Tuesday, 3 July 2012

PENJAGAAN DIRI KETIKA HAMIL


Rancang, jaga diri ketika hamil

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

pix_middle
KEBANYAKAN wanita terutama wanita mengandung tidak sedar mereka mengalami masalah kekurangan zat besi atau anemia hingga adakalanya ia mencapai tahap yang serius dan memerlukan pemindahan darah bagi memastikan ibu dan bayi yang dikandung berada dalam keadaan selamat.
Zat besi amat diperlukan tubuh untuk menghasilkan sel darah merah yang sihat dan keperluannya semakin kritikal apabila seseorang wanita itu mengandung, melahirkan dan menyusukan bayi mereka.
   
    Foto
    BERKHASIAT...sayur-sayuran kaya zat besi untuk badan sihat.

Bagi kakitangan swasta, Nurdiana Nordin, 29, yang mengalami masalah kekurangan zat besi serius hingga terpaksa menjalani prosedur pemindahan darah selepas melahirkan bayinya, baru-baru ini, tidak menyedari keadaannya itu sehinggalah pemeriksaan doktor mendapati kandungan zat besi dalam tubuhnya semakin berkurangan.

Nurdiana yang baru melahirkan bayi ketiganya dua bulan lalu berkata, keadaan itu tidak disedarinya memandangkan sepanjang mengandung, dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan kecuali cepat berasa letih.


Namun, keadaan itu dianggap sebagai perkara biasa memandangkan dia bekerja dan pada masa sama, perlu menguruskan keperluan anak dan suami.

“Saya tidak tahu pun ada masalah kekurangan zat besi kerana saya membuat pemeriksaan di hospital setiap bulan yang darah saya diambil dan diperiksa. Namun, melalui pemeriksaan, doktor mendapati kandungan zat besi dalam tubuh saya yang pada mulanya normal semakin menurun dan membimbangkan,” katanya.

Nurdiana berkata, ketika hampir melahirkan anak, kekurangan zat besi dalam tubuhnya semakin meruncing walaupun dia mengamalkan pengambilan pil zat besi tambahan dan memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran hijau.

Akibat keadaan itu, doktor menyarankan dia menjalani pemindahan darah beberapa hari sebelum melahirkan anak bagi memastikan keselamatan dirinya dan anak yang bakal dilahirkan.

“Ia adalah pilihan terakhir dan saya setuju mengikut nasihat doktor. Beberapa hari selepas itu, saya selamat melahirkan bayi lelaki secara normal seberat 3.19 kilogram tanpa sebarang komplikasi.

“Ketika mengandung sebelum ini pun ada masalah kekurangan zat besi, tetapi ini yang paling serius,” katanya yang mempunyai dua lagi anak berusia tujuh dan tiga tahun.

Pada masa sama, pegawai bank, Foo Yong Sin, 34, turut mengalami masalah serupa ketika mengandungkan anak keduanya, biarpun tidak sampai ke tahap menjalani pemindahan darah.

Foo berkata, sebelum mengandung kali kedua, dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai anemia kerana tidak pernah membaca mengenainya, apatah lagi kandungan pertama berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Mengandung kali kedua banyak memberinya cabaran apabila bermula semester kedua kandungan, dia mengalami pendarahan yang banyak hingga membuatkannya panik.
Bagaimanapun, doktor menenangkannya dan pemeriksaan mendapati kandungan zat besi dalam tubuhnya agak rendah, tetapi tidak sampai tahap serius.

“Akibat keadaan saya itu, saya mengambil cuti panjang untuk berehat dan pada masa sama melepaskan jawatan sementara kerana tidak mahu tubuh tertekan sepanjang mengandung.

“Atas nasihat doktor yang mahu saya tenang dan berfikir positif, saya banyak berehat selain menjaga pemakanan dengan mengamalkan pengambilan pil zat besi tambahan, sayur-sayuran hijau dan daging yang banyak bagi meningkatkan kandungan zat besi dalam tubuh.

