Hati-hati golongan muda, diabetes tidak kenal usia
KUALA LUMPUR - Semasa bertatih-tatih, Nursyahirah Samsuri menawan hati
sesiapa sahaja yang melihatnya, apa tidaknya, kerana mempunyai pipi yang
gebu dan badan yang montel.
Bagaimanapun, apabila meningkat usia 18 tahun lain pula ceritanya.
Berat badannya semakin bertambah terutama pada tempoh tiga tahun
kebelakangan ini daripada 50 kilogram, meningkat kepada 80 kilogram
sekarang ini.
Beliau terus dirundung masalah. Hasil ujian 'Impact Glucose Test
Tolerance (IGTT)' baru- baru ini mendapati beliau berhadapan dengan
peringkat pra diabetes iaitu gula dalam darah lebih tinggi daripada
normal dan berisiko menghidap diabetes jika tidak dikawal dan dirawat.
Gaya Hidup Kurang Sihat
Nursyahirah, anak bongsu daripada dua beradik, langsung tidak
mengetahui risiko penyakit diabetes yang dihadapinya lantaran tidak ada
sebarang tanda.
Beliau berasa kesihatannya sentiasa berada pada tahap yang cukup baik.
Beliau hanya mengetahui mengenainya ketika membuat pemeriksaan
kesihatan untuk kemasukan ke sebuah pusat pengajian tinggi awam
baru-baru ini.
Hasilnya, doktor mengesahkan kandungan gula dalam darahnya sangat
tinggi iaitu 16. Selain itu warna kencingnya tidak normal dan dikhuatiri
ia turut memberi kesan kepada buah pinggangnya.
Bapanya, Samsuri Husin mengakui Nursyahirah kurang mengambil berat soal
pemakanannya dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Aktiviti
hariannya ialah menonton drama bersiri Korea hingga sanggup menghabiskan
masa seharian di hadapan kaca televisyen.
"Masa menonton itu, makanan ringan dan minuman bergas sentiasa ada di sebelah untuk menemaninya," katanya.
"Dia kurang makan nasi, tapi banyak makan pizza, makanan segera dan
ringan. Selain itu, beliau jarang bersenam atau melakukan sebarang
aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh," katanya.
Kini Nursyahirah terpaksa melakukan pemeriksaan rutin di hospital untuk
memastikan kandungan gula dalam badannya sentiasa terkawal terutama
bagi memastikan buah pinggangnya tidak rosak.
Golongan Muda
Menurut Pengarah Eksekutif Institut Diabetes Negara (NADI) Datuk Prof
Emeritus Mustaffa Embong, peningkatan mereka yang menghidap diabetes
bukan sahaja di kalangan dewasa malahan golongan muda.
Ramai di kalangan mereka yang berumur 18 hingga 45 tahun tidak sedar
yang mereka menghidap diabetes sehinggalah berhadapan dengan komplikasi
seperti kegagalan buah pinggang, rabun, masalah jantung atau sehingga
anggota badan perlu dipotong.
"Kanak-kanak seawal empat tahun pernah dikesan menghidap penyakit ini.
Ada kes kanak-kanak berusia enam tahun menghidap diabetes Type 2, malah
ada juga yang baru lahir dengan masalah sama yang mereka mewarisi
daripada ibu yang
Beliau berkata lebih membimbangkan apabila ramai di kalangan pesakit
muda yang menghidap diabetes Type 2, yang biasanya berlaku kepada
golongan dewasa.
Ini kerana mereka tidak merasai tanda-tanda kewujudan penyakit itu.
Punca masalah
"Banyak puncanya, ada yang diturunkan daripada ibu ketika mengandung.
Bila lahir anak saiz besar, kita anggap anak itu comel sebab nampak
gemuk dan sihat.
"Sedangkan kanak-kanak dengan masalah obesiti berisiko tinggi mendapat
diabetes kerana kebiasaannya susah nak turunkan berat badan mereka. Ia
dibawa hingga dewasa, ditambah dengan gaya hidup masa kini yang kurang
bersenam dan pemakanan tidak seimbang, meningkatkan lagi risiko untuk
mendapat diabetes," katanya.
