersebut sekali gus menguruskan perniagaan yang mengkomersialkan pati minyak haiwan itu.

    Berkongsi pengalaman mengenai penubuhan Artsoulist yang membawa jenama Sensaoil di pasaran, Zamri yang mula menceburkan diri dalam bidang ternakan lintah sejak tahun 1997 menjalankan penyelidikan dengan kerjasama beberapa buat universiti tempatan.

    Jelasnya, seorang penternak lintah perlu mengetahui cara hidup di samping memahami sifatnya bagi memudahkan sistem ternakan tanpa berhadapan dengan sebarang masalah.

    Bermula dengan cara hidup, habitat hinggalah makanan ruji haiwan kecil penghisap darah tersebut, penternak juga perlu benar-benar arif mengenai spesies lintah yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

    "Jika penternak lintah tidak mahir dan arif mengenai perkara asas yang diperlukan lintah, induk yang diternak tidak mampu mengeluarkan ekstrak berkualiti.

    "Tempoh matang bagi induk adalah antara enam hingga lapan bulan dan haiwan ini mampu hidup sehingga lima tahun bergantung kepada cara ternakan yang dijalankan oleh penternak," ujarnya.

    Bercerita lanjut, haiwan yang mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina ini mempunyai enzim yang dihasilkan daripada air liur berfungsi untuk menahan darah dari membeku semasa gigitannya.

    Bagi memperoleh ekstrak lintah, proses pengekstrakan dijalankan terhadap lintah yang berkualiti dan menerusinya, ia menghasilkan dua jenis produk akhir iaitu bentuk cecair atau pun minyak.

    Teknologi pengekstrakan yang digunakan terdiri daripada beberapa kaedah iaitu dengan menggunakan pelarut, perahan atau teknik penyulingan.

    Pengekstrakan menggunakan pelarut boleh dilakukan menggunakan empat jenis teknik iaitu maserasi, perkolasi, refluks dan soxhlet.

    Teknik maserasi dijalankan di dalam bekas tertutup pada suhu bilik kira-kira 25 darjah celsius menggunakan bahan pelarut organik seperti etanol dan air manakala teknik perkolasi pula menggunakan bahan pelarut yang dipanaskan.

    Teknik pengekstrakan refluks pula menggunakan bahan pelarut dan air dan dijalankan pada suhu tinggi.

    Bagi teknik soxhlet, ia dijalankan secara berterusan dan berperingkat dengan menggunakan pelarut yang berbeza mengikut pola.

    "Kesemua teknik ini jalankan di kilang Artsoulist yang terletak di Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu dan di sana juga terletaknya kolam ternakan lintah yang dijadikan sumber utama pembuatan pati minyak lintah.

    "Bagi setiap satu kilogram lintah, ia mengandungi kira-kira 100 ekor lintah dan kesemuanya akan diperiksa kualiti sebelum diasingkan untuk proses pengekstrakan," jelasnya.

    Sementara itu menurut pembantu makmal Artsoulist Holding Sdn Bhd, Saharudin Abdullah Omar kaedah penyulingan minyak pati sedikit berbeza yang mana ia menggunakan bahan-bahan seperti air dan hidrostim.

    "Kaedah ini akan dijalankan secara langsung di dalam makmal untuk mendapatkan pati minyak lintah tersebut.

    "Selain itu, pengekstrakan lintah juga boleh dijalankan menggunakan teknologi bendalir lampau genting iaitu pengekstrakan hasilan semula jadi menggunakan karbon dioksida pada suhu sehingga 60 darjah celsius.

    "Kaedah pengekstrakan ini digunakan bagi mendapatkan hormon-hormon yang terkandung di dalam badan lintah yang dijadikan bahan asas pembuatan produk kesihatan sama ada dalam bentuk cecair atau minyak," jelasnya.

    Mereka yang berminat untuk mendapat maklumat lanjut mengenai rangkaian produk minyak lintah keluaran Artsoulist, boleh menghubungi talian 03-90801678 atau layari laman web www.artsoulist.com.my.

    SUMBER:UTUSAN MALAYSIA

    BAHAYA STREES

    SETIAP orang mengalami stres pada tahap berbeza. Namun emosi bertoksik yang berpunca daripada stres kronik dan berpanjangan dipercayai dapat mempengaruhi ketidakseimbangan fisiologi.

    Ini menyebabkan seseorang mudah mengalami penyakit seperti demam dan batuk. Selain itu emosi bertoksik juga dikaitkan dengan penyakit degeneratif seperti penyakit jantung dan kanser.
    Seorang eksekutif muda menemui seorang pakar kardiovaskular di sebuah hospital swasta. Sejak enam bulan kebelakangan dia sering mengalami sakit dada, denyutan jantung pantas,  sengal seluruh tubuh dan sukar mengangkat barangan yang biasa diangkat sebelumnya dengan mudah.
    Setelah menjalani ujian elektrokardiogram (ECG) iaitu sejenis ujian perubatan bagi menyukat dan merekodkan aktiviti jantung, doktor mengatakan bahawa jantungnya dalam keadaan baik.
    Namun graf tertentu dari ujian menunjukkan eksekutif muda tersebut mengalami sedikit gangguan fungsi injap mitral.
    Doktor kardiovaskular yang ditemui oleh eksekutif muda tersebut tidak menyarankan perubahan gaya hidup. Eksekutif muda yang tidak merokok ini memiliki personaliti agresif dan terlalu mengejar masa.

