Showing posts with label pelancongan. Show all posts
Showing posts with label pelancongan. Show all posts

Monday, 2 July 2012

PANTAI CHERATING

Menelusuri sungai, lihat penyu mendarat

Oleh Nurul Nafisah Mazlan
 PANTAI Cherating di Pahang adalah satu-satunya destinasi di pantai timur yang menjadi pilihan penggemar sukan luncur air berikutan keadaan ombaknya yang sesuai untuk aktiviti itu.

Malah, setiap kali monsun tiba, jenama sukan air terkenal, Billabong akan menganjurkan pertandingan luncur air dan ia mendapat sambutan menggalakkan peluncur air dari Australia, Jepun, Mesir, Indonesia dan Peru.

Selain sukan luncur air, banyak destinasi menarik yang boleh dikunjungi jika datang ke Cherating, antaranya melihat penyu bertelur di Teluk Mak Nik, kelip-kelip di sungai Ibok, menyusuri Sungai Cherating, melawat kilang batik dan Santuari Penyu.

Selain itu, pantainya yang memutih turut menarik minat pelancong yang inginkan ketenangan sambil menikmati pemandangan Laut China Selatan.


Kunjungan lebih 20 rakan media termasuk wakil dari Thailand dan Singapura ke negeri Pahang anjuran The Legend Resort, baru-baru ini memberi pengalaman cukup berharga.


Pantai Teluk Mak Nik

Sungai teluk Mak Nik sering menjadi pilihan penyu mendarat di persisiran pantai untuk bertelur. Kami amat bertuah apabila terdapat seekor penyu jenis Agar naik ke darat kira-kira jam 9 malam untuk mencari tempat bertelur.

Bukan mudah melihat penyu bertelur kerana ia bergantung kepada keadaan persekitaran pantai. Jika bulan terlalu terang, ia tidak menarik perhatian penyu untuk naik ke pantai.

Malah, kami juga tidak dibenarkan membuat bising atau mengambil gambar menggunakan “flash” kerana ia mengganggu konsentrasi haiwan itu atau menyebabkan anak penyu yang dilepaskan ke laut hilang pedoman.

Lazimnya masa yang sesuai untuk melihat penyu bertelur di antara jam 8 hingga 10 malam atau sekitar 4 pagi.

Bagi membezakan jantina, penyu jantan memiliki ekor panjang dan hampir tidak pernah naik ke darat, manakala penyu betina akan kembali bertelur di pantai sama saban tahun.

Setiap malam terdapat enam renjer yang akan mengawal persisiran pantai untuk merekodkan kehadiran penyu.

Mungkin ramai tidak tahu, dalam 60 hingga 120 anak penyu yang menetas, hanya seekor atau tiada yang hidup kerana banyak ancaman seperti terperangkap dalam pukat, terkena kipas bot nelayan, penangkapan secara haram atau dimakan binatang buas.

Ancaman itu menyebabkan penyu kian pupus terutamanya jenis Belimbing yang tidak kelihatan di pantai Cherating sejak lima tahun lalu.

Bagi memastikan penyu terus kekal, Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating menyediakan tempat perlindungan, penetasan, penyebaran maklumat dan penyelidikan mengenai penyu.

Pusat itu turut menyediakan kemudahan galeri pameran, khemah untuk disewa, makmal dan kedai cenderahati.


Sungai Cherating

Hari kedua, kami menyusuri Sungai Cherating yang dikelilingi pelbagai jenis pokok bakau.

Tidak sampai 10 minit rombongan kami terlihat biawak yang menuju ke celah-celah akar pokok bakau. Selang lima minit selepas itu kami dikejutkan pula dengan pemandangan ular kapak bakau yang berwarna hitam kekuningan.

Masing-masing teruja melihat persekitaran bagi mengenalpasti binatang apa pula yang bakal kelihatan selepas itu.

Bagi yang mahu mendekatkan diri dengan alam semula jadi, menyusuri hutan paya bakau ini sehingga 10 kilometer jauhnya akan menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Hanya deruan air dan kicauan burung boleh didengari.

Sesekali jika bernasib baik pengunjung dapat melihat sekumpulan monyet bermata putih melintas di atas kepala.

Aktiviti menyusuri Sungai Cherating dimulakan sejak tahun 80-an, tetapi ketika itu hanya menggunakan sampan.


Sungai Ibok

Di waktu malam, kami menyusuri Sungai Ibok bagi menyaksikan kelip-kelip, aktiviti yang pasti seronok bagi mereka yang tidak pernah melihat serangga itu.

Kami tidak dibenarkan membuat bising atau menyalakan lampu kerana akan mengganggu serangga itu.

