Showing posts with label digi. Show all posts
Showing posts with label digi. Show all posts

Monday, 2 July 2012

DIGI

Warga Malaysia Mengagumkan DiGi,
Arkitek Warisan Kedah
Ucapan oleh
Y.A.B. Dato' Seri Hj Mahdzir Bin Khalid,
Menteri Besar Kedah
(24 March 2007)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera
Yang Terahmat Mulia Dato' Seri Tunku Putri Intan Safinaz
Encik Morten Lundal, DiGi Telecommunications Sdn Bhd
Yang Amat Berbahagia Tan Sri Leo Moggie & Puan Sri Datin Elizabeth Amar Moggie
Yang Berhormat Datuk S Ganesan, Adun Kawasan Lunas
Tunku Alizakri, Ketua Hal Ehwal Korporat, DiGi
Encik Abdul Aziz b. Abd Ghani, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kulim
Encik Laurence Loh, Warga Malaysia Mengagumkan DiGi
Wakil daripada Badan Warisan Malaysia
Penduduk Lunas

Selamat datang ke negeri warisan budaya - Kedah Darul Aman

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada penduduk Lunas, kerana telah mencipta sejarah.  Saya amat berbangga dengan apa yang dilakukan mereka semua, terutama sekali kanak-kanak yang menyertai program DiGi's Amazing Malaysians atau Warga Malaysia Mengagumkan DiGi.  Semangat, ketekunan, komitmen dan kesungguhan mereka semua telah membantu meletakkan Lunas di peta pelancongan Malaysia.  Sila beri tepukan kepada anak-anak Lunas ini, yang boleh kita sifatkan sebagai penjaga warisan kita!!

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada DiGi Telecommunications kerana memberi saya peluang untuk hadir dan menyampaikan sepatah dua kata di majlis yang sangat istimewa dan bermakna ini.  Terima kasih DiGi kerana datang ke Lunas (…walaupun pekan ini begitu kecil hinggakan ada orang kata ia boleh direntasi dalam sekelip mata…) dan membantu menonjolkan peranannya dalam sejarah negara kita.  DiGi telah mungubah sebuah rumah baker yang usang kepada sebuah muzium di mana saya akan rasmikan sebentar lagi. Dengan muzium ini, pelawat ke Lunas dapat melihat keistimewaan dan kemesraan penduduk di pekan kecil ini. Ini membuktikan DiGi benar-benar berhak menerima 'Anugerah Pendukung Warisan' daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan - sebagai menghargai usahanya menghidupkan warisan kita, bukan sahaja di Lunas tetapi juga di 10 tempat lain di seluruh negara!

Seperti yang kita semua ketahui, Kedah adalah negeri tertua di Malaysia.  Sejarahnya bermula sejak kurun ke-5.  Pada suatu masa dahulu, Lembah Bujang terkenal sebagai pusat perdagangan yang menjadi tumpuan saudagar dari sejauh negeri China, Timur Tengah dan India.  Pada zaman kegemilangannya, ia dikenali sebagai Nusantara, dalam bahasa Sanskrit bermakna 'takhta negeri'.  Kita seharusnya mengembalikan kegemilangan negeri Kedah.  Kita seharusnya menuntut semula warisan kita sebagai nadi sejarah negara.

Memandangkan tahun 2007 adalah Tahun Melawat Malaysia, saya berharap pelawat tempatan dan antarabangsa akan berkunjung ke negeri ini untuk mengenali Kedah dan melihat tempat-tempat yang menarik dan bersejarah, serta menghayati budaya dan warisan binaannya.  Keputusan DiGi untuk menyokong perjuangan Laurence Loh bermakna kita bukan sahaja dapat menghayati sejarah silam negeri Kedah, tetapi juga menyingkap sejarah tamadunnya yang baru.

