Showing posts with label tanam. Show all posts
Showing posts with label tanam. Show all posts

Wednesday, 4 July 2012

TIPS TANAM SALAD


SALAD (Lactuca sativa) dari famili Asteraceae mula ditemui di kawasan Timur Laut Tengah, Mesir.

Terdapat enam jenis varieti yang popular iaitu butterhead (L.sativa var. capitata), salad cina (L.sativa var.asparagina), crisphead, looseleaf (L.sativa var.crispa), romaine (L.sativa var.romana) dan summer crisp atau Batavian.

Selain sedap dimakan salad juga boleh dijadikan hiasan.

Ia juga mempunyai nilai perubatan seperti penawar kepada masalah insomia atau gangguan tidur.

Zat besi, kalsium,fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C. Magnesium dan zink pada salad mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai lactucarium yang bertindak sebagai sedatif.

Daun salad juga bertindak menenangkan dan melapangkan fikiran, sekali gus menghilangkan segala keresahan.

Daun ini juga kaya dengan karotin, serat dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan.

Oleh yang demikian, salad dikatakan sejenis sayuran antioksidan.

Penanaman

*Sesuai ditanam di kawasan yang agak sejuk

*pH yang sesuai ialah 5.5 -6.5

*Boleh ditanam menggunakan biji benih

*Boleh ditanam terus atau disemai terlebih dahulu di dalam talam (tray) semaian

*Naungan/teduhan perlu terutama di peringkat semaian iaitu dari mula disemai hingga hari ke-10.

*Kurangkan naungan dua atau tiga hari sebelum mengubah untuk memberikan penyesuaian kepada anak semaian. Daun-daun kelapa boleh digunakan sebagai naungan.

*Sediakan batas dan gaul dengan bahan organan (tahi ayam berproses)

*Selepas dua minggu, pindahkan anak benih semaian ke atas batas

*Jarak yang disyorkan ialah 20 sm antara pokok dan antara baris.

Pengairan

*Pengairan dilakukan dua kali sehari iaitu pagi dan lewat petang menggunakan air yang bersih tanpa klorin kecuali pada musim hujan.

*Pengairan boleh dilakukan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis.

Pembajaan

*Pembajaan awal dilakukan sewaktu penyediaan batas iaitu dengan menggaulkan bahan organan dan kompos sewaktu menggembur tanah.

*Jika menggunakan kaedah tanam terus, selepas dua minggu tabur baja organan sebanyak 10 gram di sekeliling setiap pokok

*Pembajaan kali kedua dilakukan pada minggu ke-4. Baja organik ditaburkan di sekeliling batas sebanyak 20 gram. Gembur tanah agar tidak padat.

Kawalan rumpai

*Rumpai yang tumbuh di atas batas dan di antara pokok perlu dibuang bagi mengurangkan persaingan nutrien dan cahaya matahari.

*Rumpai yang tumbuh di luar batas boleh dimesin dengan mesin pemotong rumput.

Kawalan perosak, penyakit

*Biasanya salad jarang diserang oleh perosak mahupun penyakit.

*Serangga perosak tidak suka makan salad kerana getah pada daun salad adalah pahit. Oleh kerana sifat itu, salad boleh dijadikan sebagai tanaman repellent (penghalau serangga perosak).

*Penyakit kulapuk downy dan reput pangkal sering menyerang tanaman salad. Ini adalah disebabkan oleh saliran tanah yang teruk.

*Cara kawalan yang boleh dibuat ialah buang tanaman yang telah diserang dan perbaiki saliran tanah kawasan tersebut.

*Buat racun organik menggunakan campuran bunga Marigold (bunga tahi ayam) yang telah dikisar halus, air dan sedikit sabun. Sembur pada pokok yang berpenyakit.

Penuaian

*Tuai pada minggu ke enam atau ketujuh selepas diubah ke batas (kaedah semaian)

*Tuai pada minggu ke 8-9 jika menggunakan kaedah tanam terus.

*Potong bahagian batang yang hampir dengan tanah. Akar tanaman dibiarkan mereput di dalam tanah.

*Penuaian elok dilakukan pada awal pagi atau lewat petang bagi mengurangkan 'stres' pada tanaman yang boleh menyebabkan tanaman cepat layu.


TIPS TANAM KANGKUNG

Kangkung (Ipomoea aquatic) tergolong dalam famili Convolvulaceae adalah berasal dari India. Di negara Cina, kangkung dikenali sebagai weng cai.

Di negara barat pula, kangkung biasa disebut swamp cabbage, water convolvulus, atau water spinach.

Kangkung terbahagi kepada dua jenis iaitu kangkung darat dan kangkung air.

Perbezaannya boleh dilihat pada bentuk daun, batang dan warna bunga. Kangkung darat berdaun tirus, batang berwarna hijau cerah dan bunga putih.

Manakala kangkung air pula berdaun agak lebar, batang lebih besar dan hijau tua, bunga kemerah-merahan.

Kangkung darat boleh ditanam di batas seperti sayur lain, tetapi kangkung air hanya hidup di kawasan yang berair.

Terdapat banyak khasiat pada kangkung, antaranya sebagai antitoksik, sedatif, antiradang, deuratik dan boleh menyejukkan badan. Kangkung juga kaya dengan vitamin A, B, C, protein, fosforus dan karoten.

