Kebimbangan itu menunjukkan berlakunya kerosakan pada komponen enjin yang perlu diperiksa dan dibaiki segera bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pemanduan.
Jika dihantar ke bengkel, segelintir mekanik menggunakan rod pendengar atau alat pendengar khas manakala ada menggunakan pemulas skru panjang bagi mengesan punca bunyi bising sebelum melakukan kerja pembaikan.
Ruangan ini memberi maklumat punca enjin kenderaan bising serta langkah pemeriksaan sebelum dibawa ke bengkel untuk dibaiki.
Bunyi bising enjin pada kenderaan kerap berpunca daripada ruang lega antara injap yang terlalu besar atau kerosakan pada hidraulik pengangkat injap dan ia boleh dibaiki dengan membuka tutup enjin dan menyelaras ruang berkenaan.
Bunyi injap kerana pelarasan yang salah akan kedengaran bunyi lebih kuat ketika enjin dalam keadaan sejuk dan sebaliknya jika dalam keadaan panas.
Selain itu, bahan api yang kandungan oktananya terlalu rendah atau ada mendapan karbon dalam enjin juga akan menyebabkan enjin kenderaan menjadi bising. Ia boleh dikesan ketika enjin bekerja keras terutama mendaki bukit.
Bering haus hingga ruang lega antara komponen itu terlalu besar serta kepekatan minyak pelincir yang terlalu tipis hingga rod penyambung berlaga dengan aci engkol turut menyebabkan enjin kenderaan bising.
Piston yang longgar atau gelang omboh patah serta kehausan dinding silinder turut menyebabkan enjin menjadi bising.
Jika biasa memandu kenderaan, pelbagai bunyi yang melambangkan kerosakan berbeza pada komponen enjin dapat dikesan.
Kerosakan pada tali kipas boleh dikesan jika anda mendengar bunyi 'mencicit' terutama ketika kenderaan berada pada putaran enjin tertinggi.
Kerosakan itu mungkin berpunca daripada tali kipas yang terlalu longgar, haus, rosak atau berminyak. Periksalah tali kipas itu sama ada melaraskan ketegangannya, ganti yang baru atau bersihkan hingga tidak berminyak.
Bunyi 'mencicit' juga mungkin disebabkan kekurangan minyak pelincir pada sesondol dan lengan suis pemutus.
Bagi mengurangkan bunyi itu, minyak pelincir perlu dititiskan pada bahagian
itu dengan menggunakan tolok pengukur minyak berkenaan.
Apabila mendengar bunyi geselan atau hentakan, ia mungkin disebabkan ada bahagian enjin yang longgar seperti kabel dan skrunya dan kerosakan itu boleh dibaiki sendiri dengan mudah.
Jika tidak mampu membaiki sendiri, hantarlah kenderaan itu ke bengkel yang dipercayai supaya kerosakan itu dapat diperiksa mekanik berpengalaman bagi memastikan kenderaan selamat dan selesa digunakan.
SUMBER:HARIAN METRO