Sunday, 1 July 2012

BAKAR KALORI DI PEJABAT

ANDA pasti amat menyukai pekerjaan anda sekarang. Menarik, mendatangkan kepuasan dan mencabar. Namun ia juga mungkin bahaya terhadap tubuh badan anda.
Ruang pejabat yang kecil sememangnya bagus untuk mengurangkan pergerakan, tetapi ia juga menjadi punca berat badan senang bertambah.
Selain peningkatan berat badan, bekerja di pejabat turut menyebabkan rasa tegang pada bahagian belakang, pergelangan tangan, mata dan leher malah boleh menyebabkan stres.
Bagi melawan kesan buruk akibat rutin 9-5 ini - jawapannya adalah bersenam.
Berikut beberapa tip senaman yang boleh dilakukan secara senyap di pejabat, tanpa diketahui oleh bos anda.
1. Sementara menunggu mesyuarat awal pagi bermula, lakukan beberapa regangan badan dari kepala hingga ke kaki bermula dengan leher.
* Sengetkan kepala secara perlahan-lahan ke arah bahu. Tahan selama 10 saat dan tukar arah.
* Pusing kedua-dua belah bahu ke depan dan ke belakang sebanyak 10 kali.
* Regangkan tangan dengan tangan kiri menarik hujung jari tangan kanan dan tahan selama tiga saat. Lakukan pada sebelah tangan lagi.
* Dalam keadaan duduk, pusingkan pergelangan kaki sebanyak 10 kali.
2. Ketika menunggu salinan kerja di mesin fotostat, lakukan senaman kaki.
* Paut tangan pada mesin fotostat dan angkat kaki ke belakang atau tepi secara lurus dan tahan selama beberapa saat.
* Berdiri dengan sebelah kaki dan cuba menendang ke belakang ke arah punggung menggunakan tumit kaki sebelah lagi sebanyak 10 kali setiap kaki.
3. Rakan sekerja anda mungkin menyangka anda sedang tekun membaca laporan mesyuarat semalam tetapi apa yang mereka tidak tahu, anda sebenarnya juga sedang melakukan senaman bagi menguatkan abdomen sambil mengurangkan rasa lenguh pada otot kaki.
* Duduk dalam keadaan pinggang tegak pada kerusi anda, angkat sebelah kaki hingga ia sama tinggi dengan pinggang dan tahan selama 10 saat. Lakukan 15 kali setiap kaki.
* Sambil duduk, silangkan kaki lurus ke depan dan angkatnya. Tekan kaki atas ke bawah dan kaki bawah ke atas sehingga otot berasa lenguh.
* Berdiri tegak lalu rendahkan pinggang sehingga seinci dari kerusi dan berpura-pura sedang duduk. Tahan selama 10 saat dan berdiri tegak kembali.
4. Daripada menghantar e-mel atau menghubungi rakan sekerja yang berada di jabatan lain, apa kata anda merajinkan diri dengan berjalan ke arah mereka. Cuba untuk berjalan pantas dan elakkan lif.
5. Sediakan botol air minuman besar di meja anda dan minum sebanyak mungkin air kosong kerana ia dapat membantu usaha mengurangkan berat badan di samping lebih banyak kalori yang dibakar apabila anda kerap ke tandas.
6. Botol air turut boleh digunakan menggantikan dumbel bagi menguatkan tangan malah membentuk pinggang. Jika ada yang bertanya, terus membuka penutup botol lalu minum air di hadapan rakan sekerja anda.
* Duduk dalam keadaan tulang belakang tegak, pegang botol menggunakan tangan kanan dan angkatnya ke arah bahu. Lakukannya sebanyak 15 kali setiap tangan.
* Pegang botol dan bengkokkan tangan ke sisi lalu angkat ia ke atas.
* Pegang botol air pada paras dada dan pusing ke arah kanan sejauh yang mungkin lalu bawa ia kembali ke depan.