Showing posts with label kereta. Show all posts
Showing posts with label kereta. Show all posts

Tuesday, 3 July 2012

TEKNOLOGI PERTAMA DI DUNIA

PETALING JAYA 1 Julai - Naza Kia Malaysia (Naza Kia) dijangka membawa masuk model kenderaan mesra teknologi pertama dalam dunia yang memperkenalkan arahan suara, pada akhir tahun ini.

Ia sejajar dengan usaha Kia Corporation dari Korea Selatan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan hiburan maklumat dalam kenderaan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Naza Kia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar berkata, penggunaan teknologi arahan suara itu membabitkan semua model kenderaan Naza Kia sedia ada.

Beliau memberitahu, model kenderaan itu akan menjadi teknologi yang pertama digunakan Naza Kia di Malaysia dan juga di dunia setakat ini.

"Buat permulaan, kami menyasarkan model Kia Sorento yang pertama dilengkapkan dengan teknologi arahan suara untuk dibawa masuk ke negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis pertemuan semula ahli kelab My Forte Club (MFC) di Red Cube Naza Kia, di sini hari ini.

Majlis itu telah dihadiri seramai 105 ahli MFC.

Sehingga kini, MFC yang telah ditubuhkan secara tidak rasmi pada 2010 telah mempunyai lebih 3,000 ahli di seluruh negara.

Ketika ditanya jualan Kia Forte pada waktu ini, Hafiz memberitahu, sebanyak 600 hingga 700 buah Kia Forte telah dijual sejak Mac lalu.

Katanya, ia merupakan peningkatan mendadak jualan Naza Kia berbanding 400 buah hingga 500 buah sebulan sebelum ini.

Jelasnya, Kia Forte menyumbang sebanyak 50 peratus kepada jualan keseluruhan Naza Kia setakat ini.

"Masyarakat di negara ini semakin dapat menerima jenama Naza Kia berikutan kualitinya yang amat baik, malah, nilai jualan semula kenderaan Kia Forte juga tinggi berbanding model-model terdahulu.

"Kita berjaya memulihkan imej Naza Kia melalui pengenalan Kia Forte dan beberapa model baru yang lain,'' ujarnya.

Ketika ditanya mengenai konsep Red Cube Naza Kia, Hafiz memberitahu, Malaysia mempunyai Red Cube keempat di Asia.

Jelasnya, Red Cube menampilkan perkhidmatan empat S iaitu selenggara, jualan, alat ganti dan cat kenderaan.

"Pada akhir tahun ini, kami dijangka membuka Red Cube Naza Kia di Johor Bahru. Pada tahun depan pula, kami merancang untuk membukanya di Pulau Pinang,'' katanya.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA

Monday, 2 July 2012

BUNYI BISING PADA ENJIN

BIMBANG atau tidak selesa akan menyelubungi pemilik kenderaan apabila enjin mengeluarkan bunyi kurang enak didengar terutama ketika perjalanan jauh.
Kebimbangan itu menunjukkan berlakunya kerosakan pada komponen enjin yang perlu diperiksa dan dibaiki segera bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pemanduan.

Jika dihantar ke bengkel, segelintir mekanik menggunakan rod pendengar atau alat pendengar khas manakala ada menggunakan pemulas skru panjang bagi mengesan punca bunyi bising sebelum melakukan kerja pembaikan.

Ruangan ini memberi maklumat punca enjin kenderaan bising serta langkah pemeriksaan sebelum dibawa ke bengkel untuk dibaiki.


Bunyi bising enjin pada kenderaan kerap berpunca daripada ruang lega antara injap yang terlalu besar atau kerosakan pada hidraulik pengangkat injap dan ia boleh dibaiki dengan membuka tutup enjin dan menyelaras ruang berkenaan.

Bunyi injap kerana pelarasan yang salah akan kedengaran bunyi lebih kuat ketika enjin dalam keadaan sejuk dan sebaliknya jika dalam keadaan panas.

Selain itu, bahan api yang kandungan oktananya terlalu rendah atau ada mendapan karbon dalam enjin juga akan menyebabkan enjin kenderaan menjadi bising. Ia boleh dikesan ketika enjin bekerja keras terutama mendaki bukit.

Bering haus hingga ruang lega antara komponen itu terlalu besar serta kepekatan minyak pelincir yang terlalu tipis hingga rod penyambung berlaga dengan aci engkol turut menyebabkan enjin kenderaan bising.

Piston yang longgar atau gelang omboh patah serta kehausan dinding silinder turut menyebabkan enjin menjadi bising.

Jika biasa memandu kenderaan, pelbagai bunyi yang melambangkan kerosakan berbeza pada komponen enjin dapat dikesan.

