Rancang, jaga diri ketika hamil
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
KEBANYAKAN wanita terutama wanita mengandung tidak sedar mereka
mengalami masalah kekurangan zat besi atau anemia hingga adakalanya ia
mencapai tahap yang serius dan memerlukan pemindahan darah bagi
memastikan ibu dan bayi yang dikandung berada dalam keadaan selamat.
Zat besi amat diperlukan tubuh untuk menghasilkan sel darah merah
yang sihat dan keperluannya semakin kritikal apabila seseorang wanita
itu mengandung, melahirkan dan menyusukan bayi mereka.
|
BERKHASIAT...sayur-sayuran kaya zat besi untuk badan sihat. |
-
Bagi kakitangan swasta, Nurdiana Nordin, 29, yang mengalami masalah
kekurangan zat besi serius hingga terpaksa menjalani prosedur pemindahan
darah selepas melahirkan bayinya, baru-baru ini, tidak menyedari
keadaannya itu sehinggalah pemeriksaan doktor mendapati kandungan zat
besi dalam tubuhnya semakin berkurangan.
Nurdiana yang baru
melahirkan bayi ketiganya dua bulan lalu berkata, keadaan itu tidak
disedarinya memandangkan sepanjang mengandung, dia tidak mengalami
sebarang masalah kesihatan kecuali cepat berasa letih.
Namun, keadaan itu dianggap sebagai perkara biasa memandangkan
dia bekerja dan pada masa sama, perlu menguruskan keperluan anak dan
suami.
“Saya tidak tahu pun ada masalah kekurangan zat besi kerana saya
membuat pemeriksaan di hospital setiap bulan yang darah saya diambil
dan diperiksa. Namun, melalui pemeriksaan, doktor mendapati kandungan
zat besi dalam tubuh saya yang pada mulanya normal semakin menurun dan
membimbangkan,” katanya.
Nurdiana berkata, ketika hampir
melahirkan anak, kekurangan zat besi dalam tubuhnya semakin meruncing
walaupun dia mengamalkan pengambilan pil zat besi tambahan dan
memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran hijau.
Akibat keadaan
itu, doktor menyarankan dia menjalani pemindahan darah beberapa hari
sebelum melahirkan anak bagi memastikan keselamatan dirinya dan anak
yang bakal dilahirkan.
“Ia adalah pilihan terakhir dan saya
setuju mengikut nasihat doktor. Beberapa hari selepas itu, saya selamat
melahirkan bayi lelaki secara normal seberat 3.19 kilogram tanpa
sebarang komplikasi.
“Ketika mengandung sebelum ini pun ada
masalah kekurangan zat besi, tetapi ini yang paling serius,” katanya
yang mempunyai dua lagi anak berusia tujuh dan tiga tahun.
Pada
masa sama, pegawai bank, Foo Yong Sin, 34, turut mengalami masalah
serupa ketika mengandungkan anak keduanya, biarpun tidak sampai ke tahap
menjalani pemindahan darah.
Foo berkata, sebelum mengandung
kali kedua, dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai anemia
kerana tidak pernah membaca mengenainya, apatah lagi kandungan pertama
berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Mengandung kali kedua
banyak memberinya cabaran apabila bermula semester kedua kandungan, dia
mengalami pendarahan yang banyak hingga membuatkannya panik.
Bagaimanapun, doktor menenangkannya dan pemeriksaan mendapati kandungan
zat besi dalam tubuhnya agak rendah, tetapi tidak sampai tahap serius.
“Akibat keadaan saya itu, saya mengambil cuti panjang untuk berehat
dan pada masa sama melepaskan jawatan sementara kerana tidak mahu tubuh
tertekan sepanjang mengandung.
“Atas nasihat doktor yang mahu
saya tenang dan berfikir positif, saya banyak berehat selain menjaga
pemakanan dengan mengamalkan pengambilan pil zat besi tambahan,
sayur-sayuran hijau dan daging yang banyak bagi meningkatkan kandungan
zat besi dalam tubuh.
“Saya lega kerana selepas hampir dua
bulan, pendarahan pun berhenti, namun pemeriksaan doktor mendapati
kandungan zat besi saya semakin menurun,” kata ibu kepada dua anak
lelaki, Yow Li Herng, 2, dan Yow Li Bo, lapan bulan.