    Pada akhir sesi perundingan doktor tidak memberi preskripsi sebarang jenis ubat-ubatan. Sebaliknya doktor menyarankan agar dia mengambil cuti rehat selama beberapa hari dan  akan makanan yang seimbang.
    Ini adalah antara contoh yang berlaku kepada tubuh apabila mengalami stres. Pada pandangan penulis yang mengamalkan ilmu herbalisme (penjurusan nutrisi holistik), eksekutif muda ini mengalami ketidakseimbangan dari beberapa segi.
    Sikapnya yang sering mengejar masa dan cita-cita menyebabkan beliau mengalami stres kronik.

    Tidak seimbang pelbagai segi

    Stres kronik dan dialami secara berpanjangan dipercayai menyebabkan dia mengalami ketidakseimbangan bahan nutrien seperti jenis vitamin B dan mineral magnesium.
    Denyutan jantung pantas secara tidak normal (palpitasi) dan masalah fungsi injap mitral (biasanya dipanggil prolaps injap mitral) dikaitkan dengan kekurangan beberapa jenis vitamin B dan magnesium.
    Stres berpanjangan dikaitkan dengan stres oksidatif di mana terdapat radikal bebas secara berlebihan dalam darah atau sel. Aktiviti radikal bebas yang tinggi tanpa ditangani  menyebabkan tubuh mengalami keradangan.
    Rasa sengal dan sakit yang dialami oleh eksekutif muda ini berpunca daripada keradangan yang berpunca daripada serangan radikal bebas terhadap sel seluruh tubuh.
    Contoh simptom dialami seorang wanita muda berkerjaya hebat. Sikap beliau ketika bertugas ialah menjalankan tugas amat sempurna dan disiapkan pada masa singkat, tetapi mudah naik angin.
    Sejak berumur belasan tahun, dia mengalami Sindrom Premenstruasi (SPM) dengan simptom seperti sakit perut bawah pusat, mod pasang surut, sengal seluruh tubuh dan lesu.
    Setiap kali mengalami SPM dia kadang-kadang mengalami cirit-birit.
    SPM berlaku berpunca daripada ketidakseimbangan paras hormon reproduktif iaitu estrogen dan progesteron.
    Emosi yang kurang seimbang seperti dialami wanita berkerjaya ini mempengaruhi ketidakseimbangan estrogen - progesteron secara lebih buruk.
    Jadi simptom PMS hanya dialami pada tahap sederhana jika seseorang wanita dapat mengendali emosi dengan sempurna.
    Pengaruh emosi

    Eksekutif wanita ini lebih kerap mengalami cirit-birit di samping SPM yang dialami jika gagal mengawal emosinya.

    Ramai wanita mungkin tidak tahu bahawa SPM boleh mencetus masalah penghadaman dan sebaliknya.
    Emosi seperti ketakutan, marah secara melampau, risau/resah dan murung biasanya dikaitkan dengan masalah penghadaman seperti cirit-birit atau sembelit.
    Ketika mengalami jenis emosi yang disebutkan Sistem Saraf Simpatetik (SSS) lebih dominan dari Sistem Saraf Parasimpatetik (SSP).
    Pada keadaan normal aktiviti SSS dan SSP adalah pada kadar seimbang dan cukup untuk melaksanakan fungsi-fungsi organ sistem.

    Aktiviti SSP diperlukan usus untuk mencerna makanan. Namun apabila berada alam keadaan stres, SSS menjadi lebih dominan.

    Ini menyebabkan pergerakan makanan dalam usus menjadi lebih pantas.

    Makanan yang tidak hadam dengan sempurna menimbulkan cirit-birit.
    Stres secara melampau dan berpanjangan juga mengganggu fungsi hati. Ia menyebabkan bendalir hempedu dirembes di bawah paras normal lalu menyebabkan seseorang mengalami sembelit.

    Dari sudut lain stres kronik boleh menyebabkan ketidakseimbangan mikro flora usus lalu berlaku sembelit atau cirit-birit.
    Hati (liver) ialah sejenis kilang memproses bahan kimia daripada makanan, ubat-ubatan, suplemen, kimia pencuci yang digunakan di rumah dan bahan kimia pencemaran alam sekitar.

    Ramai orang tidak tahu bahawa estrogen juga diproses oleh hati. Hati memproses estrogen daripada jenis estradiol dengan menggabungkannya dengan sulfat kepada sejenis bahan  kimia yang kemudian di keluarkan dari tubuh bersama tinja (najis).
    Banyak budaya perubatan tradisional dunia mengaitkan stres dengan gangguan fungsi hati.
    Fungsi hati yang terganggu juga didapati memburukkan lagi stres yang dialami.

    Apabila seseorang sering mengalami stres kronik maka hati mengalami kesukaran untuk memproses estrogen kepada bahan kimia yang mudah untuk singkir dari tubuh.
    Hasilnya paras estrogen sering tinggi dalam tubuh.
    Estrogen ialah sejenis hormon yang menggalak pertumbuhan sel. Sebab itu stres kronik sering dikaitkan dengan pembentukan tumor (ketumbuhan) sama ada jenis tidak bahaya (benign) atau jenis bahaya (malignant).
    Tumor akibat berlebihan estrogen dikaitkan dengan pembentukan tumor pada organ reproduktif seperti payu dara, rahim dan ovari.