Penanaman

nKangkung boleh dibiakkan dengan dua kaedah iaitu biji benih (kangkung darat) dan vegetatif bagi kangkung air (keratan batang yang berakar).

-Biji benih kangkung tidak perlu disemai kerana ia besar dan mudah hidup jika ditanam terus di atas batas.

-Batas disediakan selebar satu meter (m) dan panjang bergantung pada kawasan dan tujuan penanaman. Semasa menggembur tanah, tambah bahan organik sebagai baja permulaan dan menyuburkan tanah.- Setiap satu meter lebar , empat alur boleh terhasil kerana jarak yang disyorkan antara alur ialah 20sm.

-Biji benih ditabur jarang-jarang di dalam alur.- Sungkupan seperti jerami padi diletakkan di permukaan batas yang terdedah untuk kawalan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah.- Selepas antara tiga dan empat hari, biji benih akan bercambah.- Kaedah menanam kangkung air pula, batang kangkung yang telah berakar dipotong sepanjang antara lima dan lapan sentimeter

Kemudian cucuk batang kangkung yang berakar secara mencondong di kawasan tanah lembap dan berair.

Pengairan

nKangkung perlu air yang agak banyak. Keadaan tanah yang kering dan cuaca terlalu panas tanpa air boleh membantutkan pertumbuhan kangkung sekali gus menurunkan kualitinya.

nSiram air setiap dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan.

Pembajaan

- Semasa menyemai, sedikit baja organik telah digaul semasa penyediaan batas. Kadar itu cukup bagi kangkung yang baru membesar.

-Baja kedua akan diberi pada minggu kedua selepas menanam. Baja organik jenis butir boleh ditabur di sepanjang setiap alur. Anggaran antara 40 dan 50 gram bagi setiap pokok.

nBagi yang suka menggunakan baja organik bentuk cecair, sembur baja sekali setiap minggu di waktu pagi.

Kawalan rumpai

-Rumpai perlu sentiasa dikawal untuk elak persaingan (makanan dan cahaya) dengan tanaman.

-Merumpai di atas batas secara manual, potong rumpai di luar batas dengan sabit atau mesin pemotong rumput.

Kawalan serangga perosak

-Kangkung jarang diserang oleh perosak atau penyakit. Namun sesekali ada juga serangga perosak yang mengganggu pertumbuhannya.

-Kepinding dan penyakit karat putih biasa ditemui pada pokok kangkung.

-Membuat penggiliran tanaman boleh membantu mengawal penyakit tersebut.

-Kepinding pula mudah dikutip dan dibuang.

TIP TANAM BUNGA KERTAS

KELIHATAN seperti kertas dengan pelbagai warna dan bentuk yang cukup mengasyikkan, melambai seakan sehelai kertas tiap kali dihembus bayu.

Namun sifat dan daya ketahanannya tidaklah seperti kertas.

Itulah bunga kertas atau nama botaninya bougainvilla, yang dinamakan sempena Antoine de Bougainvilla.

Komander Laut Peranchis yang dikatakan orang pertama yang menemui bunga kertas.

Dipercayai berasal dari bahagian selatan Amerika, bunga kertas sering menjadi pilihan tanaman landskap, sebagai hiasan, bonsai, topiary, hiasan memanjat pergola dan seringkali digunakan sebagai pokok pagaran

Bukan sahaja kerana warna dan rupa bentuknya yang sungguh asyik mata memandang tetapi sifatnya cukup senang dijaga membuatkan bunga kertas menjadi penyeri laman yang popular di segenap kawasan dari kota metropolis sehinggalah ke pedalaman desa.

Pembiakan

Cara yang biasa digunakan ialah secara keratan

nbatang dan cantuman baji.

Keratan batang

Langkah 1

* Potong bahagian berkayu lembut iaitu sepanjang 10-15 sentimeter (sm) dari bahagian pucuk atau sejengkal setengah.

* Pastikan pisau yang digunakan adalah tajam, sebaik-baiknya gunakan scateurs. Potong secara 45 darjah atau secara serong. Setelah potong buang semua pucuk dan tinggalkan daun sebanyak dua atau tiga helai.

Langkah 2

* Sapukan bahagian yang telah dipotong tadi dengan hormon penggalak akar. Contohnya seradix.

Langkah 3

* Semai dan siram. Pada peringkat permulaan elakkan dari terkena cahaya matahari secara terus. Siram secara konsisten.

Cantuman baji

Cantuman baji atau istilah yang lebih popular digunakan ialah "kahwinkan" pokok bunga kertas yang biasanya dijalankan untuk menghasilkan pokok bunga kertas pelbagai warna pada satu pokok sahaja.

Peringatan, proses in harus dilakukan di awal pagi atau pada waktu petang. Elakkan membuat cantuman pada tengahari atau pada hari panas terik bagi menjamin kejayaan cantuman.

Langkah 1

* Pilih ranting yang hendak dicantumkan (scion). Buang semua daun pada bahagian yang hendak dicantumkan itu. Belah lebih kurang satu inci.

* Bahagian cantuman ini akan tumbuh sebagai ranting baharu.

