Tuesday, 28 April 2015

Sajak Perjuangan Belum Selesai Tun Dr Mahathir Mohamad

Koleksi Puisi-Sajak Perjuangan Belum Selesai Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.

 Tun Dr Mahathir Mohamad
Pusi Tun Mahathir Mohamad
Puisi Perjuangan Belum Selesai Oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati,
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan
Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita
Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung Samudera 
Menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Dimanakah silapnya?
Hingga Bangsaku merasa begitu kecil
Dan rendah diri
Apakah angkara penjajah?
Lalu Bangsaku mulai melupakan sebilangan silam
Dan sejarah gemilang membina empayar
Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
Kerana hanya bangsa yang berjaya 
Akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya. - Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)