Showing posts with label diabetis. Show all posts
Showing posts with label diabetis. Show all posts

Tuesday 3 July 2012

LANGKAH AWAL MENGATASI DIABETIS

Hati-hati golongan muda, diabetes tidak kenal usia


KUALA LUMPUR - Semasa bertatih-tatih, Nursyahirah Samsuri menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya, apa tidaknya, kerana mempunyai pipi yang gebu dan badan yang montel.
 
Bagaimanapun, apabila meningkat usia 18 tahun lain pula ceritanya. Berat badannya semakin bertambah terutama pada tempoh tiga tahun kebelakangan ini daripada 50 kilogram, meningkat kepada 80 kilogram sekarang ini.
 
Beliau terus dirundung masalah. Hasil ujian 'Impact Glucose Test Tolerance (IGTT)' baru- baru ini mendapati beliau berhadapan dengan peringkat pra diabetes iaitu gula dalam darah lebih tinggi daripada normal dan berisiko menghidap diabetes jika tidak dikawal dan dirawat.
  
Gaya Hidup Kurang Sihat

Nursyahirah, anak bongsu daripada dua beradik, langsung tidak mengetahui risiko penyakit diabetes yang dihadapinya lantaran tidak ada sebarang tanda.
 
Beliau berasa kesihatannya sentiasa berada pada tahap yang cukup baik.

Beliau hanya mengetahui mengenainya ketika membuat pemeriksaan kesihatan untuk kemasukan ke sebuah pusat pengajian tinggi awam baru-baru ini.
 
Hasilnya, doktor mengesahkan kandungan gula dalam darahnya sangat tinggi iaitu 16. Selain itu warna kencingnya tidak normal dan dikhuatiri ia turut memberi kesan kepada buah pinggangnya.
 
Bapanya, Samsuri Husin mengakui Nursyahirah kurang mengambil berat soal pemakanannya dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Aktiviti hariannya ialah menonton drama bersiri Korea hingga sanggup menghabiskan masa seharian di hadapan kaca televisyen.
 
"Masa menonton itu, makanan ringan dan minuman bergas sentiasa ada di sebelah untuk menemaninya," katanya.
 
"Dia kurang makan nasi, tapi banyak makan pizza, makanan segera dan ringan. Selain itu, beliau jarang bersenam atau melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh," katanya.
 
Kini Nursyahirah terpaksa melakukan pemeriksaan rutin di hospital untuk memastikan kandungan gula dalam badannya sentiasa terkawal terutama bagi memastikan buah pinggangnya tidak rosak.

Golongan Muda

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Diabetes Negara (NADI) Datuk Prof Emeritus Mustaffa Embong, peningkatan mereka yang menghidap diabetes bukan sahaja di kalangan dewasa malahan golongan muda.
 
Ramai di kalangan mereka yang berumur 18 hingga 45 tahun tidak sedar yang mereka menghidap diabetes sehinggalah berhadapan dengan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, rabun, masalah jantung atau sehingga anggota badan perlu dipotong.
 
"Kanak-kanak seawal empat tahun pernah dikesan menghidap penyakit ini. Ada kes kanak-kanak berusia enam tahun menghidap diabetes Type 2, malah ada juga yang baru lahir dengan masalah sama yang mereka mewarisi daripada ibu yang 
Beliau berkata lebih membimbangkan apabila ramai di kalangan pesakit muda yang menghidap diabetes Type 2, yang biasanya berlaku kepada golongan dewasa.
 
Ini kerana mereka tidak merasai tanda-tanda kewujudan penyakit itu.

Punca masalah
   
"Banyak puncanya, ada yang diturunkan daripada ibu ketika mengandung. Bila lahir anak saiz besar, kita anggap anak itu comel sebab nampak gemuk dan sihat.
 
"Sedangkan kanak-kanak dengan masalah obesiti berisiko tinggi mendapat diabetes kerana kebiasaannya susah nak turunkan berat badan mereka. Ia dibawa hingga dewasa, ditambah dengan gaya hidup masa kini yang kurang bersenam dan pemakanan tidak seimbang, meningkatkan lagi risiko untuk mendapat diabetes," katanya.
 