“Saya lega kerana selepas hampir dua bulan, pendarahan pun berhenti, namun pemeriksaan doktor mendapati kandungan zat besi saya semakin menurun,” kata ibu kepada dua anak lelaki, Yow Li Herng, 2, dan Yow Li Bo, lapan bulan.

Akibat masalah itu, dia mudah pening, berasa letih hampir setiap masa, banyak tidur dan sukar menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara.

Katanya, amalan pemakanan sayuran hijau dan daging yang banyak selain pengambilan suplemen zat besi, banyak membantunya meningkatkan stamina tubuh dan kandungan zat besi dalam badannya.

“Apabila memasuki semester ketiga kandungan, rasa letih yang saya alami sebelum itu akibat kekurangan zat besi semakin hilang dan membuatkan saya berasa lebih bertenaga untuk keluar rumah bertemu rakan selain membeli barangan keperluan bayi.

“Pemeriksaan doktor juga mendapati kandungan zat besi dalam tubuh saya semakin meningkat dan saya berjaya melahirkan bayi yang sihat melalui kaedah Caesarean tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Foo berkata, memandangkan dia masih menyusukan bayinya, amalan pemakanan yang sihat serta pengambilan suplemen penting seperti zat besi dan kalsium diteruskan bagi menyokong penyusuan badan.

Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Premitha Damodaran berkata, ramai masih tidak tahu masalah kekurangan zat besi yang serius adalah berbahaya dan ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius bukan saja kepada ibu, tetapi turut memberi kesan pada bayi yang dikandung.

Wanita bukan saja perlu mengambil zat besi yang cukup ketika hamil, tetapi ia juga penting sebelum proses mendapatkan zuriat. Kepentingan zat besi semakin bertambah selepas melahirkan anak dan sepanjang tempoh menyusukan bayi.

“Zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Oleh itu, wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri ketika hamil serta selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka.

“Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (12 hingga 15mg/dl), wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi,” katanya.

Menurutnya, kekurangan zat besi dalam badan berpunca daripada diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

Wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan tumbesaran bayi mereka.

Katanya, dianggarkan wanita memerlukan 50 peratus lebih banyak zat besi ketika hamil iaitu pertambahan jumlah daripada 15mg/dl kepada 27mg/dl sehari.

“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa mempunyai simpanan zat besi secukupnya untuk memenuhi permintaan lebih tinggi badan terhadap mineral itu, menyebabkan anemia kekurangan zat besi yang berlanjutan berlaku sehingga selepas melahirkan anak,” katanya.

Bagi menambah bekalan zat besi ketika proses mendapatkan zuriat, sewaktu hamil dan menyusukan bayi, Dr Premitha menyarankan meningkatkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang, tembikai, labu, bijan dan tauhu.

“Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia. Pilih rumusan zat besi yang boleh diterima badan kerana ia penting untuk memulihkan kekurangan hemoglobin dan mengoptimumkan penyerapan zat besi, membantu wanita menangani anemia ketika hamil dan juga mengurangkan kesan sampingan seperti sembelit.

“Wanita yang menghadapi risiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.

Selain itu, bagi meningkatkan keberkesanan terapi zat besi, ibu disyorkan mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan untuk mengurangkan kesan rencatan.

Vitamin C tambahan disyorkan diambil bersama makanan kerana diketahui meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan serapan zat besi jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.

Kalsium tambahan pula disyorkan diambil secara berasingan daripada zat besi, contohnya sebelum tidur, untuk mengurangkan rencatan kepada penyerapan zat besi.

Menurut Dr Premitha, wanita perlu terus mengambil makanan kaya dengan zat besi dan pemakanan tambahan sehingga mereka berhenti menyusukan bayi atau selama enam bulan selepas melahirkan anak, yang mana lebih lewat.

Dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, diberikan pemindahan darah atau suntikan zat besi.

SUMBER:HARIAN METRO