Sukma: P.Pinang kuasai pungutan pingat pada hari ke-2
KUANTAN - Pulau Pinang terus mendominasi acara karate pada Sukan
Malaysia (Sukma) ke-15 apabila memenangi dua lagi pingat emas pada hari
kedua acara itu hari ini.
Kejayaan meraih dua emas itu meletakkan Pulau Pinang mendahului
pungutan pingat keseluruhan dalam kalangan 14 kontinjen dengan lima emas
dan tiga gangsa.
Selangor di tempat kedua dengan pungutan empat emas, dua perak dan dua
gangsa diikuti Wilayah Persekutuan dengan tiga emas, dua perak dan dua
gangsa manakala Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kedah masing-masing
meraih satu emas.
Acara karate yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Malaysia
Pahang merupakan acara paling awal dipertandingkan pada temasya itu
dengan menawarkan 16 pingat emas keseluruhan.
Dalam acara hari ini, Pulau Pinang memenangi dua emas menerusi
gandingan Goh, Joshua Wong dan Loh dalam kategori Kata Lelaki Berpasukan
selepas menumpaskan atlet Sabah yang terdiri daripada Alvin, Farlin
Veroney dan Hazwan Nafeez.
Satu lagi pingat emas kontinjen Puala Mutiara itu diperoleh menerusi
gandingan Celine Lee, Khaw dan Thor dalam kategori Wanita Berpasukan
yang mengalahkan Diedre Aprille, Emelda dan Ryana Chong dari Sabah.
Atlet Selangor Senthil Kumaran Silvarajoo pula meraih emas dalam
kategori Kumite Lelaki Individu bawah 55kg selepas mengatasi Prem Kumar
Selvam dari Wilayah Persekutuan.
Pingat emas acara Kumite Lelaki Individu bawah 67kg pula milik
Sharmendran Raghonathan dari Selangor yang menumpaskan atlet Wilayah
Persekutuan Shahabudin Jamaludin manakala pingat emas kategori Lelaki
Individu bawah 75kg dirangkul Sharrma Jayarama dari Wilayah Persekutuan
yang mengalahkan Kumareswaran Murugan dari Selangor.
Victoria Hu Li French (Johor) pula meraih emas dalam kategori Wanita
Individu bawah 50kg selepas membenam cabaran Vijaya Letcumi Gopalasamy
(Negeri Sembilan) sementara IIavarasi Mohan (Selangor) yang mengenepikan
cabaran Santhini Raveenderan (Wilayah Persekutuan) memenangi emas
kategori Wanita Individu bawah 55kg.
Kategori Wanita Individu bawah 61kg pula menjadi milik Syakillah Salni
Jefry Krishnan @ Krishnamurty (Selangor) yang mengalahkan Vidya Darshini
Subramaniam dari Negeri Sembilan. - Bernama
SUMBER:SINAR HARIAN