JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga India sanggup melakukan aksi 
‘stunt’ dengan menggelungsur dari tiang tingkat dua restoran dia bekerja
 bagi melepaskan diri selepas diserbu penguat kuasa Jabatan Imigresen di
 Pekan Segamat dekat sini, Sabtu lalu.
  Bagaimanapun, aksi itu hanya sia-sia berikutan anggota dan pegawai 
yang menyerbu premis berkenaan terlebih dulu mengepung kawasan sebelum 
menahannya sebaik lelaki itu tiba di tingkat bawah bangunan dua tingkat.
  Dalam Ops Selera kira-kira jam 9 malam itu diketuai Timbalan Penolong 
Pengarah Imigresen negeri, Hasan Silong, lapan lelaki warga India 
ditahan termasuk penyewa restoran  yang juga warga India kerana tinggal 
lebih masa di negara ini.
  Hasan berkata, pihaknya menjalankan siasatan serta risikan selama 
kira-kira 2 minggu selepas menerima aduan orang awam yang mendakwa 
penyewa restoran berkenaan menggaji pekerja asing tanpa permit.
  Menurut Hasan, pihaknya melakukan penyamaran sebagai pelanggan dengan 
memesan minuman sebelum menangkap sekumpulan warga India yang sibuk 
melayan pelanggan.      “Selepas melakukan risikan dan berpuas hati 
dengan maklumat dikumpul, seramai 11 anggota digerakkan ke tempat lokasi
 bagi menjalankan Ops Selera itu.
  “Ketika serbuan dilakukan,
 seorang daripada suspek cuba melarikan diri dengan menggelungsur 
menggunakan tiang dari tingkat atas restoran terbabit, namun cubaannya 
tidak berhasil apabila berjaya ditahan anggota kami.    “Hasil 
pemeriksaan, kami dapati semua pekerja lelaki berkenaan menyalahgunakan 
pas lawatan sosial ke negara in, manakala majikannya pula menetap di 
negara ini melebihi masa ditetapkan,” katanya.
SUMBER:HARIAN METRO