10 fakta menarik mengenai durian:
1. Tinggi kalori? Ramai yang menganggap durian mempunyai kandungan
kalori (kcal) yang tinggi dan menggemukkan. Tahukah anda, seulas durian
hanya mempunyai 50 kcal? Bagi saya, kandungan kalori itu tidak begitu
tinggi.
2. Tinggi kolesterol? Durian atau sebarang jenis buah sekali pun
tidak mengandungi kolesterol. Kolesterol cuma datang daripada sumber
haiwan dan bukannya tumbuhan.
3. Tiada nilai nutrisi? Durian kaya dengan pelbagai vitamin dan
mineral seperti antioksidan vitamin C, B kompleks dan potassium (penting
untuk kawalan bendalir badan, mengawal denyutan jantung dan tekanan
darah). Durian juga mengandungi kalsium dan fosforus.
4. Tinggi lemak? Satu ulas durian mempunyai satu hingga dua gram lemak dan ia bukan lemak tepu.
5. Tinggi gula? Satu ulas durian mempunyai kira-kira 10 gram gula.
Masih tinggi? Itu bergantung kepada jumlah kuantiti pengambilan anda.
Jika anda makan dua hingga tiga ulas, nilainya masih kurang daripada
satu tin minuman berkarbonat.
6. Panaskan badan? Memang. Buah durian mempunyai kualiti yang boleh
memanaskan badan. Atas sebab itu, kita diingatkan memakan durian secara
berpada-pada. Lebih-lebih lagi bagi pesakit kencing manis atau tekanan
darah tinggi.
7. Tidak sesuai untuk pesakit kencing manis? Memang betul tapi itu
bukan soal durian semata-mata kerana mereka yang mempunyai penyakit
kencing manis sememangnya harus mengawal pengambilan gula dalam makanan
atau minuman mereka.
8. Kurangkan tekanan? Itu bergantung tetapi durian mengandungi asid
amino dikenali sebagai tryptophan yang membantu meningkatkan keluaran
hormon serotonin yang menyebabkan kita mengantuk. Justeru, anda akan
lebih senang tidur, ringan dan tenang.
9. Tingkatkan nafsu seks? Betul! Itu berbalik kepada kualiti
panaskan badan tadi yang bertindak untuk meningkatkan peredaran darah.
10. Jangan makan berlebihan? Memang betul. Tapi sekali lagi, itu
bukan durian semata-mata tetapi untuk segala-galanya. Bagi saya, satu
atau tiga ulas sekali makan sudah memadai.
Selain itu, saya juga ingin berkongsi mengenai pemilihan kudapan
yang bukan saja mudah malah seimbang dan mempunyai jumlah 300 kalori
(kcal). Dalam soal diet, saya selalu tekankan pentingnya makan paling
kurang lima kali sehari iaitu dengan mengambil sarapan, kudapan, makan
tengah hari, kudapan dan makan malam.
Kebiasaannya, orang ramai tiada masalah mengambil sarapan, makan
tengah hari dan makan malam tetapi mungkin kurang biasa dalam pemilihan
kudapan.
Oleh itu, ikuti langkah berikut dalam memilih kudapan untuk waktu pagi dan petang.
Sumber karbohidrat
Pastikan ada sumber karbohidrat yang baik dan bersih (kurang minyak) seperti roti dan biskut.
Sumber protein
Wajib ada sumber protein seperti telur, tuna, susu dan soya.
Jumlah kalori
Nilai kalori kudapan bergantung kepada keperluan kalori seharian
(DCR) anda. Katakan ia 2,000 kcal, jadi anda perlu menganggarkan
pengambilan untuk setiap hidangan, termasuk kudapan sebanyak 400 kcal.
Serat
Hendak mengawal nafsu makan? Pastikan adanya serat seperti oat, bijirin penuh dan roti perang.
Mudah dan praktikal
Pastikan pilihan kudapan itu mudah diamalkan, juga ketika di
pejabat. Paling senang kalau ia boleh disimpan di dalam laci meja dan
tidak mengambil masa yang lama untuk dihidang dan dimakan.
SUMBER:HARIAN METRO