Monday, 2 July 2012

BAHANA SALAH GUNA LAMAN SOSIAL

 Pena Kampus: ‘Huru-hara’ bahana salah guna laman sosial
Oleh Raihana Syamimi Ahmad Jamil
PERKEMBANGAN dunia teknologi kini memang pesat terutama dalam bidang media sosial seperti facebook, twitter dan blog.
Namun, ramai menyalahgunakan penggunaan laman sosial itu hingga mencetuskan gejala sosial tidak disangka-sangka.

Laman sosial yang mulanya bertujuan baik kini bertukar menjadi perbuatan yang boleh mencetuskan masalah pada diri sendiri atau orang lain.

Contohnya, mendedahkan keaiban seseorang juga menjadi tempat meluahkan pelbagai perasaan seperti sedih, kecewa, benci, marah dan sebagainya. Lebih teruk lagi apabila ramai memberi komen sama ada membina atau sebaliknya.


Tidak dinafikan ramai penggemar laman sosial suka berkongsi dan meluahkan perasaan kepada orang lain.

Adakalanya ia mungkin bukan untuk menjatuhkan imej seseorang, bukan pula membuka aib atau mencari penyelesaian tapi sekadar meluahkan perasaan.

Malangnya, tanpa disedari ia tetap menjurus kepada sikap negatif lain yang lebih membawa keburukan hingga ada kalanya boleh menjatuhkan keperibadian orang lain, sekali gus menimbulkan permusuhan.

Bukan itu saja, laman sosial itu turut menjadi ‘pintu’ kepada kemusnahan keselamatan dan maruah wanita.

Mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya cukup teruja memuatkan gambar mereka dengan gaya dan aksi pelbagai.

Kesannya, ramai lelaki yang menyamar wanita untuk menjadi kawan seterusnya mendapat maklumat yang sepatutnya disembunyikan.

Sebahagian lelaki yang berang kerana tidak diterima menjadi rakan pula turut boleh memanipulasikan keadaan dengan menyamar sebagai kaum sejenis. Akhirnya semua maklumat yang ingin disembunyikan tetap terdedah.

Lebih buruk lagi apabila gambar dalam keadaan terbuka turut menjadi tontonan yang akhirnya boleh menjejaskan maruah diri.

Sebenarnya, banyak keburukan laman sosial yang perlu diambil perhatian meskipun kebaikannya juga setara.

Ia boleh menjadi sumber yang boleh dimanfaatkan andai kata dipergunakan dengan sebaiknya, namun ia juga boleh menyebabkan hidup huru-hara jika disalah guna.

Justeru, tepuk dada tanya selera bagaimana anda harus memanfaatkannya.


● Penulis mahasiswa Fakulti Bahasa Arab dan Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

SUMBER:HARIAN METRO