PETALING JAYA - Bau busuk sering kali menusuk deria bau orang ramai ketika melalui kawasan perumahan yang ramai penghuninya dan tapak perniagaan yang ramai pengunjung.
  
Bila dicari di sekeliling punca bau kurang menyenangkan itu, timbunan sampah domestik kebiasaannya berada tidak jauh dari situ.
 
Selain timbunan sampah, ia juga berpunca daripada longkang yang tersumbat akibat sampah yang dibuang ke dalamnya.
  
Masalah di taman perumahan ini sebenarnya membayangkan masalah yang lebih besar di seluruh negara berhubung pengurusan sisa buangan domestik. 
  
Perlu bertanggungjawab
  
Sampah terhasil apabila isi rumah membuang apa yang mereka tidak perlukan. Apabila orang ramai gagal menguruskan sampah mereka dengan mengurangkan sisa buangan atau melupuskannya mengikut cara yang betul, dan apabila sistem kutipan sampah tidak sempurna, sampah mula bertimbun di tempat sendiri.
 
Sampah yang dibuang penghuni rumah kediaman dan peniagaan di Malaysia tidak semuanya diasingkan dari segi jenis, mahupun keadaan fizikalnya.
  
“Semasa saya bermastautin di Cape Town di Afrika Selatan selama beberapa tahun, sistem kutipan sampahnya berbeza daripada di Malaysia. Setiap penghuni kediaman mempunyai tong sampah beroda atau troli yang akan ditolak ke kawasan kutipan setiap seminggu sekali untuk dikutip. Sampahnya akan dibuang ke dalam beg sampah secara teliti, tidak ada yang tumpah dan baunya turut tidak menyesakkan udara sehinggakan mengganggu jiran tetangga,” jelas Aminah Hitam yang kini bermastautin di negeri Selangor.
  
Penghuni turut boleh terus mengasingkan sampah mengikut warna beg kerana kemudahan mengitar semula dibolehkan serentak.
  
Sistem di Cape Town dikatakan sangat teratur dan baik untuk penghuni setempat.
  
“Penghuni sekitar pun sangat peka dan berdisiplin. Sampah dikutip pada hari yang sama setiap minggu dan ia tetap dikutip walaupun pada hari cuti umum. Troli sampah itu ditolak sendiri dan penghuni mengambilnyaa semula pada sebelah petang hari yang sama setelah ia dikosongkan.
  
Untuk mereka yang tinggal di pangsapuri, mereka tidak memerlukan troli sampah sendiri tetapi perlu membuang sampah mereka di tempat yang telah ditentukan pihak pengurusan,” jelas Aminah lagi.

Tong Sampah

Semasa penulis berusia 10 tahun dan baru berpindah ke Petaling Jaya pada tahun 1970an, pengalaman membuang sampah ke dalam tong sampah yang diletakkan di tempat awam di kawasan seksyen 14, Petaling Jaya menunjukkan ketiadaan tong sampah yang sempurna turut menyumbang kepada masalah itu.
 
Penulis teringat bila cuba membuang cawan kertas minuman ke dalam tong sampah kecil yang digantung di tepi jalan berhadapan beberapa buah kedai, ia terus jatuh ke lantai.
  
Rupa-rupanya tong sampah yang diletakkan pihak majlis bandaran ketika itu, berlubang di bahagian dasarnya kerana telah berkarat.
 
Seorang penghuni di Kelana Jaya mengeluh bahawa penutup tong sampahnya yang menampung sisa buangan lima sekeluarga telah dilenyek lori yang mengutip sampah.
  
“Sekarang tong sampah kami tidak boleh ditutup rapat. Tudung tong penyek dan pada sebelah malam kucing memasuki tong sampah untuk mencari makanan di dalam sampah yang dibuang itu. Saya tertekan melihat keadaan pada keesokan paginya,” jelas Tengku Elisa Tengku Bustaman, bila ditanya tentang pengalamannya.
 
Sewaktu tinggal di Dammam, Arab Saudi dulu, menurutnya, tong sampah pukal diletakkan secara fizikal di hadapan beberapa buah rumah di kawasan kediamannya dan ia dikutip setiap dua hari sekali.
  
“Sistem kutipan di tempat tinggal saya itu memang cekap tapi di luar kawasan kediaman kami di Dammam itu, entahlah saya tak tahu sistemnya,” jelas Tengku Elisa.
  
