Sunday, 1 July 2012

Kelebihan Quinara Al-Safir

UINARA Al-Safir, namanya agak ganjil tetapi menarik bagi sebuah resort di pinggir bandar raya Kuala Terengganu yang muncul di kawasan tanah paya di perkampungan agak sunyi.
Ia adalah gabungan nama paya Kuing di pinggir bandar raya Kuala Terengganu di mana resort yang baru setahun beroperasi di samping nama pasangan suami isteri selaku pengusaha bagi menampung keperluan musafir.
Ia satu-satunya resort bertaraf tiga bintang dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus yang pesat membangun dan memberikan pilihan kepada pelanggan yang selama ini tertumpu di hotel dan resort di pusat bandar raya.
Jika menginap di pusat bandar raya, mereka mungkin mengambil masa 20 minit untuk berulang-alik ke kawasan itu dan mungkin berdepan dengan kesesakan terutama di Jambatan Sultan Mahmud pada waktu puncak.
Quinara Al-Safir mendekatkan mereka yang berurusan di kawasan ini dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai golongan pengunjung dengan harga bilik yang cukup sederhana.
Kedudukan hotel milik anak tempatan di Kampung Tok Jembal ini cukup strategik, bersebelahan dengan Kelab Golf Kuala Terengganu jika ingin melayani hobi bersama sukan itu.
Juga cuma lima minit perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud jika menanti waktu untuk berlepas atau menunggu ketibaan rakan dan keluarga serta ke pantai peranginan Teluk Ketapang atau Pantai Tok Jembal untuk bersantai dan menjamu selera.
Hanya lapan atau 10 minit memandu jika anda ingin ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan kawasan perindustrian.
Lokasi resort ini di kawasan perkampungan yang masih dikelilingi alam semulajadi malah pelanggan masih boleh menjamah kabus pagi yang jarang-jarang kelihatan di bandar.
Menurut Pegawai Korporat dan Pemasarannya, Arizahamalia Ahmad, resort yang didirikan di atas tanah seluas kira-kira 3.6 hektar itu menawarkan sebanyak 48 bilik terdiri daripada jenis Superior Deluxe dan Superior.
Harga yang ditawarkan pula jauh lebih murah berbanding hotel bertaraf tiga bintang lain iaitu bermula dari harga RM120 hingga RM140 termasuk sarapan untuk dua pelanggan dengan menyediakan pelbagai menu tempatan khususnya makanan negeri Terengganu dan juga makanan Barat.
''Ia tentunya sesuai untuk semua golongan dengan harga yang tidak membebankan dan membolehkan mereka menginap lebih lama jika banyak urusan di sini," ujarnya.
Selain daripada itu, Quinara Al-Safir juga mengamalkan prinsip syariah di mana tiada minuman dan makanan tidak halal disediakan di resort berkenaan.
"Di sini, kami amat mementingkan konsep syariah di mana setiap pekerja perlu mengambil wuduk sebelum memulakan tugas selain itu kami akan berkumpul sejam sebelum masuk waktu bekerja untuk berzikir beramai-ramai.
"Kebersihan dalam penyediaan makanan akan dititikberatkan di mana semua bahan yang kita gunakan adalah dari sumber yang halal lagi bersih demi menjaga kesucian agama Islam," katanya.
Tambahnya, bagi mereka yang gemarkan makanan Timur Tengah, mereka boleh singgah di Al-Marwah Cofee House yang ditempatkan di tingkat dua hotel. Ia menyajikan masakan dari negara Arab seperti nasi mandy, nasi arab dan juga ayam panggang bersama kari kambing dan manisan.
Bagi mereka yang menggemari air nira, Quinara Al-Safir juga satu-satunya hotel yang menyediakan air nira kelapa segar dan enak dinikmati ketika cuaca panas.
"Hanya di sini pelanggan berpeluang menikmati air nira kelapa," jelasnya.
Sebagai sebuah resort, tidak lengkap sekiranya setiap bilik tidak dilengkapi dengan keperluan asas iaitu televisyen, pendingin hawa, pemanas air dan kemudahan melayari internet.
Selain itu, untuk memenuhi keperluan pelanggan, beberapa fasiliti lain turut disediakan iaitu surau, bilik seminar yang memuatkan 30 orang, dewan utama yang mempunyai kapasiti 1,000 orang serta ruangan parkir.
Quinara Al-Safir juga turut menawarkan pakej mesyuarat, kursus, perkahwinan dan seminar kepada pelanggannya.
Menurut Arizahamalia, resort itu turut menawarkan pakej perkahwinan di mana menyediakan tiga jenis pilihan iaitu pakej Balqis, pakej Tautan Kasih dan pakej Istana Balqis bermula dari harga serendah RM25, RM35 dan RM45 untuk setiap orang dengan minimum 500 tetamu.
Antara menu yang disediakan pula ialah nasi minyak, daging masak tomato, ayam kalio, dalca sayur dan buah-buahan, ayam kurma, daging masak hitam, rendang minang, ayam percik, ikan sambal tomato, udang goreng, dalca daging tetel, sayur goreng jawa dan puding.
"Kita juga menyediakan makanan beradap serta kek perkahwinan bermula dengan harga RM250 hingga RM270," jelasnya.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA