Showing posts with label derma darah. Show all posts
Showing posts with label derma darah. Show all posts

Tuesday, 3 July 2012

Ayah galak, ibu larang

KUALA LUMPUR: “Ayah menjadi inspirasi kepada saya untuk menderma darah, biarpun sebelum ini ibu melarang berikutan bimbang memberi kesan terhadap kesihatan,” kata pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Wan NurFarah Hazwani Wan Kadir, 22, di sini, semalam.
Wan Nurfarah Hazwani antara ratusan penderma darah yang tidak melepaskan peluang berbuat demikian pada kempen derma darah di pusat beli-belah, Midvalley Megamall anjuran Pusat Darah Negara dan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG).

“Ini kali ketiga saya menderma darah dan mengakui seronok melakukannya. Sejak kecil, jika saya keluar bersama keluarga dan kebetulan kempen derma darah sedang berlangsung, pasti ayah (Wan Kadir Wan Hasan, 57) turut menderma.
“Sebelum ini, saya terpaksa merahsiakan perkara ini (derma darah) daripada ibu (Wan Raini Abdul Ghani, 54) namun akhirnya saya berterus terang dan berjaya meyakinkannya ia tidak membahayakan kesihatan,” katanya yang mula menderma darah ketika berusia 18 tahun.

Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sejak di bangku sekolah ini, akan berasa bertuah apabila dapat membantu golongan kurang bernasib baik.

Sementara itu, sukarelawan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga penderma darah, Siti Norajuni Mohd Nasir, 21, berkata, dia berbangga apabila dapat menyertai kempen berkenaan.

Mengakui sibuk dengan tugasan akademik, tetapi dia enggan melepaskan peluang untuk berbakti kepada masyarakat selain mengeratkan hubungan silaturahim antara sukarelawan dari universiti tempatan lain.

Menurutnya, ini penyertaan kali ketiga sejak berusia 19 tahun dan mengakui perasaan gerun juga sudah tiada.

SUMBER:HARIAN METRO