Showing posts with label salad. Show all posts
Showing posts with label salad. Show all posts

Wednesday 4 July 2012

TIPS TANAM SALAD


SALAD (Lactuca sativa) dari famili Asteraceae mula ditemui di kawasan Timur Laut Tengah, Mesir.

Terdapat enam jenis varieti yang popular iaitu butterhead (L.sativa var. capitata), salad cina (L.sativa var.asparagina), crisphead, looseleaf (L.sativa var.crispa), romaine (L.sativa var.romana) dan summer crisp atau Batavian.

Selain sedap dimakan salad juga boleh dijadikan hiasan.

Ia juga mempunyai nilai perubatan seperti penawar kepada masalah insomia atau gangguan tidur.

Zat besi, kalsium,fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C. Magnesium dan zink pada salad mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai lactucarium yang bertindak sebagai sedatif.

Daun salad juga bertindak menenangkan dan melapangkan fikiran, sekali gus menghilangkan segala keresahan.

Daun ini juga kaya dengan karotin, serat dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan.

Oleh yang demikian, salad dikatakan sejenis sayuran antioksidan.

Penanaman

*Sesuai ditanam di kawasan yang agak sejuk

*pH yang sesuai ialah 5.5 -6.5

*Boleh ditanam menggunakan biji benih

*Boleh ditanam terus atau disemai terlebih dahulu di dalam talam (tray) semaian

*Naungan/teduhan perlu terutama di peringkat semaian iaitu dari mula disemai hingga hari ke-10.

*Kurangkan naungan dua atau tiga hari sebelum mengubah untuk memberikan penyesuaian kepada anak semaian. Daun-daun kelapa boleh digunakan sebagai naungan.

*Sediakan batas dan gaul dengan bahan organan (tahi ayam berproses)

*Selepas dua minggu, pindahkan anak benih semaian ke atas batas

*Jarak yang disyorkan ialah 20 sm antara pokok dan antara baris.

Pengairan

*Pengairan dilakukan dua kali sehari iaitu pagi dan lewat petang menggunakan air yang bersih tanpa klorin kecuali pada musim hujan.

*Pengairan boleh dilakukan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis.

Pembajaan

*Pembajaan awal dilakukan sewaktu penyediaan batas iaitu dengan menggaulkan bahan organan dan kompos sewaktu menggembur tanah.

*Jika menggunakan kaedah tanam terus, selepas dua minggu tabur baja organan sebanyak 10 gram di sekeliling setiap pokok

*Pembajaan kali kedua dilakukan pada minggu ke-4. Baja organik ditaburkan di sekeliling batas sebanyak 20 gram. Gembur tanah agar tidak padat.

Kawalan rumpai

*Rumpai yang tumbuh di atas batas dan di antara pokok perlu dibuang bagi mengurangkan persaingan nutrien dan cahaya matahari.

*Rumpai yang tumbuh di luar batas boleh dimesin dengan mesin pemotong rumput.

Kawalan perosak, penyakit

*Biasanya salad jarang diserang oleh perosak mahupun penyakit.

*Serangga perosak tidak suka makan salad kerana getah pada daun salad adalah pahit. Oleh kerana sifat itu, salad boleh dijadikan sebagai tanaman repellent (penghalau serangga perosak).

*Penyakit kulapuk downy dan reput pangkal sering menyerang tanaman salad. Ini adalah disebabkan oleh saliran tanah yang teruk.

*Cara kawalan yang boleh dibuat ialah buang tanaman yang telah diserang dan perbaiki saliran tanah kawasan tersebut.

*Buat racun organik menggunakan campuran bunga Marigold (bunga tahi ayam) yang telah dikisar halus, air dan sedikit sabun. Sembur pada pokok yang berpenyakit.

Penuaian

*Tuai pada minggu ke enam atau ketujuh selepas diubah ke batas (kaedah semaian)

*Tuai pada minggu ke 8-9 jika menggunakan kaedah tanam terus.

*Potong bahagian batang yang hampir dengan tanah. Akar tanaman dibiarkan mereput di dalam tanah.

*Penuaian elok dilakukan pada awal pagi atau lewat petang bagi mengurangkan 'stres' pada tanaman yang boleh menyebabkan tanaman cepat layu.