Langkah 2

* Belah pokok penanti. Saiz belahan hendaklah sama dan sesuai dengan ranting yang hendak dicantumkan tadi. Belahan dilakukan di bawah bahagian mata tunas.

Langkah 3

* Terus cantumkan bahagian ranting yang dibelah tadi kepada pokok penanti. Dilakukan semasa getah masih belum kering. Faktor ini akan menentukan kejayaan cantuman.

Langkah 4

* Dengan berhati-hati balut cantuman tadi dengan parafilm atau sealing film bertujuan untuk memperkukuhkan lagi cantuman tersebut.

Langkah 5

* Gunakan plastik lutsinar atau plastik aiskrim untuk membalut bahagian cantuman tadi.

* Masukkan bermula daripada bahagian atas hujung cantuman dan seterusnya ikat. Biarkan selama seminggu atau dua minggu.

* Tujuan ini adalah untuk mengelakkan kehilangan air yang berlebihan.

* Juga buang semua daun pada bahagian batang pokok penanti. Daun baharu akan tumbuh pada bahagian ranting yang dicantumkan tadi.

Tips penjagaan

n Memerlukan saliran yang baik. Campuran terbaik ialah tanah bakar: baja organik: pasir sungai. Atau sebarang tanah campuran bersaliran baik atau poros sesuai untuk bunga kertas.

* Sebelum mengisi tanah campuran ke dalam pasu, letakkan batu-batu pecah atau pecahan pasu bagi menutup separuh daripada lubang pasu, kemudian letakkan bahan organik dan boleh juga dimasukkan baja tahi ayam yang telah diproses. Letakkan setebal dua inci.

* Sentiasa gemburkan kerana pokok bunga kertas memerlukan pengudaraan yang baik.

* Siram dengan jumlah air yang sederhana. Cukup sekadar membasahkan media pasuan. Elakkan siraman sehingga air keluar secara berlebihan melalui lubang pasu.

* Aktiviti pemangkasan hendaklah dilakukan secara berterusan bagi memastikan pengeluaran pucuk baharu dan juga pengeluaran bunga. Pemangkasan juga penting untuk membuang ranting-ranting yang berpenyakit dan mewujudkan aliran udara yang baik.

* Baja dengan menggunakan baja organik dan baja kimia.Bagi baja organik kekerapan adalah dua minggu sekali manakala bagi baja kimia sebulan sekali. Boleh guna baja butiran biru dan merah yang mempunyai unsur K yang tingi. Biasanya sebanyak 25gm setiap pasu atau satu sudu makan.

* Memerlukan cahaya matahari penuh. Elakkan persekitaran yang lembap. Pengudaraan persekitaran yang tidak baik akan menyebabkan penyakit yang disebabkan oleh kulat dan bakteria.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA

TIPS TANAM ORKID

Kehebatan orkid mendominasi 1/7 daripada tumbuhan berbunga di seluruh alam dan terdapat ribuan pelbagai orkid yang boleh dibiakkan.

Di Malaysia terdapat lebih kurang 100 genus orkid, atau dikenali dengan istilah botaninya Orchidaceae.

Antara yang paling digemari oleh peminat orkid ialah Oncidium, Phalaenopsis, Dendrobium, Cattleya, Arachnis, Vanda, Rananthera, Aeridovanda, Aeridanchis, Aranda, Arachnopsis, Burkillara, Christieara dan Doritaenopsis.

Kaedah pertumbuhan orkid

Terdapat dua kaedah bagi pertumbuhan orkid iaitu secara monopodial dan simpodial.

Simpodial merujuk kepada cara pertumbuhan melalui rizom atau bebawang, tiada batang utama.

Bebawang adalah bersegmen (beruas-ruas) dan sebahagiannya pendek tanpa ruas.

Setelah bebawang ini matang ia akan mengeluarkan pucuk-pucuk baharu.

Bunga akan keluar di penghujung pucuknya (kecuali bagi Dendrobrium sp. Bunga akan keluar di sisi batangnya).

Bebawang yang telah mencapai peringkat tua akan mengeluarkan tunas baharu sebelum mengecut dan mati.

Bagi tujuan untuk mendapatkan benih bebawang ini boleh dibiakkan.

Contoh orkid simpodial ialah Dendrobium, Oncidium, Cymbidium dan Cattleya.

Monopodial pula merujuk kepada kaedah pertumbuhan dengan hanya satu batang sahaja yang tumbuh secara menegak, tidak bercabang dan tunas baharu akan keluar apabila batang ini dipotong .

Contoh orkid monopodial ialah seperti Vanda sp., Arachnis sp., Renanthera sp., Phalaenopsis sp., dan Aranthera sp.

Kaedah Pembiakan Orkid

Orkid boleh dibiakkan melalui bebawangnya bagi orkid jenis simpodial dan melalui keratan bagi orkid jenis monopodial.

Bagi pembiakan dengan menggunakan biji benih, tahap kematangan adalah agak perlahan dengan mengambil masa selama satu sehingga tiga tahun untuk mencapai peringkat matang.

Bagi pembiakan dengan menggunakan keratan pula tahap matang dapat dicapai dengan lebih cepat iaitu seawal empat bulan sehingga 12 bulan.