Akibat
masalah itu, dia mudah pening, berasa letih hampir setiap masa, banyak
tidur dan sukar menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara.
Katanya, amalan pemakanan sayuran hijau dan daging yang banyak selain
pengambilan suplemen zat besi, banyak membantunya meningkatkan stamina
tubuh dan kandungan zat besi dalam badannya.
“Apabila memasuki
semester ketiga kandungan, rasa letih yang saya alami sebelum itu akibat
kekurangan zat besi semakin hilang dan membuatkan saya berasa lebih
bertenaga untuk keluar rumah bertemu rakan selain membeli barangan
keperluan bayi.
“Pemeriksaan doktor juga mendapati kandungan zat
besi dalam tubuh saya semakin meningkat dan saya berjaya melahirkan
bayi yang sihat melalui kaedah Caesarean tanpa sebarang komplikasi,”
katanya.
Foo berkata, memandangkan dia masih menyusukan
bayinya, amalan pemakanan yang sihat serta pengambilan suplemen penting
seperti zat besi dan kalsium diteruskan bagi menyokong penyusuan badan.
Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala
Lumpur, Dr Premitha Damodaran berkata, ramai masih tidak tahu masalah
kekurangan zat besi yang serius adalah berbahaya dan ia boleh
menyebabkan masalah kesihatan serius bukan saja kepada ibu, tetapi
turut memberi kesan pada bayi yang dikandung.
Wanita bukan saja
perlu mengambil zat besi yang cukup ketika hamil, tetapi ia juga penting
sebelum proses mendapatkan zuriat. Kepentingan zat besi semakin
bertambah selepas melahirkan anak dan sepanjang tempoh menyusukan bayi.
“Zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar
oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.
“Oleh itu, wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan
menjaga diri ketika hamil serta selepas melahirkan anak dengan mengawasi
kandungan darah mereka.
“Apabila bilangan sel darah merah
kurang daripada normal (12 hingga 15mg/dl), wanita menghadapi risiko
mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat
besi,” katanya.
Menurutnya, kekurangan zat besi dalam badan
berpunca daripada diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh
badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah
teruk dan kehamilan.
Wanita hamil memerlukan zat besi tambahan
untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat
pemakanan diri sendiri dan tumbesaran bayi mereka.
Katanya,
dianggarkan wanita memerlukan 50 peratus lebih banyak zat besi ketika
hamil iaitu pertambahan jumlah daripada 15mg/dl kepada 27mg/dl sehari.
“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa mempunyai simpanan
zat besi secukupnya untuk memenuhi permintaan lebih tinggi badan
terhadap mineral itu, menyebabkan anemia kekurangan zat besi yang
berlanjutan berlaku sehingga selepas melahirkan anak,” katanya.
Bagi menambah bekalan zat besi ketika proses mendapatkan zuriat,
sewaktu hamil dan menyusukan bayi, Dr Premitha menyarankan meningkatkan
pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau,
kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan
kismis, kekacang, tembikai, labu, bijan dan tauhu.
“Dalam
kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat
anemia. Pilih rumusan zat besi yang boleh diterima badan kerana ia
penting untuk memulihkan kekurangan hemoglobin dan mengoptimumkan
penyerapan zat besi, membantu wanita menangani anemia ketika hamil dan
juga mengurangkan kesan sampingan seperti sembelit.
“Wanita yang
menghadapi risiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi
tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.
Selain itu, bagi meningkatkan keberkesanan terapi zat besi, ibu
disyorkan mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama
makanan untuk mengurangkan kesan rencatan.
Vitamin C tambahan
disyorkan diambil bersama makanan kerana diketahui meningkatkan serapan
zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan serapan zat besi jika
diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.
Kalsium tambahan pula disyorkan diambil secara berasingan daripada zat
besi, contohnya sebelum tidur, untuk mengurangkan rencatan kepada
penyerapan zat besi.
Menurut Dr Premitha, wanita perlu terus
mengambil makanan kaya dengan zat besi dan pemakanan tambahan sehingga
mereka berhenti menyusukan bayi atau selama enam bulan selepas
melahirkan anak, yang mana lebih lewat.
Dalam kes anemia serius
dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital,
diberikan pemindahan darah atau suntikan zat besi.
SUMBER:
HARIAN METRO