Sunday, 1 July 2012

SEJARAH NESTLE MALAYSIA

 Nostalgia 100 tahun
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
KUALA LUMPUR: Sempena meraikan sambutan 100 tahun Nestle, syarikat pengeluar makanan dan minuman terkemuka itu mengambil inisiatif mempamerkan koleksi sejarah seabad jenama berkenaan di Malaysia menerusi Pameran 100 Tahun Nestle yang dilancarkan di Muzium Negara, semalam.
Pameran sejarah perjalanan Nestle itu berlangsung dua bulan hingga 15 Mei depan.

Pengarah Urusan Nestle Malaysia, Peter R Vogt berkata, pihaknya berbangga dengan sokongan dan sambutan pengguna terhadap produk keluaran syarikatnya.
“Kami percaya setiap seorang daripada rakyat negara ini mempunyai kenangan bersama Nestle seawal usia kanak-kanak...bermula dengan minuman Milo sejuk yang dinikmati segar di padang sekolah, hinggalah semangkuk mi Maggi panas ketika waktu lapar.

“Kami ilhamkan pameran ini, khusus bagi mengenang semula setiap kenangan manis yang pernah dilalui pengguna sepanjang perjalanan Nestle di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran Pameran 100 Tahun Nestle yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar A Tambi di Muzium Negara, di sini, semalam.

Meringkaskan sejarah Nestle di Malaysia, Vogt berkata, ia bermula 100 tahun lalu dengan operasi di Pulau Pinang sebagai Syarikat Anglo-Swiss Condensed Milk.

“Dari situ, kami perkenalkan semula barangan terkumpul yang sukar ditemui termasuk bungkusan awal produk Nestle yang menjadi kegemaran ramai, tin susu pelbagai jenama keluaran Nestle serta gambar kenangan yang bukan saja menjadi sejarah pada syarikat ini, malah merekodkan kenangan manis untuk negara.
“Paling penting, pameran ini sebenarnya adalah tanda penghargaan kami kepada rakyat yang begitu setia menjadi pengguna produk Nestle.

“Kami bangga kerana hampir setiap rumah di Malaysia hari ini mempunyai sekurang-kurangnya satu jenama kami di dapur dan pastinya sukar mencari seseorang yang tidak pernah merasai salah satu produk kami,” katanya.

Selain aktiviti pameran, Nestle juga akan menampilkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini, antaranya edaran Kotak Makanan Berkhasiat Nestle kepada badan amal, Pameran Nestle Nourishing Malaysia, Projek RiLeaf Nestle di Kinabatangan dan Program Gaya Hidup Sihat untuk 100 sekolah berasrama penuh di seluruh negara.

“Kisah Nestle di Malaysia adalah kisah hebat untuk dikongsikan dengan seluruh rakyat negara ini. Kami komited untuk terus menyediakan makanan lazat dan berkhasiat untuk pengguna seperti janji kami, ‘Good Food, Good Life’ bagi 100 tahun akan datang,” katanya.

SUMBER:HARIAN METRO