    Anda boleh bercita-cita dan berjaya menakluki dunia sama ada dalam bidang karier, kemasyarakatan dan kehidupan berkeluarga.

    Anda mungkin mampu untuk mengecap segala jenis keseronokan termasuk makan makanan lazat.
    Namun anda harus ingat bahawa psikoemosi memiliki peranan yang amat besar terhadap kesihatan tubuh secara keseluruhan.

    SUMBER:SINAR HARIAN 

    LANGKAH AWAL MENGATASI DIABETIS

    Hati-hati golongan muda, diabetes tidak kenal usia


    KUALA LUMPUR - Semasa bertatih-tatih, Nursyahirah Samsuri menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya, apa tidaknya, kerana mempunyai pipi yang gebu dan badan yang montel.
     
    Bagaimanapun, apabila meningkat usia 18 tahun lain pula ceritanya. Berat badannya semakin bertambah terutama pada tempoh tiga tahun kebelakangan ini daripada 50 kilogram, meningkat kepada 80 kilogram sekarang ini.
     
    Beliau terus dirundung masalah. Hasil ujian 'Impact Glucose Test Tolerance (IGTT)' baru- baru ini mendapati beliau berhadapan dengan peringkat pra diabetes iaitu gula dalam darah lebih tinggi daripada normal dan berisiko menghidap diabetes jika tidak dikawal dan dirawat.
      
    Gaya Hidup Kurang Sihat

    Nursyahirah, anak bongsu daripada dua beradik, langsung tidak mengetahui risiko penyakit diabetes yang dihadapinya lantaran tidak ada sebarang tanda.
     
    Beliau berasa kesihatannya sentiasa berada pada tahap yang cukup baik.

    Beliau hanya mengetahui mengenainya ketika membuat pemeriksaan kesihatan untuk kemasukan ke sebuah pusat pengajian tinggi awam baru-baru ini.
     
    Hasilnya, doktor mengesahkan kandungan gula dalam darahnya sangat tinggi iaitu 16. Selain itu warna kencingnya tidak normal dan dikhuatiri ia turut memberi kesan kepada buah pinggangnya.
     
    Bapanya, Samsuri Husin mengakui Nursyahirah kurang mengambil berat soal pemakanannya dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Aktiviti hariannya ialah menonton drama bersiri Korea hingga sanggup menghabiskan masa seharian di hadapan kaca televisyen.
     
    "Masa menonton itu, makanan ringan dan minuman bergas sentiasa ada di sebelah untuk menemaninya," katanya.
     
    "Dia kurang makan nasi, tapi banyak makan pizza, makanan segera dan ringan. Selain itu, beliau jarang bersenam atau melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh," katanya.
     
    Kini Nursyahirah terpaksa melakukan pemeriksaan rutin di hospital untuk memastikan kandungan gula dalam badannya sentiasa terkawal terutama bagi memastikan buah pinggangnya tidak rosak.

    Golongan Muda

    Menurut Pengarah Eksekutif Institut Diabetes Negara (NADI) Datuk Prof Emeritus Mustaffa Embong, peningkatan mereka yang menghidap diabetes bukan sahaja di kalangan dewasa malahan golongan muda.
     
    Ramai di kalangan mereka yang berumur 18 hingga 45 tahun tidak sedar yang mereka menghidap diabetes sehinggalah berhadapan dengan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, rabun, masalah jantung atau sehingga anggota badan perlu dipotong.
     
    "Kanak-kanak seawal empat tahun pernah dikesan menghidap penyakit ini. Ada kes kanak-kanak berusia enam tahun menghidap diabetes Type 2, malah ada juga yang baru lahir dengan masalah sama yang mereka mewarisi daripada ibu yang 
    Beliau berkata lebih membimbangkan apabila ramai di kalangan pesakit muda yang menghidap diabetes Type 2, yang biasanya berlaku kepada golongan dewasa.
     
    Ini kerana mereka tidak merasai tanda-tanda kewujudan penyakit itu.

    Punca masalah
       
    "Banyak puncanya, ada yang diturunkan daripada ibu ketika mengandung. Bila lahir anak saiz besar, kita anggap anak itu comel sebab nampak gemuk dan sihat.
     
    "Sedangkan kanak-kanak dengan masalah obesiti berisiko tinggi mendapat diabetes kerana kebiasaannya susah nak turunkan berat badan mereka. Ia dibawa hingga dewasa, ditambah dengan gaya hidup masa kini yang kurang bersenam dan pemakanan tidak seimbang, meningkatkan lagi risiko untuk mendapat diabetes," katanya.
     
    Jumlah pesakit diabetes, termasuk wanita mengandung, disebabkan faktor keturunan dan obesiti meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus dan yang paling membimbangkan mereka tidak mengetahuinya sehinggalah menghidap pelbagai penyakit.
     
    Ibu bapa sekarang merasa bersalah sekiranya anak mereka kurang makan hingga mereka bertindak memberi makan secara berlebihan daripada apa yang diperlukan oleh badan.
     
    "Saya perhatikan sikap ibu bapa sekarang juga kurang membenarkan anak melakukan aktiviti luar, bermain di padang permainan, berlari mengeluarkan peluh, terutama yang tinggal di kawasan bandar.
     
