Showing posts with label unsur mistik. Show all posts
Showing posts with label unsur mistik. Show all posts

Tuesday, 3 July 2012

SILAP MATA


Silap mata hanya helah, tiada mistik
AIDA AZURA AZEMI
APABILA logik akal tidak dapat menjelaskan apa yang dipertontonkan depan mata, naluri masyarakat kita mudah membuat telahan ada unsur mistik dan sihir telah digunakan.

Begitulah stigma yang sering diterima ahli silap mata. Hakikatnya jawapan bagi persembahan magik mereka cuma helah daripada teknik yang dilatih hingga mahir atau sedikit bantuan prop, itu sahaja!

Asalnya Azaha Isa, 36, merupakan peniaga biasa yang menjadikan jualan sebagai sumber rezeki. Namun saingan sengit membuatkan dia memikirkan cabang perniagaan yang kurang saingan dan mampu memberikan hasil lebih lumayan.

Siapa sangka, dari situ anak kelahiran Kelantan ini tersangkut pada dunia magik. “Saya mendapati sangat kurang peniaga yang berani menjual barangan silap mata. Sejak itu saya bukan sahaja memilih untuk berniaga barangan ini malah minat untuk mendalaminya kerana tidak ramai yang mahir memandangkan ia memerlukan latihan berterusan,” ujar Azaha yang lebih dikenali dengan nama 'pentas' Pisyaer.

Menggunakan medium internet, menonton persembahan DVD ahli silap mata luar negara dan pembacaan bukubuku berkaitan, Pisyaer mendalami teknik silap mata. Berdasarkan pengalaman sendiri dia tidak hairan mengapa tidak ramai  ahli silap mata serius menjadikan pekerjaan ini sebagai karier utama.

“Kebanyakan mereka yang berminat dengan dunia silap mata hanya hangathangat tahi ayam kerana lebih tertarik menggunakan jalan singkat.

“Caranya dengan membeli prop bagi membantu persembahan namun tidak rajin menajamkan skil silap mata yang menggunakan kemahiran teknik. Maklumlah semua ini memakan masa dan memerlukan komitmen tinggi,” ujarnya.

Bagi Pisyaer untuk memasuki dunia silap mata, ia seharusnya dimulai dengan asas dan bukannya terus melakukan helah dengan meniru secara bulatbulat.

Antara asas yang dimaksudkan adalah memahirkan diri dengan helah menggunakan daun terup. “Saya sendiri amat meminati daun terup kerana ia boleh dijadikan modal pelbagai helah yang boleh direka sendiri jika kita rajin melakukan latihan,” katanya.

Menyifatkan isterinya Suraini Abdullah seorang yang teliti; bapa kepada Nurul Adiani, 7, Nurul Adilawani, 5, dan Ahmad Syahmi, 8 ini kadangkala menjadikannya penonton untuk menguji sejauh mana persembahan silap matanya  benar-benar berjaya dan tiada cacat cela.

Tegas Pisyaer, sesetengah orang berpendapat silap mata bersangkutan dengan kepantasan tangan tetapi tanggapan ini silap. Ia sebenarnya bergantung pada teknik yang dilatih. Malah kemahiran inilah yang membantu persembahan  cemerlang depan penonton hingga ada yang tidak dapat menerima apa yang dipertontonkan mengikut logik akal.

“Apabila tidak dapat memikirkan dari sudut logik, maka sesetengah orang mula mengaitkan persembahan silap mata dengan unsur mistik.

"Hakikatnya ia sekadar menggunakan teknik yang dilatih dan kadangkala menggunakan prop yang tidak dapat dikesan - itu sahaja,” jelasnya yang menjadikan Michael Ammar, Jeff McBride dan Jay Sankey sebagai idola.


Juga tiada unsur mistik

Mengakui impiannya adalah membuatkan masyarakat lebih menghargai dan menikmati silap mata; Pisyaer tidak pernah memilih penonton untuk menyaksikan persembahan. Baginya dia tidak pernah tahu jika dalam kalangan penonton tersebut terselit mereka yang berminat untuk menggunakan khidmatnya pada majlis hari jadi, makan malam korporat mahupun majlis amal.

“Di Malaysia komuniti ahli silap mata yang benar-benar serius menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan sangat kurang. Kebanyakannya hanya mampu belajar separuh jalan sebelum menyerah kerana kekangan masa dan kemalasan melakukan latihan.

“Ada juga yang tidak tahan dengan mentaliti sesetengah masyarakat kita. Bayangkan jika di luar negara orang sanggup membayar mahal untuk menyaksikan persembahan silap mata, di negara kita pula terdapat ramai yang mencemuh  dengan mengaitkan silap mata dengan dunia mistik.

“Setelah dijelaskan cara kita melakukannya, mereka menuduh kami sebagai penipu pula sedangkan silap mata adalah hiburan semata-mata,” luah Pisyaer sambil menjelaskan silap mata adalah trick (helah) dan bukannya tipu daya.

Pernah pergi sejauh China semata-mata bagi menyertai festival silap mata, Pisyaer bagaimana pun berpendapat kepuasan apabila penonton bertepuk tangan dan berterima kasih kerana menghiburkan mereka umpama penyembuh  kehampaan dihina sebagai penipu. Malah dari sisi positif, kutukan yang melabelkan silap mata sebagai tipu atau mempunyai unsur mistik menandakan kecemerlangan helah silap mata dilakukan.

“Secara ringkas persembahan silap mata terbahagi kepada pentas, standup dan close-up. Persembahan pentas biasanya lebih meriah dan menggunakan prop besar dan popular seperti meja terapung (fl oating table), payung, kain sutera dan jambak bunga.

“Persembahan stand-up dan close-up pula banyak menggunakan prop lebih kecil dan ringkas seperti kad, bola span, siling, merpati dan sebagainya,” ujar Pisyaer yang mendapatkan prop silap mata untuk kegunaan sendiri dan jualan  dari Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu bagi Firdaus Abd Malin, 32, atau panggilannya Finos, perkenalan dengan Pisyaer tiga tahun lalu di kedainya di Uptown Seksyen 25, Shah Alam membuka lembaran baru dalam hidup hingga silap mata kini menjadi  sumber pendapatan utama.

“Asalnya saya meminta diajarkan cara meleret siling. Dia memperlekehkan kemampuan saya dengan memberi masa selama seminggu untuk saya mahir melakukannya.

“Saya menyahut cabaran dengan berusaha keras hingga mampu melakukannya dalam masa sehari sahaja. Sejak itu saya sedar gabungan minat dan rajin melakukan latihan menjadikan silap mata sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” ujar Finos yang banyak membuat persembahan pentas di samping menerima tempahan khidmat badut dan belon di majlis melibatkan kanak-kanak dan upacara korporat.

SUMBER:SINAR HARIAN