TIDAK perlu terbang ke Itali untuk menikmati keajaiban Menara Condong
Pisa kerana pengalaman yang hampir sama boleh dikecapi di bandar Teluk
Intan, Perak yang hanya memakan masa dua jam perjalanan dari Kuala
Lumpur.
Terletak di tengah-tengah bandar yang dahulunya dikenali sebagai
Teluk Mak Intan, menara jam setinggi 25.5 meter yang condong ke arah
barat laut tersebut kini menjadi mercu tanda kepada bandar di daerah
Hilir Perak itu.
Bangunan yang kelihatan seolah-olah mempunyai lapan tingkat dari luar
itu, dibina bagi menempatkan sebuah tangki air untuk kegunaan penduduk
setempat sekiranya berlaku kemarau.
Kejadian banjir besar yang berlaku pada tahun 1889 dan 1895 menjadi
antara faktor bangunan yang dibina oleh Leong Choon Chong itu mula
condong.
Mengikut catatan sejarah juga, menara yang berada di antara Jalan
Pasar, Jalan Ah Cheong, Jalan Selat dan Jalan Bandar itu juga pernah
digunakan tentera Jepun sebagai pusat kawalan pada suatu ketika dahulu.
Namun, setelah 127 tahun berlalu, menara condong itu kini hanya
berdiri sebagai satu monumen sejarah yang menjadi daya tarikan
pengunjung ke Teluk Intan.
Wartawan S2, SITI NURAZLINA JAMALUDIN dan jurugambar FAIRUZ IZYANA
AYUB menjejaki keunikan bandar yang suatu ketika dahulu juga pernah
dikenali sebagai Teluk Anson.
SUMBER:UTUSAN MALAYSIA