Monday, 2 July 2012

SYURGA PERCUTIAN

Oleh Siti Salmiah A Hamid

KUCHING terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan dari segi budaya, sejarah hinggalah ke makanan seperti kek lapis, mi kolok dan laksa Sarawak.

Negeri Bumi Kenyalang itu menarik kedatangan pelancong dari seluruh dunia untuk menghayati keindahan landskap flora dan faunanya.

Hal terbabit turut memacu perkembangan hotel, pusat peranginan, calet dan inap desa yang tumbuh bak cendawan.

Justeru, bagi merealisasi impian pelancong, Borneo Highlands Resort (BHR) dibina di kawasan tanah tinggi tropika bagi memberi pengalaman kepada pengunjung yang ingin mendekatkan diri dengan hidupan alam semula jadi.


Peranginan eksklusif berkeluasan 2023.43 hektar itu diliputi kehidupan alam semula jadi yang tidak terusik dek pembangunan malah ia ibarat syurga percutian untuk pelancong yang ingin lari daripada kesibukan bandar.


Lokasinya di dataran tinggi gunung kira-kira 1,000 meter dari paras laut, BHR yang dikelilingi hutan hujan tertua di dunia dan kedua terbesar menawarkan 30 bilik di rumah kelab dan 10 bilik di kabin hutan.

Bilik penginapan dikelaskan dengan nama unik seperti Eagle untuk Family Suite yang mempunyai 3 bilik, Albatross (suite) dengan 3 bilik, Par (standard room) dengan 6 bilik dan Birdie (deluxe room) mempunyai 18 bilik.

BHR menawarkan penginapan serba eksklusif dan privasi justeru jumlah tetamu yang menginap dihadkan pada jumlah tertentu bagi memberi keselesaan.

Pengunjung juga pasti terpesona dengan suasana nyaman udara sejuk pergunungan antara 18 hingga 28 darjah celsius sepanjang tahun.

Nikmati masakan di Kafe Annah Rais yang menyajikan masakan organik berkhasiat menerusi sayur-sayuran, buah-buahan dan herba.

Pelbagai aktiviti menarik mampu dilakukan di kawasan bukit ini seperti menunggang basikal, merentas desa, berjalan malam, menanam sayuran organik dan aktiviti memerhati burung.

Resort ini mempunyai padang golf yang paling indah di Sarawak. Hornbill Golf Course yang direka dengan 18 lubang di dataran tanah tinggi.

Ia direka Neil Crafter dari Australia Selatan mencerminkan kehidupan alam semula jadi.

Ia dirasmikan lagenda golf dunia, Tiger Woods pada 18 November 1999 ketika Kejohanan Golf Piala Dunia.

Tarikan dari Spa Jungle dianggap unik kerana memperkenalkan urutan tradisional Bidayuh iaitu teknik urutan asli masyarakat tempatan.

Borneo Highlands Resort yang dilancarkan pada Julai 2000 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah kerjasama antara Country Heights Holdings Berhad dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita).

Resort yang dibangunkan Tan Sri Lee Kim Yew ini boleh dikunjungi hanya sejam memandu dari bandar raya Kuching

SUMBER:HARIAN METRO