JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga India sanggup melakukan aksi
‘stunt’ dengan menggelungsur dari tiang tingkat dua restoran dia bekerja
bagi melepaskan diri selepas diserbu penguat kuasa Jabatan Imigresen di
Pekan Segamat dekat sini, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, aksi itu hanya sia-sia berikutan anggota dan pegawai
yang menyerbu premis berkenaan terlebih dulu mengepung kawasan sebelum
menahannya sebaik lelaki itu tiba di tingkat bawah bangunan dua tingkat.
Dalam Ops Selera kira-kira jam 9 malam itu diketuai Timbalan Penolong
Pengarah Imigresen negeri, Hasan Silong, lapan lelaki warga India
ditahan termasuk penyewa restoran yang juga warga India kerana tinggal
lebih masa di negara ini.
Hasan berkata, pihaknya menjalankan siasatan serta risikan selama
kira-kira 2 minggu selepas menerima aduan orang awam yang mendakwa
penyewa restoran berkenaan menggaji pekerja asing tanpa permit.
Menurut Hasan, pihaknya melakukan penyamaran sebagai pelanggan dengan
memesan minuman sebelum menangkap sekumpulan warga India yang sibuk
melayan pelanggan. “Selepas melakukan risikan dan berpuas hati
dengan maklumat dikumpul, seramai 11 anggota digerakkan ke tempat lokasi
bagi menjalankan Ops Selera itu.
“Ketika serbuan dilakukan,
seorang daripada suspek cuba melarikan diri dengan menggelungsur
menggunakan tiang dari tingkat atas restoran terbabit, namun cubaannya
tidak berhasil apabila berjaya ditahan anggota kami. “Hasil
pemeriksaan, kami dapati semua pekerja lelaki berkenaan menyalahgunakan
pas lawatan sosial ke negara in, manakala majikannya pula menetap di
negara ini melebihi masa ditetapkan,” katanya.
SUMBER:HARIAN METRO