Walaupun bulan terang pada malam itu, kami tetap berpeluang melihat deretan pelbagai jenis pokok di saluti cahaya, seakan-akan pokok krismas.

Sesekali hati rombongan media berdebar-debar apabila suasana persekitaran amat gelap, namun pemandu pelancong yang berpengalaman menyebabkan hati menjadi tenang.

Jantina kelip-kelip boleh dibezakan dengan melihat cahaya dihasilkan, jika terang dan bersinar, itu jantan dan yang agak malam, kelip-kelip betina.

Cahaya yang dikeluarkan kelip-kelip dihasilkan melalui geseran cecair yang ada di hujung badannya. Apabila geseran terbentuk, maka cahaya akan keluar.


Pulau Ular

Berkunjung ke Cherating tidak lengkap jika tidak memenaiki ‘banana bot, ‘band wigon’, snorkel, jet ski atau ke Pulau Ular dengan menaiki bot laju.

Dengan deruan ombak yang kuat, aktiviti itu sesuai dilakukan bersama keluarga, rakan-rakan atau orang tersayang.

Bagi yang mahu melakukan aktiviti snorkel, anda boleh menaiki bot ke Pulau Ular yang mengambil masa 30 minit.

Terdapat pelbagai jenis hidupan laut di sekitar pulau itu dan waktu paling sesuai untuk aktiviti itu ialah di pagi hari kerana ikan aktif mencari makanan.

Anda juga boleh memanjat bukit untuk melihat keadaan sekeliling termasuk sebuah pulau kecil, Pulau Helang di bahagian belakang Pulau Ular.

Ia digelar sedemikian kerana hanya terdapat seekor helang yang mendiami pulau itu.

Semasa kami tiba di puncak bukit, burung helang itu memang sedang berlegar-legar mengelilingi kawasan kediamannya itu.

SUMBER:HARIAN METRO 

HONG KONG

 Hong Kong destinasi pilihan

HONG Kong mempunyai 220,000 penduduk Islam daripada tujuh juta penduduk negara itu.

Justeru, pelancong beragama Islam ke negara itu pasti selesa apatah lagi ada kemudahan tempat beribadat dan mudah mendapat makanan halal.

Bagi meningkat jumlah pelancong Muslim ke negara itu, Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) mengadakan Bengkel Muslim Hong Kong, baru-baru ini.

Mufti Hong Kong, Muhammad Arshad berkata, Hong Kong antara destinasi pilihan pelancong luar negara terutamanya dari Malaysia.


“Justeru, kemudahan untuk masyarakat Muslim diperluaskan.


“Kawasan tarikan seperti masjid dipertingkatkan malah restoran masakan India, Barat dan China turut menyajikan masakan halal,” katanya.

HKTB turut melancarkan Panduan Pelancong Muslim dengan menyenaraikan tempat menarik untuk dilawati, himpunan restoran halal dan info mengenai masjid.

Hasil daripada buku panduan ini, pelancong Muslim bersedia untuk melawat tempat yang diperkenalkan di samping mengurangkan masalah bahasa di negara itu.

Pada masa yang sama, HKTB turut menganjurkan Skim Perkhidmatan Pelancongan Berkualiti (QTS) bagi membantu dan menjawab segala pertanyaan mengenai pembelian di kedai dan restoran bertauliah di bawah Skim QTS.

SUMBER:HARIAN METRO 

SYURGA PERCUTIAN

Oleh Siti Salmiah A Hamid

KUCHING terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan dari segi budaya, sejarah hinggalah ke makanan seperti kek lapis, mi kolok dan laksa Sarawak.

Negeri Bumi Kenyalang itu menarik kedatangan pelancong dari seluruh dunia untuk menghayati keindahan landskap flora dan faunanya.

Hal terbabit turut memacu perkembangan hotel, pusat peranginan, calet dan inap desa yang tumbuh bak cendawan.

Justeru, bagi merealisasi impian pelancong, Borneo Highlands Resort (BHR) dibina di kawasan tanah tinggi tropika bagi memberi pengalaman kepada pengunjung yang ingin mendekatkan diri dengan hidupan alam semula jadi.


Peranginan eksklusif berkeluasan 2023.43 hektar itu diliputi kehidupan alam semula jadi yang tidak terusik dek pembangunan malah ia ibarat syurga percutian untuk pelancong yang ingin lari daripada kesibukan bandar.


Lokasinya di dataran tinggi gunung kira-kira 1,000 meter dari paras laut, BHR yang dikelilingi hutan hujan tertua di dunia dan kedua terbesar menawarkan 30 bilik di rumah kelab dan 10 bilik di kabin hutan.