Walaupun sistem kutipan sampah diatur dengan baik, penghuni masih perlu membuang sampah mereka dengan teratur dan bersesuaian dengan kandungan sampah itu, baik yang pejal mahupun cecair.
  
Pencerobohan Haiwan

Sesetengah penghuni di kawasan perumahan di negara ini masih belum mempunyai tong sampah.
  
Senario sebegini masih dapat diperhatikan di sesetengah kawasan. Mereka hanya mengikat sampah dalam beg plastik dan meletakkannya di luar kawasan rumah mereka.
  
Keesokan harinya, beg plastik itu sudah terburai dan kandungannya bertaburan di jalan raya.
  
Dan inilah yang mendatangkan bau busuk dan rasa tidak selesa serta kemarahan   

“Ada juga beg berisi sampah domestik ini dibawa oleh anjing-anjing liar yang tidak bertuan pada waktu malam,” luah S.Chandravathani yang tinggal di Kajang dan pernah melihat sampahnya dilarikan haiwan jalanan.
  
Apabila sampah bertaburan di tengah jalan akibat perbuatan haiwan ini, ia mendatangkan masalah kepada pengguna dan penghuni kawasan perumahan.
  
Kereta-kereta yang melalui jalan itu akan melenyek sampah sarap yang bertaburan di atas jalan itu. Penulis pernah melihat jiran  yang tidak sanggup melihat keadaan yang mencacatkan pemandangan itu, lalu membersihkan sendiri jalan raya di hadapan rumahnya.
  
Salahkah haiwan yang menceroboh sampah-sampah yang dibuang di luar tong sampah seperti ini?
  
Sebenarnya, mereka yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab sebegini yang patut disalahkan .

Perbuatan meletakkan sampah di luar, menarik kedatangan haiwan dan angkara haiwan ini boleh dihindari jika sampah diikat rapi dan dimasukkan ke dalam tong sampah.
  
Selain itu, apabila sampah itu tidak dikutip selama beberapa hari ia mula bertimbun.
  
Dapatkan Satu
  
Setiap rumah teres atau berkembar dan banglo di kebanyakan kawasan perumahan dibina lengkap dengan sebuah ruang letak tong sampah di tembok pagar depan.
  
Ruang itu lengkap berpintu dan mudah untuk digunakan.
  
Penulis telah membuat tinjauan di beberapa buah kedai dan mendapati jenis-jenis tong sampah untuk kegunaan di luar rumah, dijual pada harga dari RM16 sehingga RM84, bergantung kepada saiz, bahan buatannya sama ada daripada plastik, getah atau sebatian yang tidak mudah pecah.
 
Tong sampah plastik dan bertutup yang boleh memuatkan sampah hampir 38 liter didapati berharga RM24.90 manakala yang lebih baik dan besar saiznya pula, tidak melebih RM60 setiap satu.
  
“Tong sampah beroda yang besar untuk sampah seberat 120 liter dan berkualiti tinggi, harganya hampir RM380 setiap satu. Ini yang lebih praktikal digunakan,” jelas penjual sebuah kedai perkakasan, HaDIY di Taipan Business Center, USJ10.
  
Tinjauan rambang merentasi lebih 120 buah rumah di kawasan sekitar USJ9, USJ11, USJ6 dan USJ2 menunjukkan hampir 25 peratus daripada rumah di situ tidak mempunyai ruang tetap untuk sampah atau tong sampah di dalam mahupun di luar kawasan rumah.
  
Hampir 30 buah rumah di dalam kategori ini meletakkan beg plastik sampah di luar rumah, di atas lantai saja atau di ruang yang mudah dicerobohi haiwan liar di jalanan.
  
Banyak juga pokok-pokok yang menjadi mangsa longgokan sampah kerana beg plastik berisi sampah digantungkan pada dahannya.
     
Menyusahkan
  
“Saya geram betul melihat timbunan sampah yang ditinggalkan di kawasan lapang di tepi pagar saya oleh jiran yang saya tidak tahu siapa. Walaupun ia di luar pagar rumah saya, tapi tetap  menyusahkan kerana saya selalu menyapu di luar untuk membersihkan daun-daun kering yang gugur. Setiap kali saya memandu balik ke rumah, mata saya pasti melihat bahu jalan di tepi rumah. Ada longgokan buangan barukah?” cerita Siti Hawa Ismail, seorang penghuni rumah tepi di kawasan SS19, Subang Jaya.
  