    "Mereka lebih suka, anak duduk di rumah menonton televisyen atau bermain 'game' dan makan," katanya.

    Lakukan Pemeriksaan Awal

    Menurut Kementerian Kesihatan, Malaysia kini menduduki tangga pertama di rantau Asia dalam bilangan pesakit diabetes dan tersenarai di tangga  ke-10 dunia bagi penyakit itu selepas Asia Barat dan Asia Pasifik.
     
    Mengikut rekod, terdapat 2.6 juta pesakit diebetis berusia lebih 30 tahun. Daripada jumlah ini, separuh atau 1.3 juta tidak sedar mereka mempunyai diabetes.
     
    Sejak 26 tahun lepas, pesakit diabetes di negara ini meningkat ketara iaitu 6.3 peratus pada tahun 1986, 8.3 peratus pada 1996, 14.9 peratus tahun 2006 dan 18 peratus tahun lepas.
     
    Angka ini amat menakutkan kerana jumlah itu meningkat setiap tahun kerana kebanyakannya lambat melakukan pemeriksaan dan mendapat rawatan.
     
    Mustaffa berkata ramai yang tidak melakukan pemeriksaan gula dalam darah selain enggan menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup mereka.
     
    "Ramai yang tahu tentang penyakit diabetes, risiko yang bakal dihadapi, namun untuk mempraktikkan langkah-langkah pencegahan itu amat sukar. Masalah sikap ini menyebabkan mereka, terutama di kalangan orang Melayu, menyerahkan kepada takdir apabila mendapat penyakit itu.
     
    "Kerana itu mereka tidak ambil kisah akan penyakit itu walaupun tergolong di kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti obesiti dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes," katanya dan menambah kata wanita terutama suri rumah adalah golongan paling tinggi menghidap diabetes berbanding lelaki.
     
    Beliau menyarankan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa aktif, menjaga pemakanan dengan memakan apa yang diperlukan oleh badan sahaja serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

    Pemeriksaan Percuma

    Menyedari ramai rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah obesiti dan diabetes, pusat perubatan Tropicana Medical Centre (TMC) mengadakan program LEAP 'Living Everyday Actively & Progressively" (Hidup Setiap Hari dengan Aktif dan Progresif) bagi tempoh satu tahun.
     
    Ia memberi fokus kepada empat aspek iaitu mengambil pemakanan seimbang, melakukan aktiviti dan senaman, tidur yang mencukupi dan sentiasa mengawal emosi agar tidak tertekan bagi menjalani kehidupan yang sihat.
     
    Penting untuk setiap rakyat Malaysia mengetahui awal tanda-tanda mereka mengalami obesiti dan diabetes yang menjadi masalah kesihatan utama masyarakat hari ini, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Erica Lim.
     
    Melalui program LEAP, pemeriksaan percuma kandungan gula dan obesiti disediakan kepada orang ramai yang menyertai setiap program yang dianjurkan.
     
    "Selain itu nasihat pemakanan seimbang bagi mengawal obesiti turut diberikan oleh pakar nutrisi serta baucar bagi mengajak rakyat Malaysia melakukan senaman di gim Fitness First turut disediakan," katanya dan menambah kata pengacara televisyen terkenal, Jojo Struys telah dilantik sebagai duta program LEAP. - Bernama

    SUMBER:SINAR HARIAN 

    KAEDAH PENYUSUAN BAYI


    Penyusuan bayi secara eksklusif
    NORHIDAYYU ZAINAL
    Di Malaysia, peratusan ibu menyusu bayi secara eksklusif masih lagi rendah jika dibandingkan dengan negara Asia lain. Untuk pengetahuan, Malaysia adalah negara terendah bagi penyusuan bayi secara eksklusif dan merupakan negara tertinggi dalam penggunaan susu formula.

    Penyusuan bayi secara eksklusif, satu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Ini kerana susu ibu adalah bersih, seimbang dan paling sesuai untuk bayi.

    Susu ibu mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul dan kelebihan menyusukan bayi sendiri adalah yang terbaik dan tiada tandingannya. Ia bukan sahaja bagus untuk si manja malah bagi ibu itu sendiri.

    Konsultan Laktasi Bertauliah IBCLC, Siti Nur Suraya Mohamed Ali berkata, penyusuan bayi secara eksklusif bermaksud, hanya susu ibu diberikan kepada bayi dalam tempoh enam bulan tanpa sokongan makanan atau minuman lain termasuklah air masak.
    Menurutnya, makanan tambahan hanya dimulakan selepas bayi berusia enam bulan ke atas. Lebih baik lagi, jika ibu dapat meneruskan susuan ke atas bayi mereka sehinggalah bayi meningkat dua tahun.

    “Paling penting, si ibu perlu menyusukan bayi mereka secara eksklusif sekurangkurangnya enam bulan pertama, barulah dikatakan matlamat menyusukan bayi itu tercapai dan memberi kesan yang cukup positif pada bayi,” katanya pada Sinar Harian.

    Apa yang jelas, katanya, menyusukan bayi dengan susu ibu adalah satu langkah bijak dan terbaik ke arah perkembangan dan tumbesaran bayi.