Jumlah pesakit diabetes, termasuk wanita mengandung, disebabkan faktor keturunan dan obesiti meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus dan yang paling membimbangkan mereka tidak mengetahuinya sehinggalah menghidap pelbagai penyakit.
 
Ibu bapa sekarang merasa bersalah sekiranya anak mereka kurang makan hingga mereka bertindak memberi makan secara berlebihan daripada apa yang diperlukan oleh badan.
 
"Saya perhatikan sikap ibu bapa sekarang juga kurang membenarkan anak melakukan aktiviti luar, bermain di padang permainan, berlari mengeluarkan peluh, terutama yang tinggal di kawasan bandar.
 
"Mereka lebih suka, anak duduk di rumah menonton televisyen atau bermain 'game' dan makan," katanya.

Lakukan Pemeriksaan Awal

Menurut Kementerian Kesihatan, Malaysia kini menduduki tangga pertama di rantau Asia dalam bilangan pesakit diabetes dan tersenarai di tangga  ke-10 dunia bagi penyakit itu selepas Asia Barat dan Asia Pasifik.
 
Mengikut rekod, terdapat 2.6 juta pesakit diebetis berusia lebih 30 tahun. Daripada jumlah ini, separuh atau 1.3 juta tidak sedar mereka mempunyai diabetes.
 
Sejak 26 tahun lepas, pesakit diabetes di negara ini meningkat ketara iaitu 6.3 peratus pada tahun 1986, 8.3 peratus pada 1996, 14.9 peratus tahun 2006 dan 18 peratus tahun lepas.
 
Angka ini amat menakutkan kerana jumlah itu meningkat setiap tahun kerana kebanyakannya lambat melakukan pemeriksaan dan mendapat rawatan.
 
Mustaffa berkata ramai yang tidak melakukan pemeriksaan gula dalam darah selain enggan menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup mereka.
 
"Ramai yang tahu tentang penyakit diabetes, risiko yang bakal dihadapi, namun untuk mempraktikkan langkah-langkah pencegahan itu amat sukar. Masalah sikap ini menyebabkan mereka, terutama di kalangan orang Melayu, menyerahkan kepada takdir apabila mendapat penyakit itu.
 
"Kerana itu mereka tidak ambil kisah akan penyakit itu walaupun tergolong di kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti obesiti dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes," katanya dan menambah kata wanita terutama suri rumah adalah golongan paling tinggi menghidap diabetes berbanding lelaki.
 
Beliau menyarankan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa aktif, menjaga pemakanan dengan memakan apa yang diperlukan oleh badan sahaja serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Pemeriksaan Percuma

Menyedari ramai rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah obesiti dan diabetes, pusat perubatan Tropicana Medical Centre (TMC) mengadakan program LEAP 'Living Everyday Actively & Progressively" (Hidup Setiap Hari dengan Aktif dan Progresif) bagi tempoh satu tahun.
 
Ia memberi fokus kepada empat aspek iaitu mengambil pemakanan seimbang, melakukan aktiviti dan senaman, tidur yang mencukupi dan sentiasa mengawal emosi agar tidak tertekan bagi menjalani kehidupan yang sihat.
 
Penting untuk setiap rakyat Malaysia mengetahui awal tanda-tanda mereka mengalami obesiti dan diabetes yang menjadi masalah kesihatan utama masyarakat hari ini, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Erica Lim.
 
Melalui program LEAP, pemeriksaan percuma kandungan gula dan obesiti disediakan kepada orang ramai yang menyertai setiap program yang dianjurkan.
 
"Selain itu nasihat pemakanan seimbang bagi mengawal obesiti turut diberikan oleh pakar nutrisi serta baucar bagi mengajak rakyat Malaysia melakukan senaman di gim Fitness First turut disediakan," katanya dan menambah kata pengacara televisyen terkenal, Jojo Struys telah dilantik sebagai duta program LEAP. - Bernama

SUMBER:SINAR HARIAN