Sampah yang terlonggok termasuk timbunan ranting pokok, beg berisi rumput yang telah dipotong dan juga bungkusan yang berisi sampah isi rumah.
  
Kenapa agaknya penghuni kawasan perumahan hari ini lebih suka membuang di ruang terbuka yang terletak di depan atau tepi rumah orang lain?
 
“Agaknya, mereka tidak mahu mengotorkan kawasan rumah sendiri. Jadi kotorkan tempat orang lain. Ia menjadi beban bagi kita yang duduk berdekatan dengan sampah itu, perlu diadukan kepada pihak berkuasa tempatan. Ini yang membuatkan saya rasa marah dan tertekan,” jelas Siti yang baru bersara, dan amat mengutamakan kecantikan sekitar rumahnya selain kebersihan kawasan sekeliling.

Penghuni perlu lebih bertanggungjawab dalam melupuskan sampah masing-masing supaya ia tidak menyusahkan orang lain, baik baunya mahupun kewujudan fizikalnya.
 
Lupuskanlah sampah sebaik yang mungkin supaya ia tidak menyakitkan mata dan mengganggu emosi orang lain.

Masalah kutipan sampah di kawasan perumahan di Selangor tidak lama dahulu menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kutipan dan pelupusan sampah domestik.  
  
Dalam meningkatkan perkhidmatan, pihak-pihak berkuasa tempatan mengambil langkah tambahan untuk memastikan kemelut itu tidak berulang.
 
Sebagai contoh pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menempatkan tong-tong sampah pukal, bagi manfaat penduduk Subang Jaya.
 
Inisiatif ini bermula pada Januari 2012 dengan empat tong pukal diletakkan di kawasan USJ11 bersama poster-poster menunjukkan lokasi tong-tong ini terpampang di kejiranan itu.
  
Begitu juga di USJ2 dan beberapa kawasan berdekatan lain termasuk SS14, SS15 dan SS19. Sisa buangan dalam tong-tong pukal ini dikutip pada setiap Sabtu.
  
Bagaimanapun usaha pihak berkuasa ini mendapat sambutan dingin penduduk tempatan dan ini dapat dilihat daripada jumlah sampah yang kecil dikutip daripada tong-tong pukal ini.
  
Masalah Tong Sampah dan Kutipan Sampah
  
Kemampuan serta sumber-sumber pihak berkuasa yang terhad dalam menguruskan kutipan sampah, dan keengganan masyarakat untuk menghulurkan kerjasama, menjadi punca sampah bertimbun dan persekitaran dicemari bau busuk.  
  
Sumber-sumber terhad turut menjadi punca, termasuk bilangan dan saiz tong sampah yang tidak memadai dan kedudukannya yang mengganggu keselesaan masyarakat.
 
Sampah yang terbiar dibimbangi akan memudaratkan kesihatan masyarakat setempat. Untuk menangani masalah ini, apa jua cara sekalipun perlu digunakan.
  
Penduduk di bangunan pangsapuri sekitar Ulu Kelang dan Puchong juga membuang sampah mereka yang diikat ke dalam beg-beg plastik ke dalam tong sampah pukal yang disediakan pihak pengurusan kawasan perumahan itu.
  
Di Ulu Kelang, satu tong sampah pukal disediakan untuk dua blok pangsapuri, manakala di Puchong pula satu tong sampah untuk tiga buah blok pangsapuri.
  
Seorang penduduk pangsapuri di Puchong mengeluh tong-tong kutipan pukal itu diletakkan di petak tempat letaka di dalam kawasan pangsapuri, bersebelahan dengan petak-petak letak kereta berpemilik, di kiri dan kanannya.
 
 Sampah yang melimpah keluar serta bau busuk mengganggu keselesaan pemilik petak letak kereta itu.
  
Ada tong tetap mengundang masalah, tak ada tong pun ada masalah.
  
Sakini Mohd Said, penghuni sebuah unit pangsapuri di Ulu Kelang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan jadual kutipan sampah di kawasannya.
  
“Ada kalanya sampah tidak dikutip sehingga seminggu lamanya. Itu yang membuatkan kami serumah tidak senang duduk bila melihat sampah yang bertimbun di dalam tong sampah pukal, dan baunya juga,” jelas Sakini.
  