    Persediaan awal

    Namun begitu, setiap ibu harus ingat yang penyusuan tidak akan berjaya jika sekadar Konsumer melahirkan dengan kata-kata sahaja.

    “Sekiranya ibu sudah berniat hendak menyusukan anak sepenuhnya maka, mereka perlu membuat persediaan ketika masih mengandung,” katanya.

    Beliau berkata, persediaan awal ini sangat penting bagi menguatkan mental supaya si ibu dapat menghadapi cabaran penyusuan.

    “Antara persediaan awal ialah menghadiri kelas penyusuan, membaca banyak buku dan melayari Internet mengenai kebaikan susu ibu serta mendapatkan pandangan pakar supaya ibu bersedia menyusu semasa kelahiran anak ketika dalam tempoh berpantang juga ketika ingin meneruskan penyusuan,” katanya.

    Katanya, penyusuan adalah sesuatu yang semula jadi tetapi kemahiran itu masih perlu dipelajari seperti kaedah dan kedudukan bayi (latch on) yang betul semasa menyusukan.

    “Menyusukan bayi sepatutnya tidak menyakitkan. Mulut bayi terbuka luas dan bibirnya merangkumi bahagian aerola (bukannya terlipat ke bahagian dalam).

    “Puting ibu sepatutnya berada di bahagian lembut rahang atas mulut bayi dan bukannya bahagian keras bagi mengelakkan sakit atau merekah,” katanya.

    Menurutnya, kaedah yang betul mampu mengelakkan pembengkakan payudara, mampu merangsang pengeluaran susu dan melancarkan pengaliran air susu seterusnya membuatkan bayi anda kenyang.

    Tambahnya lagi, setiap ibu harus memahami anatomi dan fisiologi payudara. Hal ini kerana, ketika mengandung, tubuh si ibu sudah bersedia untuk menyusukan anak yang bakal dilahirkan “Ini bermaksud, susu ibu sudah ada sebaik sahaja bayi dan uri dikeluarkan. Tidak ada orang yang tiada susu atau belum ada susu. Tiada sedutan daripada bayi bermakna tiada stimulasi dan boleh mengakibatkan susu tidak keluar,” katanya.

    Pam susu

    Siti Nur Suraya yang juga Pengarah Urusan Lunatots berkata, setiap ibu harus menyediakan pam susu sebelum melahirkan. “Ramai ibu gusar untuk membeli pam susu yang bagus dan mahal kerana bimbang diri tiada susu seterusnya menyebabkan pembaziran.
    Pam susu yang mahal akan berbaloi setanding dengan kualitinya,” katanya.

    Dalam pada itu, katanya, beliau turut mengingatkan supaya ibu bersedia dengan segala kemungkinan seperti bayi atau ibu yang terpaksa di tahan di wad.

    “Proses kelahiran yang dirancang memberi lebih peluang kepada ibu untuk fokus terhadap keperluan bayi. Beritahu secara bertulis kepada pihak hospital supaya bayi anda tidak disusukan dengan susu formula kerana anda mahu menyusukannya sendiri.

    “Si ibu masih boleh menyusukan bayi dengan susu ibu melalui cara mengepam susu. Susu boleh dipamkan seawal hari ketiga kelahiran,” katanya.

    Selain itu, katanya, aksesori untuk kemudahan penyusuan juga harus disediakan seperti pad payudara yang boleh dibasuh, nursing bra and pillow, baju yang sesuai dan peti sejuk untuk menyimpan stok susu bayi.

    Katanya, apa juga masalah mengenai penyusuan boleh diatasi andainya mereka merujuk kepada yang arif. “Saya berharap ramai ibu akan tampil untuk menyusukan anak mereka kerana mereka boleh melakukannya. Menyusukan anak selama dua tahun adalah sesuatu yang tidak mustahil.

    “Rujuk kepada yang pakar jika anda mengalami masalah mengenai penyusuan ibu,’’ katanya.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah hubungi Siti Nur Suraya melalui laman web di www.lunafamily.my atau www.lunatots. com atau laman sosial Facebook di www. facebook.com/lunatots.

    SUMBER:SINAR HARIAN 

    FAKTA MENGENAI DURIAN

    10 fakta menarik mengenai durian:

    1. Tinggi kalori? Ramai yang menganggap durian mempunyai kandungan kalori (kcal) yang tinggi dan menggemukkan. Tahukah anda, seulas durian hanya mempunyai 50 kcal? Bagi saya, kandungan kalori itu tidak begitu tinggi.

    2. Tinggi kolesterol? Durian atau sebarang jenis buah sekali pun tidak mengandungi kolesterol. Kolesterol cuma datang daripada sumber haiwan dan bukannya tumbuhan.

    3. Tiada nilai nutrisi? Durian kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral seperti antioksidan vitamin C, B kompleks dan potassium (penting untuk kawalan bendalir badan, mengawal denyutan jantung dan tekanan darah). Durian juga mengandungi kalsium dan fosforus.

    4. Tinggi lemak? Satu ulas durian mempunyai satu hingga dua gram lemak dan ia bukan lemak tepu.

    5. Tinggi gula? Satu ulas durian mempunyai kira-kira 10 gram gula. Masih tinggi? Itu bergantung kepada jumlah kuantiti pengambilan anda. Jika anda makan dua hingga tiga ulas, nilainya masih kurang daripada satu tin minuman berkarbonat.

