NASI beriani bukan sahaja popular di India dan Pakistan yang
merupakan tempat asal menu tersebut, malah penduduk Malaysia turut
menggemarinya sekali gus membuatkan restoran yang menyajikan hidangan
tersebut tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Tarikan utama hidangan tersebut adalah nasi yang dimasak dengan
pelbagai campuran rempah-ratus bagi menghasilkan aroma menyelerakan.
Biasanya, ia dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk yang pasti membuka
selera.
Antara restoran yang menawarkan hidangan lazat tersebut adalah Haza
Bistro, sebuah restoran berkonsepkan moden dan bertemakan warna putih
yang baru dibuka di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu, Kelantan.
Restoran itu menjadikanmenu popular nasi beriani sebagai salah satu kekuatan utamanya.
Bagi penggemar nasi beriani, rugi sekiranya anda tidak singgah di
restoran tersebut untuk merasai sendiri keenakan nasi itu yang dimasak
oleh chef luar negara, selain kira-kira 50 pekerja di restoran itu yang
sentiasa bersedia memberikan layanan kelas A kepada pelanggan.
Pengurusnya, Che Yahya Che Amat berkata, berkonsepkan Komunikasi,
Kualiti dan Perkhidmatan Haza Bistro sentiasa memberi layanan terbaik
kepada para pelanggannya.
"Setiap kali pelanggan bertanya apakah istimewanya makan di sini, kami akan beritahu mereka tentang menu nasi beriani.
"Menu inilah yang saya cadangkan kerana saya yakin mereka akan berpuas hati dengannya.
"Ini kerana nasi beriani kami dihidangkan dengan tiga jenis lauk
utama yang boleh dipilih pelanggan iaitu daging kambing, ayam dan rusa,"
katanya kepada S2.
Katanya, hidangan nasi beriani turut disediakan dalam bentuk set
iaitu RM75 untuk empat orang, RM120 untuk enam atau tujuh orang serta
dua jenis set lagi yang disertakan dengan tambahan dua menu lain.
Jelasnya, setiap set akan disertakan dengan pelbagai hidangan lain
antaranya ikan kukus, tom yam makanan laut dan udang mentega, selain
beberapa jenis masakan berasaskan ayam.
Haza Bistro beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 12
tengah malam. Restoran tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu
seksyen orang muda, seksyen keluarga dan seksyen korporat yang
keseluruhannya boleh menempatkan 200 pelanggan.
Selain ruang makan, sebuah dewan makan yang boleh menempatkan sehingga 500 orang pada satu-satu masa disediakan di tingkat dua.
"Dengan itu, kami turut menyediakan pakej pada harga diskaun kepada
jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta atau orang awam sama ada mahu
melangsungkan upacara perkahwinan di dewan itu atau sekadar jamuan makan
biasa," kata Che Yahya.
Selain nasi beriani, Haza Bistro turut menyediakan pelbagai jenis
hidangan lain terutama makanan Barat dan tidak dilupakan adalah hidangan
tempatan yang pastinya menjadi permintaan setiap pelanggan.
SUMBER:UTUSAN MALAYSIA