Adakalanya, sekumpulan babi hutan dilihat datang mencari makanan di sekitar kawasan tong sampah pukal itu, pada waktu malam dan awal pagi.
  
Langkah Proaktif
  
Akibat masalah kutipan sampah di negeri Selangor, pihak MPSJ telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah sampah dan kutipannya daripada berterusan.
  
Di kawasan perumahan termasuk di Subang Jaya biasanya, kutipan sampah dibuat secara berkala, tiga kali seminggu, sama ada pada Isnin, Rabu dan Jumaat atau Selasa, Khamis dan Sabtu.
  
Kutipan dijalankan secara konsisten tetapi adakalanya jika cuti umum jatuh pada hari kutipan itu, atau cuaca buruk melanda pada hari itu, kutipanakan
ditunda.
  
Sehingga awal Jun 2012, lebih 600 kes sampah longgok (iaitu sampah selain sisa makanan atau sampah domestik yang turut diletakkan di luar rumah atau di bawah pokok dan di bahu jalan) yang diadukan kepada MPSJ, telah dapat diselesaikan.
  
Dan untuk mengelakkan masalah longgokan sampah dan sampah kebun tidak dikutip sehingga masalah timbunan pula berlaku, kekerapan mengutipnya telah ditambah.
 
Aduan bagi sampah domestik yang diterima tahun ini pula, hampir 1,400 manakala 230 aduan diterima untuk sampah kebun.
  
Sampah kebun merangkumi sampah daripada pemotongan dahan-dahan pokok yang lebih besar dan tidak dimasukkan ke dalam beg plastik.
  
Peratusan kes aduan yang dapat diselesaikan oleh MPSJ mencapai hampir 99 peratus, secara purata dan ini jelas memuaskan.
  
Setiap bulan, pihak MPSJ mengutip 1.5 juta tan sampah domestik manakala jumlah kutipan sampah longgok dan kebun ialah hampir 90 tan sebulan. 

Saiz kawasan yang terletak di bawah penjagaan dan penyeliaan MPSJ hampir 162 km persegi.
  
Yang Dipertua MPSJ Datuk Asmawi Kasbi turut menyarankan masyarakat terus menggunakan saluran yang telah disediakan untuk mengadu tentang masalah sampah serta memberi apa-apa timbal balas mengenainya.
  
Talian-talian 03-8026-7431, 03-5637-6545 dan alamat emel di mpsj@mpsj.gov.my disediakan untuk orang awam menyampaikan aduan tentang sampah kepada pihak MPSJ.

Kawasan yang diselenggarakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah seluas 97.2 kilometer persegi dan jumlah penduduknya sekitar 620,000 orang.
  
Jadi bayangkan jumlah sampah atau sisa buangan yang terhasil di kawasan Petaling Jaya ini?
  
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ Dr V.Chithradavi menjelaskan kepada Bernama baru-baru ini bahawa berdasarkan anggaran syarikat kutipan sampah yang dilantik oleh majlis itu, lebih kurang 450 tan sampah dihasilkan setiap hari di kawasan bandar raya ini.
  
Bagaimanapun, jumlah ini tidak termasuk sampah yang dibuang secara haram termasuk di 12 kawasan ‘tumpuan' sekitar kawasan yang diselia MBPJ.
  
Dan 21 peratus daripada belanjawan pengurusan yang diperuntukkan untuk kawasan yang diselia MBPJ ini digunakan untuk pengurusan sampah.
  
Ini termasuk sisa pepejal yang terdiri daripada sampah organik dan bukan organik serta sampah kebun dan sampah pukal seperti kerusi, meja, dahan besar dan batang pokok.
  
“Jadi dalam sebulan hampir 1.3 juta tan sisa terbuang dikumpul dan dihantar ke tapak-tapak pelupusan di Jeram, Kuang dan Dengkil, kebanyakannya,” jelas Dr Chithradavi.
  
Terdapat dua lagi pusat pelupusan sampah iaitu di Tanjung Dua dan Sungai Kertas.
      
Kontraktor
  
Terdapat 150 buah syarikat kontraktor baru dilantik di kawasan yang diselia MBPJ untuk mengutip sampah.
  