    6. Panaskan badan? Memang. Buah durian mempunyai kualiti yang boleh memanaskan badan. Atas sebab itu, kita diingatkan memakan durian secara berpada-pada. Lebih-lebih lagi bagi pesakit kencing manis atau tekanan darah tinggi.

    7. Tidak sesuai untuk pesakit kencing manis? Memang betul tapi itu bukan soal durian semata-mata kerana mereka yang mempunyai penyakit kencing manis sememangnya harus mengawal pengambilan gula dalam makanan atau minuman mereka.

    8. Kurangkan tekanan? Itu bergantung tetapi durian mengandungi asid amino dikenali sebagai tryptophan yang membantu meningkatkan keluaran hormon serotonin yang menyebabkan kita mengantuk. Justeru, anda akan lebih senang tidur, ringan dan tenang.

    9. Tingkatkan nafsu seks? Betul! Itu berbalik kepada kualiti panaskan badan tadi yang bertindak untuk meningkatkan peredaran darah.

    10. Jangan makan berlebihan? Memang betul. Tapi sekali lagi, itu bukan durian semata-mata tetapi untuk segala-galanya. Bagi saya, satu atau tiga ulas sekali makan sudah memadai.


    Selain itu, saya juga ingin berkongsi mengenai pemilihan kudapan yang bukan saja mudah malah seimbang dan mempunyai jumlah 300 kalori (kcal). Dalam soal diet, saya selalu tekankan pentingnya makan paling kurang lima kali sehari iaitu dengan mengambil sarapan, kudapan, makan tengah hari, kudapan dan makan malam.

    Kebiasaannya, orang ramai tiada masalah mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam tetapi mungkin kurang biasa dalam pemilihan kudapan.

    Oleh itu, ikuti langkah berikut dalam memilih kudapan untuk waktu pagi dan petang.

    Sumber karbohidrat

    Pastikan ada sumber karbohidrat yang baik dan bersih (kurang minyak) seperti roti dan biskut.


    Sumber protein

    Wajib ada sumber protein seperti telur, tuna, susu dan soya.

    Jumlah kalori

    Nilai kalori kudapan bergantung kepada keperluan kalori seharian (DCR) anda. Katakan ia 2,000 kcal, jadi anda perlu menganggarkan pengambilan untuk setiap hidangan, termasuk kudapan sebanyak 400 kcal.


    Serat

    Hendak mengawal nafsu makan? Pastikan adanya serat seperti oat, bijirin penuh dan roti perang.


    Mudah dan praktikal

    Pastikan pilihan kudapan itu mudah diamalkan, juga ketika di pejabat. Paling senang kalau ia boleh disimpan di dalam laci meja dan tidak mengambil masa yang lama untuk dihidang dan dimakan.

    SUMBER:HARIAN METRO  

    Sunday 1 July 2012

    TIPS DUDUK DENGAN BETUL


    Kesan buruk duduk kaki bersilang
    Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

    BARU 15 minit duduk di kerusi, Aqilah berasa letih lalu menukar posisi duduk dengan menyilangkan kaki dengan kedudukan kaki kanan di atas kaki kiri. Selepas beberapa minit, dia menukar posisi lagi dengan kaki kiri pula di atas kaki kanan.
    Situasi begitu bukan hanya dialami Aqilah seorang. Sebenarnya, ramai juga mempunyai tabiat gemar duduk bersilang, terutama yang bekerja di pejabat.
    Tidak kurang juga yang menganggap duduk bersilang boleh menyebabkan tulang belakang bengkok, seterusnya menyebabkan kesukaran bergerak.

    Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma Pusat Perubatan Tropicana, Dr Joseph Yap, berkata perbuatan menyilangkan kaki bukan penyebab kepada tulang belakang bengkok atau sakit, sebaliknya ia hanya memberi tekanan kepada beberapa anggota badan yang mungkin menyebabkan aliran darah tidak lancar.


    “Ramai berpendapat keadaan itu bahaya tetapi sebenarnya, ia hanya mendatangkan rasa kurang selesa pada otot dan saraf, selain lenguh.

    “Benar, ia akan menimbulkan rasa sakit atau ketegangan pada tubuh tetapi hanya sementara dan akan hilang dalam tempoh singkat.

    “Individu normal hanya akan bersilang kaki dalam tempoh 10 hingga 15 minit, selepas itu otak akan memberi isyarat supaya menukar kedudukan, sebaliknya disebabkan sudah letih,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.

    Pun begitu, secara amnya, kecederaan jangka masa panjang hanya boleh berlaku apabila otak tidak memberi tindak balas dalam tempoh dua jam.

    Selain itu, kerosakan pada saraf skiatik juga boleh berlaku jika tekanan luar biasa terjadi.

    “Biasanya, perbuatan duduk dengan menyilangkan kaki berkali-kali hanya menyebabkan sakit belakang. Ketidakseimbangan daya tarikan otot boleh menyebabkan tulang belakang bengkok sementara. Ini yang dipanggil ‘sciatic scoliosis’.

    “Apabila posisi kaki kanan di atas kaki kiri, tulang punggung dan betis dalam keadaan tidak sama rata di mana pinggul kiri lebih tinggi, menyebabkan otot di antara tulang rusuk dan tulang pelvis menjadi lebih pendek berbanding sebelah kanan.