Bagi pembiakan secara keratan bagi orkid monopodial, potong batang orkid tersebut dan ditanam pada tanah yang mempunyai tahap kelembapan yang rendah.

Akar udara akan keluar melalui batang tersebut. Berbunga pada bahagian batang di antara dua ketiak daun.

Kaedah lain yang semakin mendapat tempat di kalangan peminat dan pengusaha orkid ialah kaedah pembiakan secara kultur tisu.

Habitat orkid

Habitat orkid boleh dibezakan melalui empat habitat yang berbeza iaitu epifit, terrestrial, litofit dan saprofit.

Epifit

Merujuk kepada orkid yang hidup dengan cara menumpang mana-mana bahagian pokok lain tanpa mengambil nutrien perumahnya. Contoh orkid jenis ini ialah Catteleya, Dendrobrium, Oncidium dan phaleonopsis.

Terrestrial

Merujuk kepada cara orkid yang hidup dan membesar secara terus di atas tanah. Contoh orkid jenis ini ialah Aranthera, Rananthera, Arachnis dan Vanda.

Litofit

Tumbuh di atas batu-batan. Contoh orkid jenis ini ialah Dendrobrium dan Phaleonopsis.

Saprofit

Humus dan bahan organik sebagai media pertumbuhan. Contoh orkid jenis ini ialah Caranthe dan Goodyera sp.

Keperluan Pertumbuhan

Umumnya orkid memerlukan persekitaran yang panas pada siang hari dan keadaan yang sejuk pada malam hari.

Keperluan air pula adalah bergantung kepada jenis media yang digunakan yang kebiasaannya disesuaikan dengan sifat pertumbuhan orkid yang ditanam, keadaan persekitaran yang berkait rapat dengan suhu dan peringkat pertumbuhan iaitu usia orkid tersebut.

Kaedah Penanaman Orkid

Langkah pertama yang harus dilakukan bagi penanaman orkid ialah mengenalpasti jenis orkid yang dipilih, kemudian mengenalpasti keperluan orkid tersebut.

Kita harus memahami secara terperinci segala keperluan bagi menjamin pertumbuhan yang baik dan seterusnya memantapkan kemandirian orkid tersebut bagi penghasilan bunga yang berkualiti.

Perkara-perkara yang harus diambil perhatian ialah pemilihan media yang bersesuaian, keperluan persekitaran orkid tersebut dan cara-cara menjaganya.

Pemilihan Media

Secara umumnya media yang dipilih harus mempunyai ciri-ciri seperti daya pegangan air yang baik bagi membekalkan kelembapan yang optimum.

Pada masa yang sama juga boleh memegang baja yang dibekalkan, boleh menyediakan pengudaraan yang baik dan bersesuaian dengan keadaan persekitaran di mana orkid itu akan ditempatkan.

Nisbah campuran media juga penting bagi menjamin pertumbuhan yang baik.

Contoh-contoh media yang biasa digunakan ialah arang, batu-bata, habuk kayu, spaghnum moss, tunggul kayu, sabut kelapa, akar paku pakis, tempurung kelapa dan tanah campuran.

Ada juga orkid yang tidak memerlukan media untuk hidup di mana boleh digantung sahaja, seperti Vanda. Bagi kaedah ini penyiraman yang kerap diperlukan.

Arang

Sesuai untuk orkid yang memanjat dan bersifat epifit. Dipercayai boleh mengikat bahan-bahan toksin yang terhasil dari bahan organik dan juga bagi tujuan sokongan akar dan pengudaraan.

Arang dipecah-pecahkan terlebih dahulu kepada tiga saiz iaitu besar, sederhana dan kecil dan kebiasaannya digabungkan bersama pecahan batu bata dengan kadar 1:1.

Rendamkan arang dengan air biasa dan biarkan semalaman.

Rendaman ini bertujuan untuk membuang kandungan garam dan bahan kotoran yang terdapat pada arang tersebut semasa arang diproses.

Seterusnya bilas dengan air biasa. Boleh juga direndam dengan air baja untuk menggalakkan pertumbuhan.

Susunkan pecahan arang tadi dengan pecahan bersaiz besar pada dasar pasu, kemudian diikuti dengan saiz sederhana dan saiz kecil pada bahagian atas.

Susunan ini bertujuan untuk kelancaran pengakaran dan pengudaraan. Jika susunan terlalu padat pokok akan bantut.

Batu-bata

Langkah-langkah penggunaan batu bata adalah sama seperti penggunaan arang. Perbezaannya adalah batu-bata direndam dengan racun kulat terlebih dahulu untuk mengelakkan jangkitan kulat pada akar orkid.

Sabut kelapa

Penggunaan sabut kelapa sesuai untuk orkid bersaiz kecil. Digunakan kerana daya pegangan air yang tinggi, namun harus dikawal kelembapannya kerana boleh menyebabkan jangkitan kulat. Boleh juga digunakan secara gabungan dengan arang dan batu-bata.

Habuk kayu

Biasanya digunakan sebagai media pasuan dan juga cara penanaman dengan menggunakan batas. Serbuk kayu ini juga harus dirawat dengan menggunakan racun kulat sebagaimana arang dan batu bata.

Spaghnum moss

Adalah sejenis lumut yang telah diproses. Boleh menyimpan air dalam masa yang lama. Sesuai Bagi orkid jenis yang tidak berbawang (monopodial) dengan untuk pengekalan kelembapan yang lebih lama. Digunakan sebagai media sokongan untuk orkid yang ditanam pada potongan kayu. Boleh juga digunakan sepenuhnya sebagai media pasuan tanpa gabungan dengan arang dan batu-bata contohnya bagi genus Phaleonopsis.

Tunggul kayu

Sesuai digunakan untuk penanaman orkid secara gantung. Pilih kayu yang tidak terlalu reput dan pastikan kayu tersebut bebas perosak seperti kulat dan anai - anai. Pelbagai olahan kreatif boleh dihasilkan dengan menggunakan tunggul kayu. Gunakan spaghnum moss sebagai media sokongan dan membantu mengekalkan kelembapan kerana tunggul kayu akan kering dalam masa yang singkat.

Akar paku pakis

Akar paku pakis mempunyai kebolehan untuk menyimpan air dengan lebih lama berbanding tunggul kayu. Oleh itu kadar penyiraman boleh dikurangkan. Gunakan spaghnum moss sebagai media sokongan.

Tanah campuran

Bagi menyediakan tanah campuran penting bagi kita untuk mengetahui apakah nisbah yang sesuai, bahan apakah yang harus digunakan, adakah media tersebut dimampatkan atau tidak. Pemilihan ciri-ciri ini ditentukan oleh sifat pertumbuhan orkid tersebut. Antara contoh campuran yang biasa digunakan ialah kompos, perlite atau kerikil dan sekam padi dengan nisbah 1:1:1.

Dendrobium

Keperluan Persekitaran Orkid

Pencahayaan dan suhu adalah dua faktor utama yang memainkan peranan yang amat penting di dalam menjamin pertumbuhan yang baik bagi tanaman orkid.

Penghasilan bunga juga bergantung kepada keperluan suhu persekitaran, pencahayaan dan jangkamasa. Orkid seperti Phaleonopsis, Dendrobium, Cattleya dan Oncidium akan berbunga dengan baik sekiranya ditempatkan di kawasan yang redup.

Berlainan pula bagi orkid jenis Vanda, Ranthera, Mokara dan Aranda yang akan berbunga dengan baik apabila didedahkan dengan cahaya matahari secara berterusan pada peringkat matang.

Bagi kawasan tropika, keperluan cahaya tidak menjadi masalah yang ketara. Orkid memerlukan cahaya sekurang-kurangnya 10 jam sehari sehingga 14 jam sehari.

Cara terbaik untuk memberikan cahaya kepada orkid adalah dengan mewujudkan keadaan yang sama sebagaimana habitat asalnya iaitu hutan rimba.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengawal kadar pencahayaan bagi orkid.

Penggunaan rumah teduhan amat digemari oleh para peminat tegar orkid.

Rumah teduhan ini menggunakan net atau jaring hitam yang mempunyai ketelusan cahaya pada kadar 50 peratus. Teduhan juga boleh diwujudkan dengan cara menempatkan orkid di bawah pokok-pokok yang bertindak sebagai naungan.

Cara ini sekali gus mampu menghasilkan dekorasi laman gabungan bersama orkid dan tanaman landskap yang lain.

TIPS TANAM PETOLA

Persediaan tanah
Petola segi akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sm untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 1-1.2 meter,tinggi batas antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi,bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 dan 100 sm antara barisan.

Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang.

Jika ditanam terus, gali lubang sedalam satu hingga dua sm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus.

Kadar biji benih yang diperlukan ialah lima kg/hektar.

Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat, tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah

Pemangkasan

Pemangkasan dilakukan dengan mencantas dahan sisi dan pucuk terutama cabang sisi yang tumbuh 30 sm dari paras tanah,ia bagi menggalakkan pertumbuhan batang utama supaya cepat memanjat "trelis "/junjung yang disediakan dan memperbaiki pengudaraan tanaman, mengurangkan pertumbuhan vegetatif dan menggalak pengeluaran buah.

penyediaan junjung

Petola segi memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.

Sistem trelis boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu beruti berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap jarak 3 meter.

Kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai dibahagian atas dan bahagian bawah antara antara 20 dan 30sm dari permukaan tanah batas.

Tali rafia diikat antara dua dawai halus bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu

Pengairan

Pokok petola segi memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur,

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil. Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.

Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama

Pengawalan rumpai

Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang. Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu sama

ada secara manual atau secara kimia ia dilakukan dua atau tiga bulan sekali, elakkan semburan pada tanaman.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di satu satu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan .

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga. 

Kawalan perosak dan penyakit

Serangga yang biasa menyerang petola segi ialah lalat buah (Dacus sp), serangan pada buah yang menyebabkan buah berlubang dan busuk, buah muda yang diserang menjadi teruk dan berubah bentuk dan terbantut, pastikan buah petola dibungkus dan musnahkan buah yang diserang perosak.

Serangan kumbang daun (Aulacophora sp) pada bahagian akar dan daun oleh kumbang dewasa dan larva kumbang menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman, gunakan racun yang sesuai sebagai kawalan

Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum)  yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat  yang sesuai.

Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun,terdapat bintik berbentuk bersiku siku ,berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati,buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Penuaian

Petola segi boleh dituai antara enam dan tujuh minggu selepas penanaman.

Tuaian hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara antara 50 dan 60 hari.

Anggaran hasil ialah 12-20 tan/hektar. Tangkai buah dipotong 1.5 sm dari tangkai buah,ia digred mengikut saiz, kesegaran dan tahap serangan penyakit serta serangga. petola segi tahan selama tiga hari tanpa menjejaskan kualiti jika disimpan pada suhu ambian.

Pada suhu 15 dan kelembapan kira-kira 95 peratus tahan disimpan selama dua minggu.

TIPS TANAM SEKOI


Sekoi boleh hidup pada tanah yang agak kering, masin dan beralkali serta liat dengan pH 8.5. Ia mempunyai daya kerintangan tinggi kepada banjir, kemarau dan serangga perosak berbanding dengan jagung.

Fizikal pokok sekoi sama lebih kurang dengan pokok jagung cuma hasil/buahnya terletak dihujung pokok dan tunas baru/anak akan keluar dari pokok yang sama selepas batang utamanya di potong yang dipanggil ratoon.

Penanaman

Tanah mesti dikerjakan dengan menyeluruh untuk mengembur, menghapus rumpai, memperbaiki pengudaraan dan penyerapan air yang baik untuk pertumbuhan akar dan pokok.

nMembajak piring dua minggu sebelum menanam sedalam antara 20 dan 25 sentimeter (sm) untuk memasukkan sisa tanaman dan rumpai ke dalam tanah.

nMembajak putar selepas membajak piring untuk memecahkan tanah menjadi ketulan kecil

nMengapur untuk menaikan pH tanah kepada yang optimum iaitu 5.5 dan disyorkan GML (Ground Magnesium Limestone) dengan kadar dua tan/ hektar (ha) untuk tanah biasa.

nJarak tanaman bergantung kepada jenis tanah dan juga jenis sekoi iaitu antara dia antara 60 dan 90 sm antara baris dan di antara 10 dan 23 sm antara pokok.

nBiji benih dirawat dengan racun kulat terlebih dahulu sebelum ditanam sedalam tiga dan lima sm sebanyak tiga atau empat biji selubang.

nMenanam boleh menggunakan jentera atau dengan tangan dimana biji benih akan bercambah tiga hingga tujuh hari selepas ditanam.

nPenjarangan dibuat selepas tiga minggu ditanam dengan meninggalkan satu pokok selubang.

Pengawalan tumbesaran

nKawalan rumpai dilakukan sebanyak dua kali iaitu dua minggu dan empat minggu selepas menanam.

nPembajaan dengan kadar NPK 102:45:45 kg/ha dimana separuh unsur N dan semua P dan K diberi sebagai baja asas dan separuh lagi N diberi sebulan selepas menanam

nUlat pengorek batang adalah perosak utama dan boleh dikawal dengan semburan racun serangga yang bersesuaian

nSerangan burung adalah pada peringkat penyemaian dan ketika peringkat susu biji sekoi

nPenyakit hawar daun dan smut biji sekoi boleh dikawal dengan amalan kultura yang baik dan menggunakan racun yang bersesuaian

Penuaian

nHasil sekoi boleh dikutip mengikut jenis dan pada kebiasaannya di Malaysia bila mencapai di antara 97 dan 110 hari selepas ditanam.

nUntuk dapatkan hasil kedua (ratoon) batang sekoi dipotong hingga berdekatan paras tanah supaya tunas tumbuh untuk mengeluarkan anak pokok baharu

nJika tidak perlukan ratoon, potong pokok lebih tinggi dari paras tanah atau dengan mengerat atau memotong jambak buah

nHasil mengikut jenis DOOBS (1,791 kg/ha), CE/71 (1662 kg/ha), CE/178 (1,669 kg/ha) dan 655N(1,523 kg/ha)

Penyimpanan

nBiasanya biji sekoi disimpan tanpa diceraikan dari tangkai tetapi dikeringkan sehingga 10-14 % kelembapan untuk mengelak serangan kulat dan serangga

TIPS TANAM KACANG TANAH

KACANG tanah banyak digunakan sebagai minyak, marjerin, sabun, kacang goreng dan sebagainya. Ia mengandungi banyak nutrien seperti niacin, folate, serat, magnesium, vitamin E dan sebagainya.

Kacang tanah adalah merupakan sumber niacin yang baik untuk kesihatan otak dan perjalanan darah di samping kandungan unsur antioksidan.

Keperluan bentuk muka bumi dan keadaan tanah

l Tanah rata hingga sedikit bercerun

* Tiada kejadian air bertakung dengan saliran air yang baik

* Kedalaman tanah melebihi 50 sentimeter (sm) dengan tekstur tanah yang longgar

* pH 5.5 - 7.0

Penanaman

Penyediaan tanah

* Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik - balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik.

Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang sesuai.

Kadar biji benih dan jarak tanaman

* Kadar biji benih yang disyorkan adalah 60kg/ha. Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam.

* Jarak tanaman yang sesuai adalah 50 sm x 10 sm, sebiji selubang dengan kepadatan 200,000 pokok /hektar.

* Menanam boleh menggunakan tugal atau mengunakan jentera.

Pembajaan

* Kadar pembajaan yang biasa adalah 34:56:56 kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah.

* Kacang tanah memerlukan unsur kalsium yang lebih terutama pada peringkat pembentukan lengai mana kekurangan unsur ini akan menyebabkan lengai tidak berisi.

* Sumber kalsium ini boleh didapati dari kapur dan disyorkan ditabur pada peringkat pokok mula berbunga.

Pengawalan rumpai

* Racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam.

* Merumpai pusingan pertama boleh dijalankan pada antara 14 dan 21 hari selepas menanam dan pusingan kedua dia antara 30 dan 35 hari selepas menanam.

Kawalan perosak

* Ulat daun seperti Spodotera litura dan Heliothis arnigera boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.

* Perosak lengai, Etella zinckenella juga boleh dikawal dengan racun serangga Diazinon.

* Tikus merupakan perosak utama yang boleh menyebabkan kerugian besar. Amalan kultura yang baik dan kebersihan kawasan dapat mengurangkan serangan tikus di samping penggunaan racun dan umpan.

Kawalan penyakit

* Layu bakteria disebabkan oleh Pseudomonas solanacearum menyebabkan pokok layu dan mati.

* Mozek kacang tanah yang disebarkan oleh kutu daun (aphid) menyebabkan daun bertompok-tompok berwarna hijau tua.

* Penyakit kacang tanah dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik termasuk penggiliran tanaman.

Pemungutan hasil

* Hasil kacang tanah boleh dikutip antara di antara 90 dan 110 hari selepas ditanam bergantung kepada varieti yang ditanam.

* Anggaran hasil adalah tiga hingga 3.7 tan/ha.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA

TIPS TANAM UBI KELADI

UBI keladi dengan nama saintifik Colocasia esculenta dari keluarga Araceae merupakan tanaman tropika dan dipercayai berasal dari kawasan lembah di Malaysia dan ditanam di India pada 5000 tahun sebelum Masehi sebelum dibawa ke Mesir.

Pokok keladi mempunyai daun yang lebar berbentuk hati dengan saiz yang pelbagai. Sesetengah spesies keladi mengeluarkan sulur yang menjalar. Di negara seperti Fiji, ubi keladi dijadikan sumber makanan utama.

Keladi tidak boleh dimakan mentah dan dianggap beracun kerana kandungan calcium oxalate di dalamnya. Ia selamat untuk dimakan setelah direbus atau direndam dalam air semalaman.

Di Malaysia ubi keladi dijadikan makanan manusia dan ternakan.

Isi atau ubi keladi boleh digoreng, direbus, dibuat kuih muih dan juga bubur sementara batang dan sulur beberapa jenis keladi boleh dijadikan sayuran. Pengeluar utama keladi adalah negeri Johor.

Ubi keladi mengandungi karbohidrat yang tinggi di samping zat-zat galian yang lain.

Jenis-jenis keladi

Terdapat lebih daripada 35 kultivar keladi yang berbeza dan umumnya keladi dibahagi kepada dua kumpulan utama iaitu:

* Keladi jenis eddoe iaitu ubinya kecil dan dikelilingi oleh ubi-ubi sisi yang sempurna bentuknya dikenali sebagai Colocasia esculenta var. antiquorum.

* Keladi jenis dasheen iaitu keladi yang mempunyai ubi yang besar dan terdapat kelompok ubi sisi yang kecil dipanggil Colocasia esculenta var. esculenta.

Keperluan tanaman keladi

n Ubi keladi boleh hidup dalam julat suhu 270 - 300C.

* Taburan hujan melebihi 100 sm/tahun.

* Ubi keladi sesuai pada tanah lom berpasir dan tidak bertakung air dan juga tanah gambut.

* pH tanah yang sesuai adalah 4.5 hingga 7.

Penanaman

Penyediaan tanah

* Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.

* Jika tanah terlalu berasid, pengapuran perlu untuk menaikkan pH.

* Keladi boleh ditanam sama ada di atas batas atau tanpa batas.

Bahan tanaman dan jarak tanaman

* Benih keladi diperoleh dari sulur atau anak pokok yang berumur lebih kurang dua bulan dengan garis pusat tiga sentimeter.

* Pucuk anak benih keladi dipotong dan tinggalkan batang atau tangkai daun keladi sepanjang 30 sentimeter.

* Jarak antara pokok adalah 45 sentimeter dan antara barisan ialah 120 sentimeter.

* Penyiraman perlu pada peringkat awal pertumbuhan pokok terutama jika cuaca kering.

Pembajaan

* Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.

* Kadar pembajaan yang biasa adalah 60N:50P2O5:100K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.

* Baja diberi selepas 3-4 minggu ubi keladi ditanam.

Pengawalan rumpai

* Merumpai dijalankan semasa pokok membesar iaitu tiga minggu selepas ditanam.

* Kawalan rumpai boleh secara manual atau menggunakan racun rumpai.

* Semasa merumpai secara manual, tanah akan dikambus ke pangkal perdu pokok selepas sulur keladi dibuang.

* Sulur yang tidak diperlukan dibuang untuk memastikan tumbesaran pokok induk lebih sempurna.

Kawalan perosak dan penyakit

* Musuh ubi keladi adalah serangga seperti ulat dan belalang. Ulat Hippotion celerio akan memakan daun keladi hingga ke tangkainya. Kawalan yang disyorkan adalah dengan mengutip ulat perosak ini dan dimusnahkan.

* Belalang menyerang dengan memakan daun keladi yang menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Kawalan dengan menggunakan racun serangga sekiranya serangan terlalu teruk.

* Penyakit hawar daun oleh Phytophthora colocasia dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik dan membuang dan musnahkan pokok yang diserang.

* Penyakit reput umbisi oleh Sclerotium rolfsii juga boleh dikawal dengan amalan kultura seperti giliran tanaman dan musnahkan pokok yang dijangkiti.

Pemungutan hasil

* Hasil ubi keladi boleh dikutip selepas tujuh hingga 12 bulan ditanam bergantung kepada jenis dan penjagaannya dimana saiz ubi keladi ini telah sesuai untuk dipasarkan.

* Anggaran hasil adalah antara 6-12 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi keladi.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA

TIPS TANAM TEBU

Keperluan tanaman tebu

Tebu sesuai dalam iklim panas seperti cuaca tropika. Taburan hujan melebihi 600 milimeter (mm)/tahun.Tebu sesuai hidup pada tanah subur dan gembur hingga ke tanah jenis liat tetapi perlukan sistem saliran yang baik untuk mengelakkan dari air bertakung.

Penanaman

Penyediaan tanah

* Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.

* Jika tanah terlalu berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.

* Untuk tanaman tebu gula, kebiasaannya alur penanaman dibuat untuk memudahkan penanaman.

Bahan tanaman dan jarak tanaman

* Tebu biasa ditanam menggunakan keratan batang tebu yang diambil dari bahagian tengah tebu yang dipotong sepanjang 30 sentimeter (sm) yang mengandungi tiga hingga lima mata tunas.

* Batang tebu perlulah sihat, bebas penyakit dan perosak seperti ulat pengorek batang.

* Seludang yang terdapat padat keratan tebu tersebut perlu dibuang dan dirawat dengan racun kulat untuk mendapatkan kadar pertumbuhan yang tinggi.

* Keratan yang telah dirawat diatur dalam alur sedalam di antara 20 dan 25 sm dengan jarak alur di antara 120 dan 130 sm.

* Mata tunas tebu mestilah menghala kiri dan kanan dan tanah dikambus longgar untuk memudahkan mata tunas tumbuh.

* Penanaman biasa dihalakan pada penghujung musim hujan dan sekiranya cuaca panas dan kering semasa penanaman, sistem pengairan adalah perlu.

* Mata tunas akan tumbuh dalam masa 10 hingga -14 hari jika cukup kelembapan.

Pembajaan

* Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.

* Kadar pembajaan yang biasa adalah 120N:100P2O5:450K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.

* Setengah dari baja yang membekalkan unsur N dan K serta kesemua baja yang membekal unsur P diberi semasa penanaman dan baki baja diberi selepas tiga bulan penanaman.

* Selepas baja ditabur, tanah akan ditimbun ke pangkal pokok tebu untuk mengelakkan baja meruap serta dihakis supaya dapat digunakan secukupnya oleh pokok di samping dapat mengelak dari pokok tebu mudah tumbang.

Kawalan perosak dan penyakit

* Musuh utama tanaman tebu ialah ulat pengorek batang. Beberapa spesies yang dikenali ialah seperti Eucosma isograma, Phragmatacia spp dan Proceras sacchariphagus.

l Kawalan ulat pengorek batang ini adalah dengan amalan kultura yang baik dimana pokok-pokok yang diserang hendaklah dimusnahkan di samping kawalan secara biologi dan kawalan kimia.

* Koya Saccharicoccus sacchari adalah juga musuh utama tanaman tebu. Pengawalannya adalah dengan memusnahkan seludang tebu yang diserang.

* Tebu jarang diserang penyakit yang merbahaya dan jarang merabak seperti penyakit yang disebabkan oleh kulat, bakteria dan virus.

* Pengawalan penyakit adalah dengan menggunakan keratan tebu yang bebas dari penyakit dan sihat. Semburan racun kimia adalah mengikut keperluan dan amat penting amalan kultura yang baik seperti membuang pokok-pokok yang diserang dan mengelak menanam tanaman seperti jagung, sekoi dan lain-lain dari famili Poacea untuk mencegah penularan penyakit virus.

Pengawalan rumpai

* Merumpai dijalankan terutama pada peringkat awal pertumbuhan pokok dengan cara manual atau menggunakan racun rumpai.

* Selepas kerja membaja, merumpai boleh dijalankan serentak selepas itu.

* Selepas pokok membesar, merumpai adalah mengikut keperluan kerana pengawalan awal rumpai akan menyekat pertumbuhannya selepas pokok tebu tinggi.

Pemungutan hasil

* Kandungan gula sukros dalam tebu akan menentukan kualiti tebu tersebut dimana kandungnya akan mula meningkat bermula dari sembilan bulan hingga 14 bulan bergantung kepada penjagaan, jenis tebu dan keadaan cuaca.

* Anggaran hasil adalah di antara 90 dan 120 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi tebu.