Kerosakan pada tali kipas boleh dikesan jika anda mendengar bunyi 'mencicit' terutama ketika kenderaan berada pada putaran enjin tertinggi.

Kerosakan itu mungkin berpunca daripada tali kipas yang terlalu longgar, haus, rosak atau berminyak. Periksalah tali kipas itu sama ada melaraskan ketegangannya, ganti yang baru atau bersihkan hingga tidak berminyak.

Bunyi 'mencicit' juga mungkin disebabkan kekurangan minyak pelincir pada sesondol dan lengan suis pemutus.

Bagi mengurangkan bunyi itu, minyak pelincir perlu dititiskan pada bahagian
itu dengan menggunakan tolok pengukur minyak berkenaan.

Apabila mendengar bunyi geselan atau hentakan, ia mungkin disebabkan ada bahagian enjin yang longgar seperti kabel dan skrunya dan kerosakan itu boleh dibaiki sendiri dengan mudah.

Jika tidak mampu membaiki sendiri, hantarlah kenderaan itu ke bengkel yang dipercayai supaya kerosakan itu dapat diperiksa mekanik berpengalaman bagi memastikan kenderaan selamat dan selesa digunakan.

SUMBER:HARIAN METRO 

Wednesday, 25 April 2012

KEBURUKAN MEMANASKAN ENJIN KERETA


 Upacara memanaskan enjin adalah antara amalan yang sinonim dengan hampir semua pengguna kenderaan di seluruh negara. Tak kiralah sama ada pemandu kereta, lori, van, bas sekolah, kereta kebal, motosikal berkuasa rendah dan sebagainya termasuk helikopter.

Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Ada yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5 minit. Ada yang keluar rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah, sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk kereta untuk memulakan perjalanan. Makan masa dalam 15 minit juga. Golongan kaki panaskan enjin seperti itumesti bangun awal. Semua ini dilakukan kononnya demi untuk menjaga enjin. Demi untuk memastikan jangkahayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.

Soalnya sekarang adakah pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa keburukannya?

Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya ditegah. Negara Kanada telah memulakan kempen nasional mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan. Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun , United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan idling melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah?

The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya. Bayangkanlah berapa agaknya suhu di negara kita?

Salah seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata, “Engines run best at their design temperature”. Berdasarkan kenyataan Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin anda di dalam keadaan idling adalah bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih baik jika memandunya atau dengan kata lain style Amerika, lagi ‘gentle’ kalau pandu terus. Jadi berikut antara bahaya atau keburukkan dalam amalan yang tidak betul ini.

DINDING SILINDER CEPAT HAUS
Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan pepura (idling) dikatakan adalah satu perkara yang tidak baik dan berfaedah. Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahanapi tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan berubah dan hilang kecekapannya.


PALAM PENCUCUH MENJADI KOTOR
Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api sebanyak 5%.


PAIP EKZOS CEPAT BERKARAT
Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling), bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.


FUNGSI ENJIN GAGAL BERFUNGSI DENGAN BAIK
Kenderaan pada masa kini biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran udara dapat diminimakan.

Walaubagaimana pun, masalah yang timbul jika enjin berada di dalam keadaan pepura (idling), komponen ini tidak berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800 darjah selsius yang dimana adalah pada satu kadar suhu yang sangat panas berbanding enjin. Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya kepada alam sekitar. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana ia boleh beroperasi, anda perlulah memandu. Bukan meninggalkan kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan idling maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan tak bekerja. Apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar?

MEMBAZIR DAN MENCEMARKAN
Sekarang kita sudah mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita lihat apa pula kebaikkan memanaskan enjin. Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin.

Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara ini benar. Tetapi apa yang anda perlu tahu bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir. Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Untuk memastikan crankshaft ini berpusing laju apa yang anda perlu buat? Adakah dengan hanya membiarkan enjin dalam keadaan idling?

Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab mereka tahu jika enjin cepat rosak nanti mesti pelanggan mengadu. Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus pandu cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini tidak, siap boleh masuk rumah pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil sembang-sembang dengan isteri tapi enjin kereta terbiar hidup.

Seperkara lagi yang boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan anda tidak bergerak.

Sedarkah anda di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan enjin dibiarkan hidup dalam keadaan idling ini mampu menjimatkan beratus ribu juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas rumah hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita kongsikan perkara yang perlu diketahui oleh semua pengguna agar kita tidak menghadapi masalah yang berkaitan dengan enjin kenderaan kita. Itulah juga pentingnya kajian dan pandangan pakar-pakar mengenai cara yang betul dalam penjagaan kenderaan.