Syarikat kontraktor persendirian ini dipilih melalui tender terbuka untuk mengambil alih tangungjawab daripada Alam Flora yang telah memikul tanggungjawab itu selama lebih empat tahun yang lepas.
  
"Sekarang pihak kami membahagikan kontraktor kepada enam kategori yang lebih jelas pembahagian kerja mereka,” kata Dr Chithradavi.
  
Keenam-enam kategori kerja itu ialah pengutipan sisa pepejal, pembersihan am, pembersihan jalan protokol, pembersihan longkang besar, pengutipan di perangkap sungai dan sampah kebun.
  
Kesemua 150 syarikat kontraktor ini diberi tempoh percubaan tiga bulan untuk mempelajari dan memahami tugas masing-masing.
  
Seperti biasa, kontraktor dengan sebutharga yang rendah menjadi pilihan dan hakikat ini tidak dinafikan Dr Chithradavi.
  
“Bagaimanapun pemantauan dilakukan oleh pembantu kesihatan awam dan pengawas yang berjumlah 39 orang kesemuanya yang menjadi penentu sama ada khidmat mereka ini memuaskan atau sebaliknya.
  
"Jadual kutipan ditentukan kontraktor sendiri,” jelasnya lagi sambil menunjukkan senarai jadual kutipan yang telah ditentukan oleh kontraktor di kawasan masing-masing.
  
Tugas Kontraktor
  
Terdapat beberapa jenis kerja pembersihan yang perlu dilakukan kontraktor-kontraktor yang berjaya dalam tawaran tender.
  
Ia termasuk kerja memotong rumput di jalan protokol atau jalan utama sebanyak tiga kali sebulan dan penyapuan secara harian di kawasan jalan itu. Manakala kerja membersihkan longkang dijalankan sebulan sekali.
  
Selain itu, rumput di kawasan longkang besar dipotong dua kali sebulan dan pembersihannya juga sekerap itu.
  
Tugas kontraktor ini juga bertambah kerana tong-tong sampah kecil di kawasan bandar atau jalan utama sekitar kawasan yang diseliakan MBPJ turut ditambah.
  
Semakin banyak tong sampah disediakan kini dan ia diletakkan pada jarak dari 50 hingga 100 meter antara satu sama lain.
  
“Di lorong belakang kedai-kedai di kawasan perindustrian, diletakkan tong sampah bergerak atau ‘mobile garbage bin’(MGB). Diletakkan juga ‘waste buster’ (pengumpul sampah)di kawasan perniagaan yang dikutip dua kali seminggu manakala di kawasan rumah pangsa seminggu sekali.
  
"Perangkap sampah sungai yang berjumlah tidak kurang daripada 16 buah di kawasan MBPJ dikutip sampahnya setiap kali selepas hujan lebat berhenti. Berlainan dengan ‘log boom,’(perangkap sampah), sampah dikutip setiap hari,” jelas Dr Chithradavi.
  
Bukan saja kontraktor dididik membuat pembersihan sebaik yang mungkin, penduduk dan warga kawasan MBPJ turut didedahkan tentang kewajipan mereka dalam menjaga kebersihan kejiranan masing-masing.

Notis Amaran
  
“Yang paling penting, kawasan yang diperuntukkan kepada mana-mana kontraktor mestilah dijaga kebersihannya. Malah mereka turut perlu peramah dan melayan pengguna dan masalah yang timbul dengan sebaik mungkin.
  
"Sekiranya ada kontraktor yang gagal menjalankan dengan memuaskan kerja-kerja yang telah dipersetujui, notis NTC atau ‘Notice to Correct’ akan dikeluarkan. Kadar penalti yang dikenakan untuk setiap NTC adalah RM50 dan ia ditolak daripada bayaran bulanan kontraktor itu,” jelas Dr Chithradavi sambil memerhatikan rekod pengeluaran NTC setakat Mei 2012, yang dibawa oleh salah seorang pegawainya dari di tingkat 10, Menara MBPJ.
  
Pada bulan Mac, sebanyak 98 NTC dikeluarkan kepada kontraktor MBPJ sementara bulan April menyaksikan lebih dua kali ganda NTC iaitu sebanyak 258 notis.
  
Sebanyak 352 NTC kerana kegagalan kontraktor menjalankan kerja, dicatatkan pada bulan Mei termasuk untuk pembersihan am, pembersihan di jalan protokol, di longkang besar, kutipan sampah dan kutipan ‘waste buster’ atau tong sampah pukal.
 
