Monday, 2 July 2012

KEMARUK SEKS

 BENARKAH KITA KEMARUK SEKS

ABD JALIL ALI
21 Jun 2012

Mungkin faktor usia – almaklumlah sudah melewati fasa emas – saya kini mula memerhatikan benda-benda yang sebelumnya tidak pernah langsung diambil peduli @ ‘ada aku kisah!’ Salah satu yang menarik perhatian sekarang ialah iklan beraneka produk yang ada kaitan dengan seks.

Baru saya sedar, tersenyum dan macam tersindir, saban hari di sekeliling kita ada sekian banyak iklan dan promo mengenai syahwat.

Sebaik keluar rumah sebelah pagi, radio dalam kereta mula bercakap mengenai seks. Iklan sejenis produk ramuan herba itu memberitahu, sekiranya minum air ramuan tersebut setiap hari, tubuh akan sentiasa bertenaga.

“Pasti isteri akan terkejut dengan perubahan anda!”

Ketika berhenti di lampu trafik, telefon bimbit berdecitdecit tanda ada e-mel baru masuk. Sebaik e-mel dibuka ada pesanan mengenai tawaran membeli secara online.

Antara produk yang ditawarkan ialah viagra dan lain-lain pil rangsangan seks.

Setelah tiba di pejabat dan membaca akhbar pagi, mata tidak akan terlepas macam-macam iklan yang dikaitkan dengan hubungan kelamin.

Rupanya kehebatan seks kini bukan lagi hal peribadi yang sepatutnya dirahsiakan, sebaliknya sudah menjadi kemegahan untuk hebahan umum.

Salah satu yang menarik ialah pengakuan seorang isteri, gambarnya tersengih riang, sambil memeluk suami: “Dulu suami buat tak tahu, sekarang hari-hari mahu! Macam kambing dapat pucuk muda!”

Sebenarnya kalau kita perhatikan sebahagian besar iklan produk herba – jamu, makjun, kapsul, jus, minuman, makanan tambahan – pasti tidak akan terlepas menyebut kehebatan seks sebagai salah satu khasiatnya.

Macamlah orang kita tidak ada kerja lain kecuali berseks-seks! Antara mesej yang hendak disampaikan menerusi pengambilan dan amalan produk berkenaan ialah rangsangan berkelamin.

Ada mesej yang dinyatakan secara berlapis seperti ‘kehidupan suami isteri bertambah manis’, ‘malam-malam anda menjadi lebih bermakna’, ‘hubungan sentiasa mesra’ dan lain-lain madah.

Tetapi ada juga mesej yang disampaikan secara terang-terang dengan menyebut masalahmasalah syahwat seperti mati pucuk, hilang daya cengkaman wanita, dan lain-lain kalimah yang saya sendiri tidak sampai hati hendak menyebutnya.

Malah, ada iklan sejenis minuman tonik herba menunjukkan gambar kaki katil patah. Konon jika minum produk berkenaan tenaga syahwat akan meluap-luap dan hubungan intim menjadi luar biasa hingga katil boleh patah. Untunglah kedai menjual katil!

Oleh sebab tidak pernah mencuba, saya tidak pasti sejauh mana keberkesanan produkproduk yang diiklankan itu.

Tidak pasti juga sama ada yang diiklankan dan dipasarkan itu mendapat pengesahan dari pihak berkuasa. Baguslah sekiranya produk-produk tersebut betulbetul dapat membantu.

Tetapi, pada hemat saya halhal intim dalam kelambu suami isteri tidak sepatutnya diceritakan tanpa malu-malu hanya untuk melariskan produk. Tidak kira betapa kuat cengkaman atau betapa hebatnya adegan ranjang, itu adalah rahsia, bukan untuk diberitahu umum.

Agaknya sebab memahami orang kita suka hal-hal seperti itu, ada iklan ala-ala seks yang tidak ada kena-mengena langsung dengan syahwat.

Kawan saya memberitahu, dia terbaca iklan spa di sebuah akhbar bahasa Cina yang menyebut: “Saksikan sendiri mandian berbogel tanpa seurat benang!”

Berpandukan alamat seperti yang diiklankan, dia dan beberapa teman segera pergi ke pusat spa berkenaan untuk melihat orang berbogel.

Dia terkejut sebab yang mandi tanpa seurat benang dan boleh ditonton itu bukanlah orang, tetapi kereta.

Rupanya itu iklan tempat cuci kereta. Almaklumlah, sekarang kereta pun sudah ada salun dan spa! Pada tembok dan tiang-tiang lampu isyarat sentiasa ada iklan kecil ditampal bersama-sama sekian banyak iklan ah long.

Iklan kecil berbunyi: “Ubat kuat, dijamin puas. Sila hubungi...” (nombor telefon disertakan).

Malah, ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa pulang ke rumah sebelah petang, mata terpandang pada iklan yang ditampal pada batang-batang pokok di pembahagi jalan.

Ada nombor telefon pada iklan tulisan tangan itu.

Di bawah nombor tersebut ditulis dengan huruf tebal: ‘Urut Ubah Saiz’. Walaupun tidak dijelaskan, semua orang faham yang dimaksudkan dalam iklan tersebut bukan saiz lengan atau saiz pinggang, tetapi saiz yang ada kena mengena dengan syahwat.

Agaknya kekalutan politik dan demam PRU13 membuat orang sentiasa resah.

Ada yang percaya keresahan boleh diredakan dengan seks. Saya tidak percaya.


SUMBER:SINAR HARIAN