Seperti kebanyakan pekan kecil di seluruh Malaysia, Lunas lahir dan dibangunkan hasil daripada industri getah, dan setiap bangunan yang berdiri di pekan ini mencerminkan sejarahnya.  Laurence Loh telah bekerja keras, tanpa mengenal penat dan jemu, untuk memulihara warisan pekan in, kerana datuknya adalah salah seorang pengasas pekan Lunas.  Atas daya usaha DiGi, akhirnya dia mendapat penghargaan dan pengiktirafan yang berhak diperolehinya.

Tahun ini genap 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.  Kita semua tahu bahawa Perdana Menteri pertama kita adalah seorang putera dari negeri ini.  Beliau telah mengetuai laungan perisytiharaan kemerdekaan negara kita.  Berapa ramai antara kita yang tahu berapa kali beliau melaungkan MERDEKA ?   

Ya… tujuh kali.  MERDEKA! MERDEKA!…… 7 kali.  Apakah maknanya kepada kita… rakyat Malaysia hari ini… dalam konteks budaya dan warisan kita?  Bagi kerajaan Kedah, perisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957 sangat penting kerana ia menandakan satu detik bersejarah dalam pembangunan negara untuk menegakkan identiti kita.  Kita menuntut kebebasan dalam tujuh bidang utama:

    Merdeka!  Kebebasan daripada cengkaman penjajah
    Merdeka!  Kebebasan untuk menegakkan bahasa kebangsaan kita sendiri
    Merdeka!  Kebebasan untuk menghidupan kesenian, kebudayaan dan warisan kita sendiri
    Merdeka!  Kebebasan untuk membangunkan ekonomi berasaskan warisan semula jadi, kebudayaan dan binaan kita
    Merdeka!  Kebebasan untuk mengukuhkan perpaduan dan semangat kenegaraan kita
    Merdeka!  Kebebasan untuk mengekalkan kepelbagaian kita
    Merdeka!  Kebebasan untuk menjadi sebuah negara yang menghormati dan mengiktiraf warisan etnik, kebudayaan dan warisan Malaysia

Projek ini berjaya mengubah cara pemikiran masyarakat dengan meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian kaum dan budaya yang membentuk Malaysia.  Kesedaran ini penting, terutama sekali di kalangan kanak-kanak kerana masa depan negara kita terletak di tangan mereka.  Mereka perlu disedarkan bahawa nilai bangunan bersejarah adalah jauh lebih tinggi daripada bangunan pencakar langit atau kompleks membeli-belah.  Bangunan-bangunan bersejarah ini mencerminkan sejarah silam kita dan warisan kita yang boleh kita tunjukkan kepada pelawat.

Rumah asap lama ini adalah warisan sejarah pekan Lunas.  Oleh itu, pemulihan dan pemuliharaannya adalah satu contoh yang baik untuk diteladani oleh anak-anak kita.  Peranan barunya sebagai muzium pekan ini amat penting.  Lazimnya, tidak ramai penduduk setempat mengunjungi muzium di tempat mereka sendiri kerana mereka tidak melihat hubung kaitnya.  Saya percaya, ini adalah muzium pekan kecil yang pertama di Malaysia.  Kebanyakan bahan paparan dan pamerannya adalah hasil titik peluh kanak-kanak, para penyelaras mereka dan Laurence Loh.  Atas daya usaha dan kegigihan Laurence dan kanak-kanak yang terlibat dalam projek ini, segala yang dahulunya hanya sejarah lisan sebuah pekan kecil kini telah didokumentasikan menerusi bahan-bahan pameran dan paparan yang ditempatkan dalam muzium ini.  Mulai hari ini, pelawat yang datang ke Lunas dapat menyingkap sejarah pekan Lunas hanya dengan mengunjungi bangunan rumah asap lama ini.
Pekan seperti Lunas membentuk tulang belakang negara kita, dan sebagai rakyat negeri Kedah, kita seharusnya berbangga kerana DiGi telah mengiktiraf nilai pekan kecil ini dengan mengetengahkan sejarahnya.  Kita semua harus sedar bahawa dengan menghargai warisan sejarah silam, kita membuat pelaburan penting dalam masa depan kita.

SUMBER:DIGI