ALOR GAJAH - Perubahan sikap yang berlaku ke atas seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah dekat sini, mendedahkan perbuatan kejam seorang lelaki warga emas yang didakwa merogol kanak-kanak terbabit sejak empat tahun lalu.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Negeri (Operasi dan Risikan), Superintendan R Gunarajan berkata, kejadian itu berlaku sejak 2007 ketika mangsa berusia lapan tahun dan sedang bersekolah dalam Tahun Dua di sekolah terbabit sering diperkosa oleh suspek yang berusia 60 tahun sehingga penghujung 2010.
Menurutnya, difahamkan mangsa dirogol secara berterusan sejak 2007 dan perbuatan kejam itu disyaki dilakukan suspek berulang kali tidak mengira waktu sama ada di rumah atau di kebun jering berhampiran rumah mangsa di sebuah Felcra di daerah ini.
“Perubahan sikap mangsa itu disedari seorang guru kaunseling pada Selasa lalu yang melihat mangsa kemurungan sejak kebelakangan ini sebelum memujuk mangsa untuk menceritakan masalah yang dihadapi.
“Mangsa kemudiannya memaklumkan dia dirogol seorang lelaki yang juga jiran sebelah rumahnya ketika ketiadaan ibu bapanya di rumah,” katanya.
Gunarajan berkata, selepas itu guru kaunseling itu menemui ibu bapa mangsa dan menceritakan kejadian yang berlaku sebelum diarahkan membuat laporan di balai polis berhampiran serta menjalani pemeriksaan di klinik.
“Mangsa yang dilihat sugul dan murung dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan dan hasil mendapati mangsa tidak mengandung,” katanya.
Katanya, suspek yang berusia 60 tahun itu ditahan di rumahnya pada petang laporan dibuat kedua ibu bapa mangsa dan suspek kini ditahan reman sehingga 22 November ini bagi menjalankan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperkosa gadis bawah umur dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Seksual dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) untuk siasatan lanjut,” katanya.
SUMBER:SINAR HARIAN