Tuesday, 3 July 2012

PERJUANGAN UNGKU OMAR

Oleh Mohd Rosli Baharom

Menulis biografi tokoh adalah suatu tugas yang mencabar, apatah lagi jika tokoh berkenaan telah meninggal dunia kerana sumber utama tidak dapat lagi dirujuk. Cabaran ini tidak menjadi halangan bagi penulis untuk menghasilkan buku Ungku Omar Ahmad: Tokoh Negara Tersohor. Mohd Zamberi A Malek sebelum ini telah menghasilkan 15 buku dalam bidang sejarah dan warisan. Datuk Dr. Ungku Omar Ungku Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ungku Omar adalah antara permata menjadi tiang seri negara ini ketika kita mula menapak sebagai sebuah bangsa merdeka.

Walaupun nama Ungku Omar sering dikaitkan dengan Pusat Penyelidikan Perubatan (IMR) tetapi beliau juga intelektual, pentadbir dan pejuang bangsa yang sentiasa meletakkan kepentingan agama, bangsa, dan negara melebihi segalanya.

Ungku Omar yang dilahirkan pada 18 Januari 1931 di Johor Bahru, Johor pernah mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kemasukannya ke Universiti Malaya (UM) di Singapura agak istimewa kerana beliau terus diterima masuk ke tahun dua.

Pada tahun 1961 Ungku Omar menyambung pelajaran dalam bidang Patologi di Royal College of Physicans London dan Royal College of Surgeons of England pada tahun 1962. Ungku Omar menyambung pelajarannya di peringkat kedoktoran dan memperoleh ijazah Ph.D. pada tahun 1965.

Walaupu berasal dari keluarga bangsawan, Ungku Omar tidak melupakan anak bangsa yang terpinggir. Masalah kesihatan dikenal pasti sebagai penyebab utama kemunduran dan ketinggalan masyarakat desa dan pedalaman. Sekembalinya ke tanah air Ungku Omar dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan. Beliau merupakan anak Melayu pertama dilantik memegang jawatan tersebut.

Kepimpinannya berjaya menaikkan nama pusat itu. Hasil penyelidikannya mengenai kesihatan dan perubatan diterbitkan dan tersebar kepada masyarakat di dalam dan luar negara. Sebagai seorang doktor, beliau melihat aspek kesihatan sebagai faktor penting dalam usaha membangunkan belia. Menurut Ungku Omar, kekurangan makanan berzat disebabkan kekurangan wang; kekurangan wang disebabkan kekurangan ilmu dan mata pencarian. Ilmu untuk mendapatkan rezeki yang lumayan pula tersalur melalui bahasa Inggeris. Oleh itu jalan penyelesaiannya ialah meluaskan penggunaan bahasa Melayu dan menaikkan tarafnya supaya rakyat luar bandar memperoleh maklumat yang betul tentang penjagaan kesihatan.

PendudukTaraf kesihatan penduduk luar bandar menjadi agenda penting perjuangannya. Ini dapat dilihat dalam kertas kerjanya bertajuk "Keadaan Kesihatan di Luar Bandar Penting Untuk Proses Pembangunan Dalam Segala Bidang" (Simposium Masalah Penduduk Luar Bandar, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, September 1967). Hasil penyelidikannya dalam kertas kerja itu menggemparkan negara. Beliau mendedahkan senario taraf kesihatan penduduk di luar bandar yang telah diabaikan; kadar kematian di luar bandar yang enam kali ganda lebih tinggi daripada di bandar; kadar kemiskinan yang berkait rapat dengan penyakit malaria, kepialu, untut, cacing, kekurangan zat makanan, anemia, dan penyakit lain.

Dalam kertas kerja yang sama, beliau menampakkan bukti keprihatinannya tentang pelajaran anak bangsa dengan mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam bagi menampung keperluan anak Melayu yang ketinggalan dalam perlumbaan mendapatkan tempat di Universiti Malaya ekoran masalah bahasa.

Gagasan itu merupakan lanjutan daripada cetusan ideanya yang dibentangkan pada Seminar Organisasi Islam di Kolej Islam, Kuala Lumpur (Ogos 1967). Dalam seminar tersebut Ungku Omar dari awal lagi mencadangkan penubuhan Universiti Islam yang akhirnya terlaksana juga pada tahun 198O-an. Ideanya itu bertujuan meninggikan taraf kehidupan anak bangsa dan umat Islam kerana beliau kecewa melihat kemunduran mereka dari segi pelajaran.

Beliaulah antara orang penting dalam menyuarakan hasrat penubuhan UKM. Pada pandangannya, sebuah universiti yang menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi membolehkan anak Melayu mendapat pendidikan tinggi merupakan suatu keperluan yang mendesak.

Penubuhan UKM adalah titik penting perkembangan pendidikan Melayu kerana inilah institusi pengajian tinggi yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mengangkat martabat bahasa Melayu.

Dari institusi inilah juga lahirnya sekian banyak intelektual, teknokrat, dan birokrat Melayu. Dan yang lebih penting bahasa Melayu terbukti berupaya menyampaikan ilmu, sebagaimana yang sentiasa diperingatkan oleh Ungku Omar.

Ungku Omar adalah seorang yang cemerlang. Sebagai pelajar kehebatannya diperakui rakan dan guru. Ungku Omar adalah Melayu unggul yang didambakan oleh rakyat dan negaranya. Beliau meninggal dunia pada 15 Februari 1969 dalam usia 38 tahun. Pemergiannya terlalu awal namun semangatnya tetap dibawa bersama oleh mereka yang menghargai sumbangannya.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA