Showing posts with label tebu. Show all posts
Showing posts with label tebu. Show all posts

Wednesday, 4 July 2012

TIPS TANAM TEBU

Keperluan tanaman tebu

Tebu sesuai dalam iklim panas seperti cuaca tropika. Taburan hujan melebihi 600 milimeter (mm)/tahun.Tebu sesuai hidup pada tanah subur dan gembur hingga ke tanah jenis liat tetapi perlukan sistem saliran yang baik untuk mengelakkan dari air bertakung.

Penanaman

Penyediaan tanah

* Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.

* Jika tanah terlalu berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.

* Untuk tanaman tebu gula, kebiasaannya alur penanaman dibuat untuk memudahkan penanaman.

Bahan tanaman dan jarak tanaman

* Tebu biasa ditanam menggunakan keratan batang tebu yang diambil dari bahagian tengah tebu yang dipotong sepanjang 30 sentimeter (sm) yang mengandungi tiga hingga lima mata tunas.

* Batang tebu perlulah sihat, bebas penyakit dan perosak seperti ulat pengorek batang.

* Seludang yang terdapat padat keratan tebu tersebut perlu dibuang dan dirawat dengan racun kulat untuk mendapatkan kadar pertumbuhan yang tinggi.

* Keratan yang telah dirawat diatur dalam alur sedalam di antara 20 dan 25 sm dengan jarak alur di antara 120 dan 130 sm.

* Mata tunas tebu mestilah menghala kiri dan kanan dan tanah dikambus longgar untuk memudahkan mata tunas tumbuh.

* Penanaman biasa dihalakan pada penghujung musim hujan dan sekiranya cuaca panas dan kering semasa penanaman, sistem pengairan adalah perlu.

* Mata tunas akan tumbuh dalam masa 10 hingga -14 hari jika cukup kelembapan.

Pembajaan

* Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.

* Kadar pembajaan yang biasa adalah 120N:100P2O5:450K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.

* Setengah dari baja yang membekalkan unsur N dan K serta kesemua baja yang membekal unsur P diberi semasa penanaman dan baki baja diberi selepas tiga bulan penanaman.

* Selepas baja ditabur, tanah akan ditimbun ke pangkal pokok tebu untuk mengelakkan baja meruap serta dihakis supaya dapat digunakan secukupnya oleh pokok di samping dapat mengelak dari pokok tebu mudah tumbang.

Kawalan perosak dan penyakit

* Musuh utama tanaman tebu ialah ulat pengorek batang. Beberapa spesies yang dikenali ialah seperti Eucosma isograma, Phragmatacia spp dan Proceras sacchariphagus.

l Kawalan ulat pengorek batang ini adalah dengan amalan kultura yang baik dimana pokok-pokok yang diserang hendaklah dimusnahkan di samping kawalan secara biologi dan kawalan kimia.

* Koya Saccharicoccus sacchari adalah juga musuh utama tanaman tebu. Pengawalannya adalah dengan memusnahkan seludang tebu yang diserang.

* Tebu jarang diserang penyakit yang merbahaya dan jarang merabak seperti penyakit yang disebabkan oleh kulat, bakteria dan virus.

* Pengawalan penyakit adalah dengan menggunakan keratan tebu yang bebas dari penyakit dan sihat. Semburan racun kimia adalah mengikut keperluan dan amat penting amalan kultura yang baik seperti membuang pokok-pokok yang diserang dan mengelak menanam tanaman seperti jagung, sekoi dan lain-lain dari famili Poacea untuk mencegah penularan penyakit virus.

Pengawalan rumpai

* Merumpai dijalankan terutama pada peringkat awal pertumbuhan pokok dengan cara manual atau menggunakan racun rumpai.

* Selepas kerja membaja, merumpai boleh dijalankan serentak selepas itu.

* Selepas pokok membesar, merumpai adalah mengikut keperluan kerana pengawalan awal rumpai akan menyekat pertumbuhannya selepas pokok tebu tinggi.

Pemungutan hasil

* Kandungan gula sukros dalam tebu akan menentukan kualiti tebu tersebut dimana kandungnya akan mula meningkat bermula dari sembilan bulan hingga 14 bulan bergantung kepada penjagaan, jenis tebu dan keadaan cuaca.

* Anggaran hasil adalah di antara 90 dan 120 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi tebu.