    “Masalah sakit belakang juga sering berlaku kepada individu yang kurang melakukan senaman. Justeru itu, bagi mendapatkan kehidupan lebih bermakna dan sihat, senaman adalah langkah terbaik,” katanya.


    Tip duduk dengan betul



  • Pastikan anda duduk menghala ke depan.
  • Jangan duduk pada bahagian hujung kerusi.
  • Duduk sama aras antara atas dan bawah kerusi. Jangan terlalu rendah atau tinggi.
  • Apabila duduk, pastikan siku dekat dengan badan.
  • Elak duduk di kerusi yang tiada penghadang (kerusi bulat).
  • Amalkan duduk di kerusi yang mempunyai penyokong belakang badan.

  • SUMBER:HARIAN METRO

    PETUA HENTI DENGKUR

    APABILA sebut pasal tidur, kita mesti terbayang waktu untuk merehatkan otak dan badan lepas penat bekerja. Namun, bolehkah tidur lena kalau pasangan kita atau rakan serumah berdengkur?

    Ada kala kita juga tidak tahu, mungkin selama ini bunyi dengkur diri sendiri yang macam enjin ‘turbo’ itu mengganggu tidur orang lain.

    Punca dengkur ini bukan sebab penat terlampau yang macam kita selalu fikirkan. Dengkur terjadi disebabkan ada halangan pada saluran pernafasan, juga mungkin kerana posisi tidur yang salah, pengumpulan lemak sekitar muka atau leher dan mungkin juga faktor habuk atau alahan.

    Pengaliran udara melalui saluran pernafasan yang sempit ini mengakibatkan lelangit lembut (bahagian tekak) bergetar. Getaran inilah yang menghasilkan bunyi yang kita dengar sebagai dengkur.


    Daripada terus mengganggu tidur orang lain, apa kata kita cuba kurangkan masalah itu. Tidaklah segan sangat nanti apabila terpaksa menumpang dekat rumah orang. Jangan pula disebabkan dengkuran berkuasa ‘turbo’, tuan rumah yang tak boleh tidur.



    Cara atasi masalah berdengkur

    Ubah posisi tidur

    Apabila lidah, lelangit, tonsil atau otot di belakang kerongkong saling bersentuhan, ia akan menyebabkan kita berdengkur.

    Posisi terlentang ketika tidur menyumbang ke arah masalah ini kerana ketika kita terlentang, lidah tertarik ke belakang dan menyempitkan aliran udara. Untuk mengelakkan masalah ini, cuba tidur mengiring. Mengiring ke kanan lebih afdal.


    Turunkan berat badan

    Orang yang mempunyai berat badan berlebihan memiliki jaringan leher yang tebal dan ini berkemungkinan menyebabkan risiko berdengkur.

    Jadi, langkah terbaik ialah cuba kurangkan berat badan anda supaya lemak yang terkumpul di bahagian kerongkong turut berkurangan.


    Hindari ubat penenang atau sedatif

    Apa pun jenis penenang, sama ada pil tidur dan apa saja produk ubatan bertujuan menenangkan, boleh menyebabkan dengkur kerana ia mengganggu sistem saraf, seterusnya menyebabkan rehat keterlaluan kepada otot dan tisu dalam kerongkong.


    Hidu wap air sebelum tidur

    Hidung tersumbat juga satu daripada punca berdengkur. Sebelum tidur, hidu wap air panas atau letakkan tuala yang dicelup dengan air panas pada muka dan sedut wapnya. Ini adalah satu cara untuk menghilangkan lendir yang menyumbat hidung kita. Bila lendir hilang, kemungkinan untuk berdengkur berkurangan.


    Habuk

    Habuk atau alahan boleh jadi punca kita berdengkur kerana masalah sukar bernafas. Pastikan cadar dan sarung bantal bersih daripada habuk dan hama. Untuk yang berkemampuan, pasang penapis udara supaya kita mendapat bekalan udara bersih.

    SUMBER:HARIAN METRO

    PUNCA SAKIT TEKAK

    SAKIT tekak adalah simptom yang membabitkan kawasan sekitar tonsil dan farinks. Sakit tekak dikenali sebagai pharyngitis jika ia membabitkan bahagian farinks dan tonsillitis jika membabitkan kedua-dua bahagian tonsil. Apabila membabitkan kedua-dua bahagian farinks dan tonsil, ia dikenali sebagai pharyngotonsillitis.
    Pharynx adalah sebahagian tekak yang terletak di antara mulut dan peti larinks atau suara. Ia selalunya dikaitkan dengan selesema biasa atau influenza. Biasanya, ia sembuh tanpa komplikasi tetapi di dalam sesetengah kes, ia berkembang menjadi penyakit serius.

    Sakit tekak berlaku apabila radang terjadi membabitkan membran mukus yang melapisi farinks atau tonsil. Ia mengakibatkan rasa tidak selesa, sakit atau gatal pada bahagian tekak. Kesakitan sewaktu menelan adalah simptom lain yang biasanya berlaku ketika sakit tekak.

    Penyakit ini sangat mudah berlaku, terutama di kalangan kanak-kanak.

    Biasanya, sakit lebih teruk pada waktu pagi dan kesakitan berkurang keesokannya.