Jumlah pesakit diabetes, termasuk wanita mengandung, disebabkan faktor
keturunan dan obesiti meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus dan yang
paling membimbangkan mereka tidak mengetahuinya sehinggalah menghidap
pelbagai penyakit.
Ibu bapa sekarang merasa bersalah sekiranya anak mereka kurang makan
hingga mereka bertindak memberi makan secara berlebihan daripada apa
yang diperlukan oleh badan.
"Saya perhatikan sikap ibu bapa sekarang juga kurang membenarkan anak
melakukan aktiviti luar, bermain di padang permainan, berlari
mengeluarkan peluh, terutama yang tinggal di kawasan bandar.
"Mereka lebih suka, anak duduk di rumah menonton televisyen atau bermain 'game' dan makan," katanya.
Lakukan Pemeriksaan Awal
Menurut Kementerian Kesihatan, Malaysia kini menduduki tangga pertama
di rantau Asia dalam bilangan pesakit diabetes dan tersenarai di tangga
ke-10 dunia bagi penyakit itu selepas Asia Barat dan Asia Pasifik.
Mengikut rekod, terdapat 2.6 juta pesakit diebetis berusia lebih 30
tahun. Daripada jumlah ini, separuh atau 1.3 juta tidak sedar mereka
mempunyai diabetes.
Sejak 26 tahun lepas, pesakit diabetes di negara ini meningkat ketara
iaitu 6.3 peratus pada tahun 1986, 8.3 peratus pada 1996, 14.9 peratus
tahun 2006 dan 18 peratus tahun lepas.
Angka ini amat menakutkan kerana jumlah itu meningkat setiap tahun
kerana kebanyakannya lambat melakukan pemeriksaan dan mendapat rawatan.
Mustaffa berkata ramai yang tidak melakukan pemeriksaan gula dalam
darah selain enggan menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup mereka.
"Ramai yang tahu tentang penyakit diabetes, risiko yang bakal dihadapi,
namun untuk mempraktikkan langkah-langkah pencegahan itu amat sukar.
Masalah sikap ini menyebabkan mereka, terutama di kalangan orang Melayu,
menyerahkan kepada takdir apabila mendapat penyakit itu.
"Kerana itu mereka tidak ambil kisah akan penyakit itu walaupun
tergolong di kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti obesiti dan
mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes," katanya dan
menambah kata wanita terutama suri rumah adalah golongan paling tinggi
menghidap diabetes berbanding lelaki.
Beliau menyarankan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat,
sentiasa aktif, menjaga pemakanan dengan memakan apa yang diperlukan
oleh badan sahaja serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala
bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Pemeriksaan Percuma
Menyedari ramai rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah obesiti dan
diabetes, pusat perubatan Tropicana Medical Centre (TMC) mengadakan
program LEAP 'Living Everyday Actively & Progressively" (Hidup
Setiap Hari dengan Aktif dan Progresif) bagi tempoh satu tahun.
Ia memberi fokus kepada empat aspek iaitu mengambil pemakanan seimbang,
melakukan aktiviti dan senaman, tidur yang mencukupi dan sentiasa
mengawal emosi agar tidak tertekan bagi menjalani kehidupan yang sihat.
Penting untuk setiap rakyat Malaysia mengetahui awal tanda-tanda mereka
mengalami obesiti dan diabetes yang menjadi masalah kesihatan utama
masyarakat hari ini, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Erica
Lim.
Melalui program LEAP, pemeriksaan percuma kandungan gula dan obesiti
disediakan kepada orang ramai yang menyertai setiap program yang
dianjurkan.
"Selain itu nasihat pemakanan seimbang bagi mengawal obesiti turut
diberikan oleh pakar nutrisi serta baucar bagi mengajak rakyat Malaysia
melakukan senaman di gim Fitness First turut disediakan," katanya dan
menambah kata pengacara televisyen terkenal, Jojo Struys telah dilantik
sebagai duta program LEAP. - Bernama
SUMBER:
SINAR HARIAN