NTC dikeluarkan bukan saja berdasarkan aduan awam tetapi juga hasil pemantauan 39 penolong kesihatan awam dan pengawas MBPJ yang bertugas.
 
Sekiranya masih tiada perubahan setelah NTC dikeluarkan, notis seterusnya iaitu NTB atau ‘Notice to Backup’ pula dikeluarkan.
  
Ini bermakna kontraktor lain akan dilantik untuk membetulkan keadaan.
  
“Penalti bayarannya lebih berat, iaitu mengikut kadar inventori atau harga sebenar kerja dan jumlahnya ditolak daripada bayaran bulanan kontraktor yang gagal menyiapkan kerja dengan baik,” tegas Dr Chithradavi.
  
Kitar Semula
  
Program Anti Kutu Sampah dilancarkan tahun lepas di Seksyen 52 untuk mengurangkan perbuatan pelupusan sampah secara haram di seluruh Petaling Jaya.
 
 “Malangnya bila kami tunggu dan pantau, kutu sampah tidak pula datang. Oleh itu tidak dapatlah pihak MBPJ nak berikan tunjuk ajar yang lebih baik tentang pembuangan sampah kepada mereka itu,” kata Dr Chithradavi menceritakan pengalaman pegawainya membuat pemantauan di tempat-tempat yang telah dikenal pasti bermasalah.
  
Juga, MBPJ sedang berusaha untuk mendidik penghuninya supaya lebih cenderung terhadap inisiatif mengasingkan sampah domestik mereka kerana ini akan memudahkan kerja kitar semula.
  
Ini pasti dapat dijalankan dengan jayanya jika sebagai permulaan, dua kategori sampah, sekurang-kurangnya yang organik dan bukan organik, diasingkansemasa sampah domestik dibuang.
  
“Ia satu harapan yang pasti akan mendatangkan kebaikan secara menyeluruh kepada penduduk di seluruh kawasan ini. Tetapi kita perlu bermula dengan memastikan setiap penghuni ada sekurang-kurangnya satu tong sampah bertutup.

Pembuangannya harus lebih teratur dan ini akan dapat mengelak daripada bersepah-sepah,” jelas Dr Chithradavi lagi.
  
Masalah penduduk tidak bertong sampah

Penulis mendapati daripada lebih kurang 200 buah rumah yang diperhatikan di kawasan Seksyen 14, Petaling Jaya, hanya 55 peratus yang mempunyai tong sampah bertutup yang sesuai untuk sampah domestik masing-masing.
  
Tinjauan juga dibuat di Stesen Pemindahan Shah Alam di Seksyen 21 untuk sampah dikumpulkan sebelum dihantar ke tapak pelupusan sisa pepejal di Jeram, lebih kurang 42 kilometer jauh.
  
Pusat ini dibuka seawal jam 8 pagi dan pada 15 minit pertama ia dibuka, 10 buah lori sudahpun masuk untuk memuat turun sampah yang dikutip sekitar kawasan bandar di Selangor.
  
Setiap proses melepaskan sampah ke dalam ‘silo’ hanya memakan masa lebih kurang 8 minit.
  
“Tapak pelupusan di Kuang tidak beroperasi pada hari Ahad sedangkan tapak-tapak di Dengkil, Tanjung 12, Sungai Kertas dan Jeram beroperasi seawal jam 8 pagi setiap hari Ahad. Tapak pelupusan di Jeram dibuka lebih awal pada hari-hari bekerja iaitu seawal 7 pagi,” katan pengurus operasi Worldwide Landfill Sdn Bhd, Imran Ishak yang memantau perjalanan di tapak pelupusan Jeram setiap hari.
  
Jumlah sampah yang dihantar ke tapak-tapak pelupusan sampah yang berbau ke Jeram dan Tanjung 12 berjumlah 2,550 tan sehari manakala sampah lengai, yang tidak berbau yang dihantar ke Dengkil, Kuang dan Sungai Kertas berjumlah 370 tan sehari, katanya.
 
Jadi pastikan sampah yang dimasukkan ke dalam tong sampah anda dapat diuruskan pengkomposan dan pelupusannya tanpa mendatangkan mudarat kepada kehidupan alam dan bumi yang akan diwariskan kepada generasi muda. - Bernama

SUMBER:SINAR HARIAN