Bilik penginapan dikelaskan dengan nama unik seperti Eagle untuk Family Suite yang mempunyai 3 bilik, Albatross (suite) dengan 3 bilik, Par (standard room) dengan 6 bilik dan Birdie (deluxe room) mempunyai 18 bilik.

BHR menawarkan penginapan serba eksklusif dan privasi justeru jumlah tetamu yang menginap dihadkan pada jumlah tertentu bagi memberi keselesaan.

Pengunjung juga pasti terpesona dengan suasana nyaman udara sejuk pergunungan antara 18 hingga 28 darjah celsius sepanjang tahun.

Nikmati masakan di Kafe Annah Rais yang menyajikan masakan organik berkhasiat menerusi sayur-sayuran, buah-buahan dan herba.

Pelbagai aktiviti menarik mampu dilakukan di kawasan bukit ini seperti menunggang basikal, merentas desa, berjalan malam, menanam sayuran organik dan aktiviti memerhati burung.

Resort ini mempunyai padang golf yang paling indah di Sarawak. Hornbill Golf Course yang direka dengan 18 lubang di dataran tanah tinggi.

Ia direka Neil Crafter dari Australia Selatan mencerminkan kehidupan alam semula jadi.

Ia dirasmikan lagenda golf dunia, Tiger Woods pada 18 November 1999 ketika Kejohanan Golf Piala Dunia.

Tarikan dari Spa Jungle dianggap unik kerana memperkenalkan urutan tradisional Bidayuh iaitu teknik urutan asli masyarakat tempatan.

Borneo Highlands Resort yang dilancarkan pada Julai 2000 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah kerjasama antara Country Heights Holdings Berhad dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita).

Resort yang dibangunkan Tan Sri Lee Kim Yew ini boleh dikunjungi hanya sejam memandu dari bandar raya Kuching

SUMBER:HARIAN METRO 

PRODUK MESTI BELI DI CHINA

6 produk mesti beli 

HONG KONG antara destinasi pelancongan yang gemar dikunjungi oleh pengunjung dari Malaysia.

Negara itu mempunyai beberapa tempat tarikan, antaranya Disneyland Hong Kong, Menara Jam di Tsim Sha Tsui dan Pasar Wanita di Jalan Tung Choi, Mong Kok.

Bandar yang menemukan antara Timur dan Barat ini ada keistimewaan tersendiri sebagai syurga membeli-belah.

Ada enam produk dilabelkan ‘mesti beli’ oleh pelancong asing. Cuba ikuti tip ini ketika membeli-belah di Hong Kong. 

Emas

Pelbagai corak moden dan tradisional dipamerkan di sebalik almari kaca kedai barang kemas di sekitar bandar ini.


Pelbagai aksesori emas dan barang perhiasan pasti menambat hati anda. Barangan ini dijual pada harga bebas cukai.



Barangan seni dan tradisional


Barangan seni, kraftangan, artifak, batu jed dan gading sentiasa memukau perhatian pelancong selain untuk hadiah kenangan dan cenderamata.


Jika cenderamata terbabit mempunyai logo atau lambang dari China atau Hong Kong pasti membuatkan si penerima sentiasa menghargainya,



Teh


Perkataan teh secara tradisinya sebati dengan masyarakat Cina. Antara yang popular ialah teh China, teh hitam China serta teh herba.


Antara teh yang termasyhur sebagai minuman kesihatan ialah teh pu-erh, teh oolong dan teh telaga naga.



Pakaian/tekstil


Pakaian masyarakat Cina di Hong Kong sama ada moden atau tradisional adalah berlainan fesyennya dengan masyarakat Cina di Malaysia.


Cheongsam, jaket dan jubah ditawarkan dengan beberapa jenis tektil seperti sutera, kapas dan nilon mengikut gred.


Semakin tinggi dan banyak bahan mentah, pembuatan dan kehalusannya ia menjadi semakin mahal.



Pinggan mangkuk


Tidak dinafikan, pinggan mangkuk buatan China terkenal seluruh dunia kerana ketahanan dan kecantikan ukirannya.


Sejarah membuktikan pinggan mangkuk China wujud ratusan tahun dulu. Antara yang popular ialah produk porselin dan tembikar.



Kek dan makanan ringan


Hong Kong menjual pelbagai kek dihias cantik yang berinti kacang merah, tembikai, kacang hitam dan biji bunga teratai serta biji bunga matahari.


Kek China disimpan di dalam tin lalu dihias indah agar anda mudah membawa pulang atau dijadikan cenderamata
 

SUMBER:HARIAN METRO