    Sakit tekak yang tidak rumit biasanya berlanjutan sehingga tiga hari manakala yang teruk berlaku lebih lama, mungkin membabitkan gejala lebih serius seperti tonsilitis atau laryngitis (radang di bahagian larinks atau peti suara).

    Penyebab sakit tekak

    Biasanya disebabkan jangkitan virus atau bakteria. Bakteria memberi tindak balas baik kepada rawatan antibiotik, manakala virus biasanya sembuh dengan sendiri dalam jangka masa tertentu. Sakit tekak biasanya disebarkan melalui perkongsian minuman, bercium, batuk, menghembus hidung dan bersin.


    Punca sakit tekak


  • Jangkitan bakteria - disebabkan oleh bakteria streptococcal. Ia membawa komplikasi demam reumatik yang boleh mencetuskan masalah injap jantung atau radang buah pinggang. Bakteria lain yang boleh menyebabkan sakit tekak adalah gonorea, iaitu sejenis jangkitan kelamin.
  • Jangkitan virus - kebanyakan sakit tekak disebabkan jangkitan virus dan ada pelbagai jenis yang menyebabkan ia sembuh dengan sendiri dalam masa beberapa hari, bergantung pada jenis virus terbabit. Virus terkenal adalah Epstein-Barr, yang menyebabkan demam dan bengkak di kelenjar pada leher.
  • Tonsilitis - ia adalah keradangan tonsil. Tonsilitis kronik berlaku apabila berlaku banyak kerosakan kepada tonsil. Dalam keadaan ini, tekak berasa sakit pada kebanyakan masa selain sering disertai nafas berbau. Demam di bahagian kelenjar pada leher juga boleh menyebabkan masalah sakit tekak.


    Kemungkinan punca lain

    Penyakit campak (measles) juga boleh menyebabkan sakit tekak pada sesetengah keadaan. Bernafas melalui mulut boleh menyebabkan tekak kering dan menyakitkan. Dalam beberapa kes, sakit tekak mungkin tanda kanser kerongkong (biasanya di kalangan perokok) atau Aids alahan.

    Alahan selalunya tidak menyebabkan sakit tekak secara tiba-tiba. Bagaimanapun, boleh menyebabkan kerengsaan tekak kronik yang ringan.

    Pembedahan seperti pembuangan tonsil (tonsillectomy) boleh membawa kepada sakit tekak dan penggunaan tiub ketika anastesia untuk pembedahan juga boleh menyebabkan sakit tekak selepas pembedahan.


    Tanda lain bagi sakit tekak
  • Sakit di tekak dan adakala merebak ke telinga.
  • Kelenjar limfa membengkak di bawah rahang dan leher. Jika sakit tekak disebabkan virus Coxsackie, lepuh kecil boleh kelihatan pada tonsil dan lelangit lembut (soft palate).
  • Jika sakit tekak disebabkan jangkitan streptococcal, tonsil sering membengkak dan bersalut putih. Demam, sakit kepala dan muntah serta kesukaran membuka mulut selain suara menjadi serak.


    Rawatan

    Antara rawatan yang boleh dicuba di rumah sebelum berjumpa doktor ialah banyak minum air suam, berkumur dengan air garam dan menghisap ubatan lozenges, di samping pengambilan ubat demam atau tahan sakit (painkiller). Bagaimanapun, jika sakit tekak berterusan, segera berjumpa doktor untuk rawatan.

    Doktor akan memeriksa sama ada antibiotik diperlukan untuk rawatan atau tidak dan ubatan sampingan juga akan dibekalkan.

    Begitu pun, sakit tekak yang berkait dengan demam kuat dan kesukaran menelan mungkin memerlukan kemasukan ke wad untuk antibiotik intravena.
  • CARA-CARA NAK COVER MALU

    1.Kalau tersepak batu:
    Jangan terus bangun, sebaliknya kamu baring dan terus
    berguling-guling hingga jauh dari perhatian ramai.
    Bila sudah tiada yang nampak, barulah bangun.

    2.Kalau terjatuh basikal:
    Cepat-cepat naik basikal kamu semula dan buat-buat jatuh
    sehingga berkali-kali supaya orang ingat kamu sengaja buat lawak.

    3.Kalau terjatuh tangga:
    Terus bersilat seolah-olah kamu dirasuk atau sedang berlawan dengan makhluk halus.

    4.Kalau terjatuh dalam longkang:
    Pungutlah sampah yang ada sambil marah-marah dengan suara yang kuat, pasti orang menyangka kamu seorang yang amat prihatin terhadap kebersihan.

    5.Kalau jatuh ketika naik bas:
    Jeritlah kuat-kuat "Oi! Apa ni tolak-tolak orang?"
    walaupun sebenarnya tiada orang di belakang kamu.

    6.Kalau terjatuh di depan perhentian bas:
    Terus buat-buat pengsan sehingga ada orang yang membantu kamu.
    Kalau tak ada yang membantu baring terus sampai malam
    sehingga tiada seorang pun yang tinggal di perhentian bas itu.
    Inilah masa yang paling tepat untuk kamu bangun semula.

    7.Kalau tergelincir di lantai licin:
    Tariklah kawan-kawan atau sesiapa yang ada di sebelah
    kamu untuk jatuh bersama-sama supaya tak lah kamu
    seorang sahaja yang dapat malu. Ye tak?!!