Showing posts with label mael lambong. Show all posts
Showing posts with label mael lambong. Show all posts

Sunday 1 July 2012

MAEL LAMBONG

 Mael Lambong cetus fenomena

FILEM yang menjengah panggung sejak 21 Jun lalu, Mael Lambong lakonan Zizan Razak, mencetus satu fenomena baru apabila kebanyakan panggung mengadakan dua atau lebih tayangan secara serentak walaupun pada malam hari bekerja.
Ini terbukti apabila satu-satunya pawagam di Terengganu, TGV Mesra Mall, Kerteh mengadakan empat tayangan serentak pada jam 8.10 dan 10.10 malam pada malam Isnin, minggu lalu dengan kapasiti penuh untuk setiap dewan tayangan. Fenomena ini juga berlaku untuk panggung-panggung lain yang menayangkan filem Mael Lambong, terbitan Excellent Pictures ini. Panggung kedua tertinggi tayangan ialah di GSC East Coast, Kuantan dan TGV Wangsa Walk, masing-masing menayangkan antara tiga ke empat tayangan serentak pada waktu berbeza.

Menariknya, fenomena ini berlaku ketika Mael Lambong ditayangkan pada masa biasa (hari bekerja) di mana kebanyakan filem lain yang mendapat kutipan tertinggi, ditayangkan pada musim cuti perayaan mahupun cuti persekolahan.
Pemegang watak Mael Lambong, Zizan Razak berkata, dia sendiri tidak menjangka terima sambutan cukup menggalakkan.

“Apa yang mampu saya katakan adalah ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peminat yang ‘melambungkan’ Mael Lambong di pawagam. “Saya juga berharap agar sokongan ini berterusan dan menjadi bukti karya-karya tempatan boleh berjaya dengan sokongan tidak berbelah bagi peminat,” kata Zizan kini berada di luar negara untuk menjalani penggambaran filem terbaru, Bikers Kental.

Dalam pada itu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, selaku pengarah dan penerbit, cukup terharu dengan sokongan peminat yang menjadikan Mael Lambong satu fenomena terbaru.

Katanya, Mael Lambong ialah filem komedi yang boleh diterima seisi keluarga. Selain padat dengan aksi dan komedi, Mael Lambong mempunyai mesej yang boleh difikirkan bersama, daripada kanak-kanak hinggalah ibu bapa yang menonton. Baginya, formula itulah yang membuatkan Mael Lambong dapat diterima ramai.

“Tambahan pula Mael Lambong hanya dapat ditonton di panggung dan tidak akan dimasukkan ke dalam pakej Astro First. Ia memberi peluang kepada peminat dan penonton yang tidak memiliki pakej itu untuk terus menonton Mael Lambong di panggung.
“Malah pengalaman menonton di panggung jika diikutkan lebih terasa atas faktor sistem bunyi dan lebih meriah,” kata pengarah itu lagi.

Filem yang turut menampilkan Juliana Evans, Taiyuddin Bakar dan pelakon baru, Shenthy Feliziana dan ditayangkan serentak dengan Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS), berjaya mengutip RM3.2 juta untuk tayangan enam hari di 79 panggung seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

SUMBER:HARIAN METRO